Rabu, 21 Mei 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


22 maut di tapak binaan tahun lalu

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

PERMATANG PAUH 20 Mei - Seramai 22 orang dilaporkan maut di tapak pembinaan di seluruh negeri ini sepanjang tahun lalu.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) negeri, Mohd. Anuar Embi mahu aspek keselamatan di tempat kerja khususnya membabitkan sektor pembinaan di negeri ini dipertingkatkan bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk kematian berlaku.

Beliau berkata, pihaknya memberi ingatan kepada para majikan supaya memandang serius perkara berkenaan dan memastikan garis panduan keselamatan dipatuhi.

"Daripada jumlah yang maut itu, 11 daripadanya bekerja dalam sektor pembinaan dan sebanyak tiga lagi kematian di tempat pembinaan.

"Oleh itu, JKKP akan memberi perhatian serius kerana pada masa ini terdapat 431 tapak pembinaan yang aktif dan daripada jumlah itu, sebanyak 122 di kesan sebagai yang berisiko tinggi," katanya dalam taklimat kepada media sempena Pelancaran Operasi Tapak Bina di sini hari ini.

Menurut Mohd. Anuar, bagi memberi kesedaran kepada majikan dan pekerja, pihaknya akan menjalankan operasi di tapak pembinaan di seluruh negeri.

"Pada tahun ini kita akan mengadakan sebanyak lima operasi termasuk dua yang telah diadakan pada Mac lalu dan satu pada hari ini.

"Dalam operasi pertama, kita telah mengeluarkan 184 notis selain kompaun kepada 51 majikan dan dua pendakwaan atas pelbagai kesalahan selepas memeriksa 82 tapak pembinaan," katanya.

Mohd. Anuar berkata, antara kesalahan yang dilakukan termasuklah tidak menghadang tepian lantai terbuka, tidak menutup lubang dan tidak memakai peralatan pelindung diri.

2,000 bantah bina pemancar

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

SEBAHAGIAN penduduk mengadakan perhimpunan secara aman membantah pembinaan menara pemancar telekomunikasi di Taman Kempas, Kampung Air Merah, Kulim, Kedah baru-baru ini.

KULIM 20 Mei - Lebih 2,000 penduduk di lapan taman perumahan di sini membantah pembinaan menara pemancar telekomunikasi dekat Kampung Air Merah yang didakwa mengancam kesihatan mereka.

Bantahan itu disuarakan penduduk Taman Cengai, Taman Kempas, Tamas Kempas Merah, Taman Jelutung, Taman Bersatu, Taman Anggerik, Taman Seroja dan Taman Desa Impian dalam satu perhimpunan aman di sini baru-baru ini.

Dakwa mereka, pembinaan menara berkenaan terlalu hampir dengan kawasan perumahan dibimbangi mengancam keselamatan dan kesihatan penduduk.

Seorang penduduk, R. Suppaya, 52, berkata, terdapat dua menara pemancar yang dibina dengan jarak kurang daripada 500 meter setiap satu di kawasan Taman Kempas Merah di sini.

Katanya, menara terbabit dibina kira-kira dua tahun lalu manakala satu lagi menara dibina bersebelahan tangki air berdekatan lokasi sama dua bulan lalu.

Kami penduduk di sini berasa amat hairan kenapa terlalu banyak menara pemancar diluluskan di kawasan ini. Kami bimbang kesan pemancar akan menjejaskan kesihatan penduduk," katanya.

Seorang pesara guru, Ng Mei, 60, pula berkata, penduduk turut bimbang kerana menara pemancar terbabit terletak berdekatan empat buah sekolah yang menempatkan lebih 2,000 pelajar.

Penduduk berharap pihak terlibat memindahkan segera menara tersebut bagi memberi keselesaan kepada kami.

Sewajarnya pihak pemaju serta pihak berkuasa perlu mendapatkan pandangan daripada penduduk terlebih dahulu sebelum membina menara tersebut bagi mengelakkan bantahan seperti ini," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Chua Tiong Ghee berkata, pihaknya menerima aduan secara rasmi daripada penduduk dan akan memanjangkan isu berkenaan kepada pihak berkuasa.

Katanya, beliau bersama pemimpin tempatan akan berusaha mengadakan rundingan bagi mengatasi masalah itu.

Lima dinobat Tokoh Guru Pulau Pinang

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

Abdul Rahman Abbas (tengah) bergambar dengan para penerima anugerah Tokoh Guru Negeri 2014 pada majlis sambutan Hari Guru 2014 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/Sazali Che Din.

PERMATANG PAUH 20 Mei - Bekas Pengarah Pendidikan negeri, Ahmad Husain, 62, antara lima yang dinobatkan sebagai Tokoh Guru Peringkat negeri sempena Sambutan Hari Guru peringkat negeri di sini hari ini.

Empat penerima lain ialah bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara, Rokiah Hamzah, 62; bekas guru N.G. Ganapathy, 75; Pengarah Staf Latihan dan Pembangunan Sekolah Tenby Penang, Dr. Goh Kok Keng, 62; dan bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kepala Batas, Abd. Latif Saidin, 63.

Kesemua mereka menerima medal, sijil dan Sijil Simpanan Premium (SSP) RM1,000 yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.

Yang turut hadir Toh Puan Majimor Shariff dan Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Ahmad Tamizi Kamaruddin.

Sementara itu, Guru Besar SK Permatang Tok Mahat, Md. Rijani Md. Ibrahim, 40, dan Pengetua Sekolah Menengah Bakti, Calsom Ibrahim, 42, pula dinobat Tokoh Kepemimpinan Sekolah Menengah peringkat negeri.

Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas dinobatkan kepada Noorsiah Ishak, 38, dan Aminah Bee Chinnathambi, 51, (Guru Cemerlang Kurang Upaya).

Empat guru dianugerahkan Guru Inovatif iaitu Masyany Musa, 42, Nor Hayati Abi Khallad, 39, G. Thiiruchelvi, 30, dan S. Bahvani, 30.

Guru Ikon pula dianugerahkan kepada Shamsir Jemain (Penolong Pengarah Unit Kokurikulum JPN).

Sementara itu, Ahmad berkata, pengiktirafan yang diterima itu sebagai satu penghargaan yang amat bermakna dalam sejarahnya bergelar sebagai pendidik dan pengarah.

Saya bersyukur dengan penghargaan yang diberikan oleh Jabatan Pendidikan dan kerajaan kepada saya yang telah mencurah bakti sebagai pendidik selama 32 tahun," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Sehubungan itu, Ahmad berpesan guru yang berjaya adalah mereka yang berjaya mendidik dan menanamkan minat anak-anak untuk belajar dengan gigih.

Kalau kita tidak pandai mendidik sukar untuk anak-anak murid mendapat ilmu," katanya yang bersara sebagai Pengarah Pendidikan Pulau Pinang pada 2008.

Bagi Rokiah pula, kecintaannya sebagai seorang pendidik tidak pernah luntur dalam kehidupannya.

Saya masih memberikan sumbangan kepada Taman Asuhan Kanak-Kanak Perkim di Sungai Ara hingga sekarang.

Hubungan saya dengan rakan-rakan masih erat walaupun sudah bersara," ujarnya.

Sementara itu, Abdul Rahman dalam ucapannya menasihatkan guru supaya memelihara profesion perguruan, mencerminkan seorang yang intelektual dan mempunyai budi pekerti yang mulia.

Katanya, ini penting kerana guru menjadi pencetus budaya dan ilmu yang menjadi jati diri dalam memartabatkan profesion perguruan agar ia dihormati oleh masyarakat.

Cabaran globalisi sekarang, guru perlu berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat dalam membina bangsa yang maju, aman dan makmur serta mampu bersaing di pentas dunia.

Sejajar dengan itu guru menjadi tulang belakang untuk mendidik anak bangsa," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved