Jumaat, 2 Mei 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Bimbang gua batu kapur diceroboh

Posted: 01 May 2014 11:51 AM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 1 Mei - Kerajaan negeri melahirkan kebimbangan terhadap pencerobohan tanah kerajaan membabitkan gua batu kapur di sekitar kawasan Taman Geo Lembah Kinta yang digunakan oleh pihak tertentu untuk tujuan acara keagamaan tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kegiatan yang semakin banyak menular itu dibimbangi akan mendatangkan masalah tidak diingini, terutama dari segi keselamatan.

"Laporan analisis daripada Jabatan Mineral dan Geosains mengingatkan kerajaan negeri berkenaan hal ini kerana sebarang pergerakan kecil melibatkan batu kapur boleh menyebabkan kawasan keseluruhannya runtuh.

"Kerajaan negeri mengambil perhatian mengenai perkara ini kerana kita tahu perkara sebegini agak sensitif. Oleh itu, kita mohon kepada mereka yang terlibat supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan selepas notis diberi kerana kita tidak mahu mengenakan tindakan tegas disebabkan kawasan tersebut merupakan sebahagian daripada tarikan pelancongan," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini semalam.

Jakoa komited lahirkan atlet Orang Asli

Posted: 01 May 2014 11:51 AM PDT

Alexander Nanta Linggi (dua dari kiri) dan Mohd. Sani Mistam (kiri) beramah mesra dengan peserta Kontinjen Sukan pada Majlis Perasmian Karnival Sukan Perpaduan Masyarakat Orang Asli Malaysia ke- 10 di Ipoh, semalam.

IPOH 1 Mei - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tidak hanya memfokuskan kepada pembangunan dan kemajuan masyarakat Orang Asli bahkan berperanan dalam melahirkan lebih ramai atlet daripada golongan tersebut.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ini dapat dilihat dengan kemunculan atlet daripada golongan itu sama ada yang beraksi di peringkat sekolah hingga ke peringkat Sukan SEA.

Katanya, ini menunjukkan bahawa kerajaan melalui Jakoa amat komited melahirkan bakat cemerlang dalam kalangan Orang Asli melalui bidang tersebut.

"Mengambil contoh, Australia umpamanya memiliki Cathy Freeman iaitu atlet Orang Asli yang mengungguli saingan 400 meter sewaktu Sukan Olimpik 2000 di Sydney.

"Oleh itu, bagi saya sendiri tiada apa-apa yang mustahil untuk kita termasuk masyarakat Orang Asli dalam mencapai cita-cita untuk menjadi seorang atlet," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Sukan Perpaduan Masyarakat Orang Asli Malaysia ke-10 di Kompleks Belia dan Sukan di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Mohd. Sani Mistam.

Karnival yang berlangsung pada 30 April hingga 4 Mei ini menghimpun kira-kira 1,000 peserta dengan lapan acara dipertandingkan iaitu bola jaring, bola sepak, bola tampar, futsal, sepak takraw, sukan menyumpit, badminton dan bakat lelaki dan perempuan.

Pusat Mini RTC Bawong dijangka siap lebih awal

Posted: 01 May 2014 11:51 AM PDT

Zainol Fadzi Paharuddin (tiga dari kiri) berbual dengan penduduk yang terlibat dengan kerja pembinaan ketika melakukan lawatan kerja di Masjid Kampung Bawong, Lasah, Sungai Siput, baru-baru ini. - Utusan/Zulkarnain Mohd. Saidin

SUNGAI SIPUT 1 Mei - Pembinaan Projek Mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Kampung Orang Asli Bawong di sini yang bernilai RM67.5 juta berjalan lancar malahan fasa pertamanya yang melibatkan pembinaan sebuah masjid dijangka siap lebih awal berbanding jadual.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, mengikut jadual masjid di Kampung Orang Asli Bawong siap pada Januari depan.

Namun jelas beliau, ketika ini projek pembinaannya sudah mencapai 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya akhir bulan depan.

Beliau yang menyifatkan projek itu sebagai cemerlang mahu pembinaan masjid itu dijadikan projek contoh bagi syarikat pemaju di negeri ini.

"Saya mengucapkan tahniah kepada syarikat pemaju yang berjaya membina masjid ini dengan cepat, lebih awal daripada jadual asal.

"Ini membuktikan komitmen pemaju bahawa sebenarnya mereka boleh menyiapkan sesuatu projek mengikut jadual.

"Apa yang menariknya, pemaju bagi projek pembinaan masjid ini menggunakan tenaga kerja Orang Asli sebagai pekerja mahir," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Masjid Kampung Bawong di sini baru-baru ini.

Projek pembinaan masjid itu dilaksanakan oleh syarikat bumiputra, Pro Zas Construction.

Projek Mini RTC di sini yang menjadi projek perintis Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dijangka siap sepenuhnya pada 2017.

Pembangunannya terbahagi kepada tiga fasa iaitu fasa pertama melibatkan pembinaan masjid diikuti fasa kedua pembinaan sekolah dan asrama yang mampu menampung 400 pelajar yang dijangka siap pertengahan tahun depan.

Fasa ketiga melibatkan pembinaan sebuah pusat komersial yang akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bank, kedai, gerai dan terminal bas.

Menurut Zainol, apabila siap sepenuhnya, Projek Mini RTC Bawong akan memberi impak kepada 5,000 penduduk di 28 buah kampung sekitarnya.

"Selain memberikan kemudahan kepada penduduk setempat, apabila siap kelak Projek Mini RTC ini juga bakal diangkat sebagai medium pelancongan.

"Ini kerana banyak produk Orang Asli di kawasan ini yang belum diketengahkan.

"Selain itu, kawasan ini juga kaya dengan flora dan fauna, jadi masyarakat Orang Asli perlu mengambil peluang ini, mereka harus bersedia dari segi pengisian ekonomi hasil daripada projek ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved