Sabtu, 17 Mei 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


50 ibu terima Insentif Kelahiran Anak

Posted: 16 May 2014 11:46 AM PDT

Mahadzir Abdul Hamid bersama sebahagian daripada ibu dan bayi yang menerima kit kelahiran anak ketika majlis Penyampaian Insentif Kelahiran Anak (IKA) di Pejabat ADUN Jeneri, Sungai Pau, Sik, Kedah, kelmarin.

SIK 16 Mei - Sebanyak 50 wanita di daerah ini menerima sumbangan Insentif Kelahiran Anak (IKA) sempena menyambut kelahiran anak mereka sumbangan kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid berkata, kerajaan sentiasa memberikan galakan kepada ibu bapa dari segi menambah bilangan anak.

"Anak merupakan anugerah yang tidak ternilai bagi setiap ibu bapa dan perlu dijaga dengan sempurna supaya menjadi seorang insan berguna.

"Kerajaan sentiasa memberi sokongan dengan pemberian insentif khas kepada bayi-bayi yang baru lahir di samping penjagaan yang rapi sejak dari dalam kandungan lagi," kata Mahadzir ketika merasmikan majlis Penyampaian Insentif Kelahiran Anak (IKA) di pejabat ADUN Jeneri, Sungai Pau di sini semalam.

Yang turut hadir, pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Sik, Nurulfazliyani Hassan.

Sementara itu Shazrina Zainal, 20, dari Kampung Cemara berkata, pemberian insentif ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dan sentiasa bersama-sama dengan rakyat.

"Tidak kira dalam apa keadaan sekalipun, kerajaan sentiasa bersama rakyat terutamanya dalam hal menjaga kebajikan rakyatnya dari seawal bayi dalam kandungan sehingga warga emas dan sebagainya," kata Shazrina yang baru melahirkan bayi sulung.

Manakala Ahmad Sharulnizar Abidin, 34, dari Kampung Bandar Hilir pula berkata, dia amat teruja kerana dikurniakan seorang bayi perempuan.

"Amat seronok sekali kerana saya kini telah mempunyai sepasang anak dan amat bersyukur kepada Allah," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang memberi kit insentif kelahiran anak.

Bantuan IKA yang mengandungi keperluan khas bayi seperti botol susu, selimut dan pakaian itu diedarkan melalui hospital-hospital dan JKM daerah.

Skim tersebut yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir pada Mac lalu dijangka memanfaatkan kira-kira 35,000 bayi di seluruh negeri ini.

Cubaan seleweng diesel gagal

Posted: 16 May 2014 11:46 AM PDT

BUKIT MERTAJAM 16 Mei - Dua lelaki yang sedang leka mengisi minyak diesel bersubsidi dipercayai untuk diseleweng berputih mata apabila ditahan sepasukan anggota penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri dalam Ops Titik awal semalam.

Kedua-dua mereka ditahan dalam operasi di sebuah stesen minyak di Jalan Jelawat, dekat sini kira-kira pukul 2.30 pagi oleh pasukan penguatkuasa PPDNKK negeri yang diketuai Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa, Johary Yacob selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa PPDNKK negeri, Abdul Rosik Yakub berkata, sebanyak 1,150 liter diesel bersubsidi dirampas dalam serbuan berkenaan.

"Walaupun nilai rampasan itu agak kecil, namun ia tetap merupakan usaha untuk mengekang kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi daripada terus berlaku.

"Hasil siasatan mendapati kedua lelaki berkenaan yang berusia dalam lingkungan 30-an cuba menyeleweng diesel berkenaan untuk dijual ke tempat lain," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan PPDNKK Kawasan Perindustrian Bukit Minyak di sini semalam.

Abdul Rosik berkata, sebelum Ops Titik dilancarkan, pihaknya telah menahan 21 kenderaan yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi sepanjang tahun ini.

"Penahanan 23 kenderaan termasuk dua lori awal pagi tadi menjadikan jumlah rampasan diesel adalah sebanyak 55,000 liter dengan nilai dianggarkan RM178,000 dan kita berharap orang awam terus membantu dengan memberikan maklumat.

"Pada masa sama, kami akan meneruskan operasi untuk mengekang gejala ini," katanya.

Gangguan lalu lintas 21 Mei ini

Posted: 16 May 2014 11:46 AM PDT

IPOH 16 Mei - Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak hari ini memaklumkan bahawa gangguan lalu-lintas akan berlaku di Kilometer 66.3, Jalan Ipoh-Butterworth pada 21 Mei ini dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Pengarahnya, Datuk Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad berkata, gangguan itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pemotongan pokok di kawasan Bukit Berapit di daerah Larut, Matang dan Selama.

"Kerja-kerja ini juga akan mengakibatkan laluan kontra diaktifkan di Lebuh Raya Utara-Selatan sepanjang 2.7 kilometer bermula dari KM227.3 sehingga KM230 dari pukul 9 pagi hingga 5 petang hari tersebut.

"Sehubungan itu, pengguna jalan raya yang akan melalui kawasan berkenaan dinasihatkan supaya merancang perjalanan pada hari tersebut serta mematuhi arahan lalu-lintas yang disediakan. Segala kesulitan amatlah dikesali," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved