Rabu, 14 Mei 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


KUIPs: 80 pelajar lapor diri esok

Posted: 13 May 2014 11:57 AM PDT

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusanperlis@utusan.com.my

KANGAR 13 Mei - Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) akan menerima 80 pelajar pertamanya bagi pengambilan pelajar sesi 2014 pada 15 Mei dan pengambilan kedua Jun ini.

Rektor KUIPs, Dr. Mohd. Mizan Mohammad Aslam berkata, bagi pengambilan pertama, KUIPs menawarkan dua program pengajian peringkat asasi dan diploma, antaranya Asasi Muamalah dan Diploma Perbankan Islam.

Menurut beliau, KUIPs dianggap unik kerana berkonsepkan penjanaan pembangunan dana dan sumber daya manusia melalui Program Wakaf Pendidikan (PWP).

Kata beliau, penawaran dua program tersebut adalah satu daripada langkah permulaan KUIPs dalam memulakan sesi pengajian pertama 2014.

Kedua-dua program ini telah direka dengan memasukkan elemen multi-disciplinary" seperti memasukkan komponen pengurusan, kewangan pemasaran, ekonomi, perakaunan dan undang-undang perniagaan," kata beliau.

Mohd. Mizan menjelaskan, pelajar yang ditawarkan pengajian pada peringkat asasi tidak perlu membayar yuran pengajian kerana dibiayai oleh dana-dana wakaf pelajar.

Pelajar yang berjaya diterima hanya perlu membayar yuran asrama dan bayaran asas dalam jumlah yang sangat minima," tambahnya.

Tambahnya, program Asasi Muamalah merupakan suatu program yang khusus untuk pen-yediaan pelajar memasuki pengajian pada tahap yang lebih tinggi dalam bidang muamalah dan kewangan Islam.

Graduan program Asasi Muamalah ini berpeluang menyambung pengajian ke peringkat ijazah seperti program Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam (Kepujian), Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) atau Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Keusahawanan) (Kepujian).

Melalui penawaran kursus asasi, pelajar tidak perlu melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma lanjutan sebaliknya terus ke peringkat ijazah dan ini lebih menjimatkan masa," ujar beliau.

Kata beliau lagi, program Diploma Perbankan Islam dibangunkan untuk melahirkan tenaga kerja yang mempunyai kefahaman dan penguasaan dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.

Program ini meliputi pelbagai kursus termasuk Pengurusan Islam, Teknologi Maklumat, Undang-Undang Perniagaan dan Pengurusan dan Pengurusan Pelaburan.

Lulusan program ini juga boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan kewangan Islam," katanya.

Mohd. Mizan memberitahu, bagi pelajar diploma, KUIPs menyediakan bantuan pinjaman kepada pelajar yang layak memohon seperti bantuan pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), biasiswa Bank Rakyat, Dana Pendidikan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), biasiswa KUIPs dan lain- lain seperti dana-dana wakaf.

Selain itu, kata beliau, KUIPs dijangka memperkenalkan program-program pengajian lain seperti Diploma Pengajian Islam, Diploma Pengajian Islam (Usuluddin), Diploma Pengajian Islam (Syariah) serta Diploma Pengurusan Harta Islam dalam masa terdekat.

Mahasiswa Thailand berkampung di UUM

Posted: 13 May 2014 11:57 AM PDT

Mohd. Sobri Don (tengah) bersama para peserta Learn English The Fun Way di Pendang Lake Resort, Kedah, baru baru ini. - Ihsan UUM

ALOR SETAR 13 Mei - Sebanyak 124 mahasiswa, termasuk guru dari Thailand telah menyertai program Learn English The Fun Way selama sebulan anjuran Pusat Pembangunan Eksekutif (PPE) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pengarah PPE, Dr. Mohd. Sobri Don berkata, semua peserta program tersebut membabitkan mahasiswa dan mahasiswi dari Princess of Naradhiwas University dan Loei Rajabhat University serta guru-guru dari lapan sekolah menengah terpilih di Wilayah Korat atau Nakhon Ratchasima, Thailand.

Katanya, program yang itu diadakan bertujuan membantu peserta meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris mereka terutama dalam komunikasi.

Sepanjang program ini, para peserta memanfaatkan 100 jam iaitu hampir sebulan di kampus UUM dengan mengikuti aktiviti dalam kelas dan luar kelas seperti kem bahasa Inggeris termasuk mengadakan lawatan ke lokasi tarikan pelancong di Utara Semenanjung iaitu Pulau Pinang, Cameron Highlands dan Pulau Langkawi sambil mengenali budaya masyarakat.

Sejak program ini bermula pada 2009, kita berjaya membantu le-bih 600 peserta khususnya pelajar Thailand meningkatkan kemahiran dalam berbahasa Inggeris.

Kita ingin membantu mereka keluar dari zon selesa di negara asal dengan menyertai program ini di UUM dan meningkatkan keyakinan diri untuk berkomunikasi dalam bahasa tersebut," katanya di UUM, Sintok di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Sobri, menerusi program itu juga, peserta akan menyesuaikan diri dengan persekitaran baru untuk memudahkan mereka mempelajari bahasa Inggeris lebih sempurna berikutan penggunaan bahasa berkenaan kini menjadi sangat penting dalam urusan harian.

Tambahnya, sebelum menyertai program itu semua peserta akan menjalani ujian kemasukan bagi mengukur tahap atau kebolehan mereka dalam bahasa Inggeris, seterusnya memudahkan pihaknya menyesuaikan program mengikut kemahiran masing-masing.

Program ini dijalankan 100 peratus dalam Bahasa Inggeris yang dibantu oleh pensyarah UUM dan juga pensyarah luar supaya semua peserta menerima impak yang sama sepanjang mereka menyertai program ini.

Di akhir program yang berlangsung selama sebulan ini, Exit Test' akan dijalankan bagi mengetahui tahap pencapaian mereka ketika menghadiri program ini, seterusnya keputusan tersebut akan diserahkan kepada pengurusan universiti masing-masing," ujarnya.

Sementara itu, seorang peserta Punnita Choksiri, 21, dari Loei Rajabhat University berkata, dia gembira kerana dipilih untuk menyertai program berkenaan yang banyak memberi impak kepadanya dalam penggunaan bahasa Inggeris.

Pembinaan bermula Ogos ini

Posted: 13 May 2014 11:57 AM PDT

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
fairuz.yusof@utusan.com.my

KUANTAN 13 Mei - Projek pembangunan semula Pekan Rabu di Alor Setar, Kedah akan bermula Ogos ini dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Kedah, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail, projek yang menelan kos sebanyak RM56 juta itu bakal menjadi mercu tanda kepada kejayaan Koperasi Pekan Rabu di negeri tersebut.

Katanya, sebanyak 300 peniaga yang berniaga di bangunan asal tersebut akan dipindahkan ke Arked Mall milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan seperti biasa sementara menantikan bangunan baharu itu siap kelak.

"Bangunan baharu setinggi tujuh tingkat itu akan meningkatkan keluasan ruang niaga sebanyak sekali ganda selain pembinaan ruang pameran dan kawasan meletak kenderaan yang mencukupi bagi pengunjung membeli-belah di situ nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Makan Malam Bersama Pegawai Koperasi seluruh negara di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nik Ali Mat Yusof.

Pada 3 Ogos tahun lalu, Menteri Besar, Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, Pekan Rabu iaitu pusat perniagaan bumiputera di Alor Setar akan diroboh untuk dibina semula supaya lebih selesa dan lapang.

Menurut Mukhriz, langkah itu penting kepada Alor Setar khususnya untuk industri pelancongan dan sebuah pusat perniagaan baharu akan dibina semula supaya lebih menarik.

Sementara itu, Shahiruddin berkata, dalam mesyuarat Exco minggu lalu Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob meminta koperasi-koperasi bumiputera di Pahang membeli aset berupa bangunan dalam bandar bagi tujuan perniagaan.

Kami kini meneliti kawasan pembangunan baharu di setiap daerah yang berpotensi dan sekiranya koperasi tidak memiliki dana yang cukup, bantuan kewangan boleh dipohon daripada SKM.

Hal ini dapat membantu untuk mengimbangkan kadar pemilikan bangunan-bangunan perniagaan dalam bandar antara kaum," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved