Rabu, 21 Mei 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Piala Thomas: Malaysia jumpa Denmark hari ini

Posted: 21 May 2014 02:54 PM PDT

Daripada NORZIE MOHD. KASBI

NEW DELHI 22 Mei - Laluan berliku menanti pasukan badminton negara pada suku akhir Piala Thomas hari ini, apabila diundi menentang gergasi Eropah, Denmark.

Dalam undian yang diadakan awal pagi tadi, selepas semua perlawanan terakhir peringkat kumpulan tamat, Malaysia yang muncul juara Kumpulan C selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 turut diletak dalam laluan yang sama dengan juara 13 kali, Indonesia dan Korea Selatan.

Itu bermakna, seandainya berjaya menumpaskan Denmark di suku akhir skuad negara akan menempah pertemuan dengan pemenang di antara Indonesia dan Korea Selatan di separuh akhir.

Penyandang juara, China pula akan berdepan Thailand pada suku akhir, sebelum bertemu pemenang di antara Jepun dan Perancis pada suku akhir. - UTUSAN ONLINE

V Shem-Wee Kiong cipta kejutan

Posted: 21 May 2014 12:55 PM PDT

Oleh Norzie Mohd. Khasbi

Tan Boon Heong (kiri) membuat smash sambil Hoon Tien How dalam keadaan bersedia ketika menentang Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong dalam perlawanan beregu pertama Piala Thomas di New Delhi semalam. Pasangan negara kalah 19-21, 19-21. - EHSAN The Star

NEW DELHI - Nyanyian lagu selamat hari jadi daripada rakan-rakan sepasukan mengiringi Goh V Shem-Tan Wee Kiong sebaik sahaja beregu negara itu memastikan Malaysia muncul juara Kumpulan C selepas menundukkan Korea Selatan 3-2 dalam perlawanan terakhir peringkat awal kejohanan Piala Thomas semalam.

Selaku juara kumpulan, pasukan negara memastikan diri untuk tidak bertembung dengan dua gergasi badminton dunia, China dan Indonesia pada suku akhir hari ini.

V Shem dan Wee Kiong, yang masing-masing menyambut ulang tahun ke-25 pada 20 serta 21 Mei, mengesahkan kemenangan pasukan negara ke atas Korea Selatan selepas mengejutkan beregu No. 4 dunia, Kim Sa Rang-Kim Ki Jung 21-17, 21-19.

Percaturan yang dilakukan jurulatih, Pang Cheh Chang dengan memecahkan gandingan V Shem dan pasangannya, Lim Khim Wah, manakala Wee Kiong sepatutnya bersama Hoon Thien How nyata mengelirukan Korea Selatan.

Mereka bagaimanapun berpotensi untuk kembali bertemu Korea Selatan dalam undian suku akhir, selain Thailand dan Perancis yang muncul naib juara kumpulan masing-masing, manakala Denmark akan membuat perhitungan dengan Jepun untuk menentukan juara Kumpulan B.

"Memang satu perasaan yang hebat dapat memberikan mata kemenangan kepada pasukan negara pada hari istimewa kami. Apa yang lebih menggembirakan kemenangan ini membantu kami muncul juara kumpulan dan mengelak daripada berdepan pasukan kuat di suku akhir.

"Sebelum turun ke gelanggang, pasukan memberi kejutan kepada kami dengan membawa kek hari jadi. Saya benar-benar terharu dan berjanji untuk cuba menghadiahkan kemenangan kepada negara dan gembira akhirnya berjaya memenuhi misi tersebut," kata Wee Kiong.

Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menghadiahkan mata pertama Malaysia selepas menumpaskan Son Wan Ho 21-17, 21-17, namun gandingan senior, Tan Boon Heong-Hoon Thien How menjadikan keadaan cemas seketika apabila tumpas 19-21, 19-21 kepada beregu handalan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong.

Chong Wei Feng juga cemas seketika apabila tewas kepada Lee Dong Keun di set pembukaan, namun bangkit dengan persembahan lebih baik dalam dua set berikutnya untuk menang 19-21, 21-17, 21-14.

Selain kemenangan V Shem-Wee Kiong, turut menjadi tumpuan semalam adalah penampilan sulung pemain muda negara, Goh Soon Huat selaku perseorangan ketiga.

Soon Huat cuba memberikan tentangan kepada Soo Hwang Jong tetapi terpaksa akur dengan kekalahan 21-23, 15-21. Ini menjadikan perebutan slot perseorangan ketiga hari ini kembali terbuka di antara Soon Huat dan kapten, Liew Daren.

Berjaya menamatkan kempen selaku juara kumpulan memadam igauan buruk Piala Thomas 2012 di Wuhan apabila Malaysia diundi menentang China seawal peringkat suku akhir selepas sekadar muncul naib juara kumpulan.

"Apa yang berlaku dua tahun lalu ibarat mimpi ngeri. Saya cedera ketika itu dan pasukan gagal menamatkan cabaran selaku juara kumpulan, sebelum kami akhirnya terpaksa menentang China di suku akhir.

"Biarpun tidak perlu bertemu mereka di peringkat awal sekali lagi, namun saya ingin mengingatkan rakan-rakan sepasukan bahawa cabaran masih tidak mudah. Memang semangat yang ditunjukkan pasukan kali ini cukup tinggi, tetapi saya harap mereka akan terus memperbaiki permainan," kata Chong Wei, yang masih belum melepaskan sebarang set dalam tiga perlawanan setakat ini. - UTUSAN

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved