Isnin, 12 Mei 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


TMJ, Annuar buat pakatan?

Posted: 12 May 2014 12:42 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Annuar Musa

KUALA LUMPUR - Gendang Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke-50 semakin rancak dipalu dalam masa kurang dua minggu menjelang pemilihan pada 25 Mei ini apabila salah seorang calon Presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kelihatan memberi isyarat kuat akan bertanding.

Menurut sumber yang dipercayai, Tunku Ismail akan mengadakan perjumpaan secara tertutup bersama perwakilan-perwakilan badan gabungan FAM di salah sebuah lokasi yang dirahsiakan di Johor Bahru bagi menyampaikan misi dan visinya serta mendapatkan maklum balas daripada mereka yang hadir.

Malahan, perjumpaan itu turut didukungi oleh Timbalan Presiden FAM yang kini dalam penggantungan, Tan Sri Annuar Musa yang memberi sokongan padu kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu untuk mencabar penyandang, Sultan Ahmad Shah dan anakanda baginda, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pertandingan bagi jawatan Presiden kemungkinan pasti berlaku kerana TMJ cukup serius mahu bertanding dan beliau ada menemui beberapa perwakilan baru-baru ini.

Yang terbaru, satu perjumpaan menemui perwakilan badan-badan gabungan akan diadakan di salah sebuah hotel di Johor Bahru memandangkan pemilihan semakin hampir.

Ini menunjukkan beliau bersedia untuk bertanding kerana Tan Sri Annuar juga banyak membantu beliau dalam soal kempen kali ini dengan melakukan penjelasan secara terus kepada perwakilan, " kata sumber berkenaan.

Sebelum ini, TMJ pada peringkat awalnya difahamkan tidak mahu bertanding setelah menerima tiga pencalonan daripada 20 ahli gabungan, namun melakukan pusingan U pada saat akhir yang menyebabkan berlaku pertandingan tiga penjuru dengan Sultan Ahmad Shah dan Tengku Abdullah.

Namun, pada sidang akhbar baru-baru ini, TMJ kelihatan berteka-teki mengenai pendiriannya sama ada akan bertanding jawatan Presiden FAM atau tidak kerana beliau percaya, apa yang bakal berlaku seakan sudah boleh dibaca, terutama keputusan pemilihan.

Tengku Abdullah yang kini merupakan Timbalan Presiden FAM dilihat sebagai calon favourite untuk memenangi jawatan Presiden kerana mendapat sokongan daripada 12 perwakilan lain, sementara ayahandanya, Sultan Ahmad Shah, sebanyak lima pencalonan.

Usaha yang dilakukan oleh TMJ untuk menemui perwakilan dilihat sebagai usaha terakhirnya bagi mendapatkan sokongan. Peluang beliau untuk menang dalam pemilihan tersebut dilihat banyak bergantung pada perjumpaan berkenaan.

Buat masa ini kebanyakan perwakilan dijangka hadir untuk mendengar sendiri apa yang mahu dilakukan TMJ jika dipilih sebagai Presiden FAM.

Dijangkakan pertandingan kali ini sengit memandangkan kempen yang nyata begitu agresif daripada TMJ pada pemilihan kali ini.

Apa pun ia dilihat sebagai satu petanda yang sihat kepada sistem demokrasi yang diamalkan FAM," kata sumber itu lagi.

Engels calon jurulatih Malaysia

Posted: 12 May 2014 12:42 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Gert Engels

KUALA LUMPUR - Bekas jurulatih Mozambique, Gert Engels menjadi calon pilihan untuk membimbing Harimau Malaya dan kini berada di ibu negara bagi mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bekas penolong jurulatih kelab Liga Jepun, Urawa Red Diamonds itu antara calon jurulatih yang berada dalam fasa akhir pemilihan FAM untuk mencari pengendali tetap skuad kebangsaan.

Nama jurulatih baharu Harimau Malaya dijangka diketahui selewat-lewatnya pada pertengahan Jun, tahun depan.

Menurut sumber FAM, pengalaman Engels yang sebelum ini banyak membimbing kelab di Jepun memberi sedikit kelebihan buat pengendali berusia 57 tahun itu kerana memahami serba sedikit budaya bola sepak Asia.

FAM jelas berminat mahu menggunakan khidmat Engels sebagai jurulatih Harimau Malaya dan beliau pun kini difahamkan berada di Kuala Lumpur untuk sesi perbincangan.

Kehadirannya di sini membuktikan FAM benar-benar memandang serius mahu menggunakan khidmat Engels, namun dalam masa yang sama mereka masih menilai dua lagi calon jurulatih luar yang turut disenarai pendek.

Selain itu, dua jurulatih tempatan turut berada dalam radar FAM cuma kelebihan sedikit tampak kepada Engels yang telah pun berada di sini, segalanya bergantung kepada sesi perbincangan berkenaan," katanya.

Engels yang dilantik menjadi jurulatih Mozambique pada 2011 , namun pada 13 Jun 2013 beliau dipecat selepas pasukan kendaliannya dibelasah 6-1 oleh Guinea pada kelayakan Piala Dunia 2014.

Dalam enam perlawanan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2014, Engels hanya mampu membawa Mozambique mencatat keputusan seri tiga kali dan kalah tiga kali selain menduduki tangga ketiga, di belakang Mesir dan Guinea.

Pada zamannya sebagai pemain, Engels pernah beraksi buat kelab Jerman, Borussia Moenchengladbach.

Selain Engels, dua nama calon jurulatih luar yang turut dikaitkan menduduki kerusi panas Harimau Malaya itu adalah bekas jurulatih Sunderland dan Thailand, Peter Reid serta bekas pengurus Leeds United dan Aston Villa, David O' Leary.

Menurut sumber itu lagi, kemungkinan Datuk Ong Kim Swee untuk dilantik sebagai jurulatih Harimau Malaya sedikit tipis dan kemungkinan akan terus berperanan sebagai pengendali Harimau Muda A.

Apa yang difahamkan, Kim Swee tidak berada dalam perancangan FAM dalam masa terdekat ini untuk dijadikan sebagai jurulatih Harimau Malaya kerana mahu beliau terus memberi penekanan kepada pembangunan skuad Harimau Muda A.

FAM tidak mahu tergesa-gesa melantik Kim Swee selaku jurulatih Harimau Malaya kerana berpandangan lebih baik buat beliau mendapatkan seberapa banyak pengalaman," katanya.

Jurulatih PDRM dan bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh antara calon dalam kalangan jurulatih tempatan, selain Kim Swee.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved