Khamis, 1 Mei 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kemenangan penuh drama

Posted: 01 May 2014 11:51 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

Pemain-pemain Malaysia meraikan kejayaan mengalahkan New Zealand menerusi penentuan pukulan penalti shoot-out pada suku akhir Kejohanan Hoki Cabaran Juara-juara 1 di Stadium Indera Mahkota, Kuantan semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI

KUANTAN - Malaysia mengharungi pertarungan penuh drama apabila ketinggalan, bangkit dan kemudian dikejar sebelum menyingkirkan pasukan No. 6 dunia, New Zealand menerusi penentuan pukulan penalti shoot-out 3-2 untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Hoki Cabaran Juara-juara 1 (CC1) di Stadium Hoki Indera Mahkota, semalam.

Anak-anak buah Muhammad Dharma Raj Abdullah dikejutkan seawal minit keempat apabila Steve Edwards menyempurnakan jaringan padang untuk meletakkan New Zealand mendahului 1-0.

Namun, semangat juang tinggi dan aksi kelas dunia yang ditunjukkan pemain-pemain negara menyaksikan empat gol berjaya diledak pada babak pertama bermula dengan jaringan penyamaan ketua pasukan, Azlan Misron pada minit ke-20 dan dua gol Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-23 dan 31.

Mohd. Fitri Saari terdahulu menyempurnakan gol ketiga pada minit ke-24 selepas menunjukkan skil hebat dengan menewaskan tiga pertahanan lawan, sebelum menewaskan penjaga gol, Devon Manchester.

Drama sebenar bagaimanapun bermula pada babak kedua apabila New Zealand bangkit menenggelamkan keriuhan lebih 1,000 penyokong tuan rumah dengan menyamakan kedudukan 4-4 menerusi hatrik Andy Hayward pada minit ke-45, 60 dan 70.

Debaran Malaysia tidak berakhir di situ. Tuan rumah ketinggalan 0-2 dalam penentuan pukulan penalti shoot-out, namun ketangkasan penjaga gol, S.Kumar menepis tiga percubaan lawan memastikan pasukan negara akhirnya menamatkan perlawanan yang amat mendebarkan itu sebagai pemenang.

Jaringan penalti Malaysia disempurnakan oleh Faiz Helmi Jali, Firhan Ashari dan Shahril, manakala New Zealand meraih gol menerusi Inglis Hugo serta Hilton Blair.

"Kami mengharungi babak pertama yang amat baik dengan memperoleh empat gol yang hebat. Meskipun memegang kelebihan tiga gol, saya beritahu pemain ketika rehat supaya jangan ambil mudah perlawanan ini dan bermain seperti biasa.

"Malang sekali, ia tidak menjadi. Kami memberi terlalu banyak ruang kepada lawan untuk menyerang dan terpaksa membayar dengan harga tinggi apabila melepaskan tiga gol.

"Malah pada penentuan pukulan penalti shoot-out kami ketinggalan 0-2, namun saya gembira kami akhirnya bangkit untuk memenangi perlawanan. Saya sangat bangga dengan pemain-pemain kami... mereka membuktikan kemampuan hari ini," kata Muhammad Dharma.

Sementara itu jurulatih New Zealand, Colin Batch turut memuji aksi anak-anak buahnya yang mempamer kebangkitan hebat pada separuh masa kedua, namun gagal menyempurnakan peluang pada penentuan pukulan penalti.

"Ia tidak mudah untuk bangkit selepas ketinggalan dengan jurang tiga gol. Saya sangat bangga dengan pemain-pemain kami.. mereka bangkit dan mencipta banyak peluang.

"Dalam penentuan pukulan penalti, apa saja boleh berlaku. Kami sangat kecewa tewas dengan cara begini," ujar Batch.

Malaysia kini akan menempah pertemuan dengan Kanada pada separuh akhir selepas pasukan itu menyingkirkan Poland 3-2 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Rangel boleh lupakan Harimau Malaya

Posted: 01 May 2014 11:51 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my

HAJAT Paulo Rangel untuk menyarung jersi Harimau Malaya mungkin tidak akan menjadi kenyataan kerana Malaysia tidak bercadang mengambil pemain luar.

KUALA LUMPUR - Penyerang import berbisa Selangor, Paulo Rangel boleh melupakan impian untuk me-nyarung jersi Harimau Malaya kerana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak pernah bercadang untuk membuka pintu kepada pemain luar.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, hendak membawa masuk pemain naturalisasi juga bukan mudah kerana proses menukar kerakyatan seseorang pemain luar negara memakan masa yang sangat panjang.

Beliau memberitahu, situasi melibatkan Rangel tidak sama seperti Brendan Gan kerana urusan pemain muda Kelantan itu lebih mudah memandangkan bapanya merupakan warganegara Malaysia.

"Antara prosedur yang perlu dilaksanakan ialah mendapatkan taraf penduduk tetap sebelum boleh memohon untuk mendapatkan taraf warganegara dan proses ini memakan masa bertahun-tahun.

"Selepas mendapatkan taraf warganegara, perkara itu perlu dirujuk kepada FIFA bagi memastikan status Rangel sama ada pernah beraksi bersama skuad Brazil atau sebaliknya.

"Sekiranya segala urusan berjalan lancar sekalipun, Rangel ketika itu sudah berusia lebih 30 tahun untuk menyarung jersi Harimau Malaya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Baru-baru ini, Rangel yang berusia 29 tahun menyatakan kesediaannya untuk menyarung jersi skuad kebangsaan jika diberi peluang beraksi di pentas antarabangsa.

Pemain kelahiran Brazil itu turut mempamerkan aksi cemerlang musim ini bersama Selangor dengan menjaringkan 10 gol dalam 13 penampilan Liga Super.

Hamidin memberitahu, FAM juga tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membuka pintu bagi tujuan naturalisasi pemain seperti yang diamalkan beberapa negara jiran termasuk Singapura.

Beliau berkata, proses itu bukan mudah kerana ia melibatkan urusan kerajaan dan berisiko tinggi terutamanya jika pemain yang dipilih itu tidak mencapai tahap yang dikehendaki.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved