Selasa, 6 Mei 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Tubuh Grup Sayangi Perpustakaan

Posted: 05 May 2014 12:19 PM PDT

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

EMPAT murid lelaki melakukan ujian minda melalui aktiviti soduku sempena program Grup Sayangi Perpustakaan di Sekolah Kebangsaan Sirusa, Port Dickson, kelmarin.

TELOK KEMANG 5 Mei - Grup Sayangi Perpustakaan (GSP) adalah elemen keperkasaan ilmu yang diterapkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) untuk memastikan minat masyarakat terhadap kemudahan perpustakaan dapat dipertingkatkan.

Maka, tidak hairanlah pelbagai usaha dilakukan oleh PPANS dalam menjadikan Negeri Sembilan sebagai Lembah Ilmu, apatah lagi di negeri inilah lahirnya ramai cendiakawan, limuwan dan cerdik pandai seperti mana lahirnya satu-satunya pendeta, iaitu Za'ba.

Untuk itu, bagi memastikan perpustakaan tersebut kekal sebagai tepat rujukan, kajian, bacaan dan apa-apa sahaja maklumat berkaitan ilmu, PPANS mewujudkan GSP pada 2011 untuk mempromosi perpustakaan sekali gus meningkatkan kemahiran dan minat membaca dalam kalangan rakyat.

Pengarahnya, Jamilah Katis berkata, program itu melibatkan kakitangan PPANS di mana mereka akan menjelajah ke sekolah dengan visi untuk menerapkan budaya suka membaca dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda.

"Setiap tahun pelaksanaan program GSP mendapat kelulusan Bahagian Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri.

"Semasa program, kita memberi penjelasan mengenai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di perpustakaan berhampiran, menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar sekolah dan memberi kesedaran bahawa membaca adalah perkara yang amat penting dalam kehidupan ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini semalam.

Menurutnya, program GSP itu mempunyai modul yang dilaksanakan iaitu taklimat perkhidmatan PPANS, kuiz inforia, ceramah pengurusan pusat sumber, uji minda, permainan interaktif, persembahan boneka dan sumbangan bahan bacaan kepada Pusat Sumber Sekolah.

"Dengan wujudnya program ini kita dapat mempromosi dan mendekatkan perpustakaan kepada pelajar sekolah, meningkatkan tahap pembacaan mereka, selain meningkatkan keahlian perpustakaan.

"Setiap tahun GSP akan mendapat kerjasama 25 sekolah rendah dan menengah dalam misi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar sekolah," katanya.

Tambahnya, aktiviti Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit turut diterapkan semasa program.

"Baru-baru ini, kita menjalankan GSP ini di Sekolah Kebangsaan Sirusa, Port Dickson dengan melibatkan seramai 490 pelajar dan 12 guru bagi menjayakannya.

"Kita juga menjalankan program galakan membaca, antaranya Kempen Merakyatkan Budaya Membaca di setiap daerah, Ekspo Buku Islam, Pesta Buku Negeri Sembilan, Sambutan Hari Buku Sedunia, Sambutan Bulan Bahasa, Khidmat Nasihat Pembacaan, Pinjaman Buku Berkelompok dan pelbagai aktiviti sampingan yang menjurus ke arah galakan membaca masyarakat," katanya.

Apa yang pasti, GSP semakin disenangi semua pihak dan akan menjadi ikon kepada PPANS untuk terus memastikan rakyat membaca di mana juga mereka berada.

Kaedah pembacaan secara visual lebih menarik

Posted: 05 May 2014 12:19 PM PDT

TELOK KEMANG 5 Mei - Kaedah pembacaan yang berkesan perlu diselang-seli dengan visual supaya ia dapat meningkatkan minat membaca dalam kalagan pelajar sekolah.

Perkara ini diakui beberapa murid sekolah rendah apabila mereka cepat berasa bosan ketika membaca buku kerana tidak diselang-selikan dengan aktiviti.

Ini kata mereka, akan menjadikan pembacaan yang hambar dan buku yang mereka pegang akan ditinggalkan begitu sahaja di atas meja.

Seorang murid yang ditemui dalam Program Grup Sayangi Perpustakaan (GSP) anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) di Sekolah Kebangsaan Sirusa Port Dickson dekat sini, Hidayat Hazim, 10 berkata, dia dapat membaca buku dengan konsep yang berbeza.

"Apabila membaca buku sendirian, kita akan mudah merasa bosan. Maka kaedah membaca bersama rakan dan diselang-seli dengan aktiviti, ia akan meningkatkan minat untuk terus membaca mahupun belajar.

"Dalam aktiviti yang dijalankan pula, kami bergabung idea dan tenaga untuk menjayakannya. Ini juga dapat mengembangkan minda dan bakat dalam diri murid," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Rakannya, Azreeq Amizee, 10, pula berkata, aktiviti paling diminatinya adalah melihat persembahan patung.

Katanya, ini kali pertama dia melihat persembahan tersebut dan ia ternyata menarik.

"Mereka yang mengendalikan patung ini memainkan peranan yang besar dan mencuit hati penonton.

"Sebelum ini, saya hanya melihat di kaca televisyen sahaja di mana ia membosankan berbanding melihat dengan realiti persembahan ini," katanya.

Tambahnya, selain mengikuti persembahan itu, ia juga mempunyai elemen pengajaran dan pembelajaran kerana banyak nasihat yang diberikan oleh pemain patung tersebut.

"Cara belajar dan memahami sesuatu cerita melalui persembahan ini, nyata lebih menarik dan menyeronokkan," katanya.

Seorang lagi murid, Nurul Nabila Yusuf, 12, berkata, program ini bukan sahaja memberi semangat dalam berpasukan malah ia mendedahkan cara berkomunikasi di khalayak ramai.

"Kami dapati aktiviti ini memberikan keunikan di mana PPANS mengajar kami menjadi insan lebih berani terutama dalam memberikan pandangan terhadap sesuatu tajuk yang diberikan.

"Ini adalah perkara penting kerana pelajar seperti kami akan berhadapan saingan lebih besar kelak. Selain itu, kami juga dapat mengeratkan hubungan sesama pelajar, guru dan penganjur," katanya.

Istiadat bersejarah Penghulu Luak mengadap

Posted: 05 May 2014 12:19 PM PDT

SEREMBAN 5 Mei - Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Mengadap akan tercatat dalam sejarah adat di negeri ini apabila ia dilangsungkan pada 16 hingga 18 Mei ini di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, selepas kali terakhir disempurnakan pada tahun 2007.

Tunku Kecil Muda, Tengku Datuk Seri Hasmuddin Tengku Othman berkata, istiadat bersejarah itu akan bermula pada Jumaat, 16 Mei ini dengan menurunkan dan memasang alat kebesaran, diikuti istiadat bersiram pada Sabtu, manakala Ahad dilangsungkan kemuncaknya iaitu istiadat mengadap dan menyimpan kembali alat kebesaran berkenaan.

"Istiadat pada kali ini disertai oleh kesemua Penghulu Luak Tanah Mengandung dan turut dihadiri dua luak kecil Gemencheh dan Inas," kata beliau dalam sidang akhbar di Istana Hinggap, di sini hari ini.

Hadir sama kerabat Diraja Negeri Sembilan, Tengku Datuk Mahmood Fawzy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu, Abd. Razak Ab. Said.

Kata Tengku Hasmuddin, peristiwa itu mencerminkan keluhuran taat setia rakyat kepada raja dan kedaulatan raja sebagai payung pemerintah.

"Istiadat ini bertujuan bagi mengulangi taat setia yang tidak berbelah bahagi Datuk Penghulu Luak kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Tuanku Munawir.

"Pernah adat ini disempurnakan pada 1926 di mana pada waktu itu ia telah dihadiri Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Lawrence Gillemard di Istana Lama Seri Menanti. Selepas Istana Besar Seri Menanti siap, kesemua istiadat itu berlangsung di balairong seri," katanya.

Justeru, katanya, sejajar dengan program bersama Pesta Persukuan Adat Perpatih yang diadakan pada tarikh sama di Seri Menanti, Kuala Pilah ini, beliau berharap orang ramai terutama generasi muda, pengkaji sejarah dan pelajar dapat hadir menyaksikan susun atur dan gerakan istiadat yang jarang dipertontonkan ini.

"Pada masa itu juga, kita akan mengedarkan lebih 3,000 risalah berkaitan istiadat ini kepada orang ramai supaya mereka dapat mengetahui lebih lanjut berkaitan perjalanan istiadat sambil menyaksikannya secara visual yang dilangsungkan selama tiga hari itu.

"Istiadat mengadap yang diadakan dalam balairong seri, Istana Besar Seri Menanti akan dipaparkan melalui skrin besar di tapak pesta persukuan," katanya.

Sementara itu, mengenai Pesta Persukuan Adat Perpatih, Mat Ali berkata, di samping berlangsungnya istiadat adat berkenaan, acara di tapak pesta di Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti turut menyajikan acara menarik.

"Pameran luak, adat, peralatan dan masakan lauk negeri ini akan diadakan. Turut dilangsungkan kelak ialah persembahan kesenian dan pentas dakwah bersama sebuah TV Al-Hijrah," katanya.

Perasmian pesta itu akan disempurnakan oleh Tuanku Muhriz pada petang 16 Mei dan akan turut mencemar duli, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Tengku Besar Mahmud; Undang Yang Empat dan Tok Puan-Tok Puan serta Tunku Besar Tampin dan Tunku Isteri.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved