Khamis, 29 Mei 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Melayu perlu kukuh perpaduan

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 28 Mei - Musuh tidak akan berani mengancam andainya perpaduan dalam kalangan umat Islam terus terbina kukuh.

Ini ditegaskan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan menyatakan bahawa perpecahan yang berlaku dalam komuniti Melayu khususnya, mahupun masyarakat Islam yang besar disebabkan "jarum suntikan" musuh yang melepaskan virus sehingga mengakibatkan pemikiran rakyat menjadi lemah dan tidak fokus.

"Masyarakat luar amat segan dengan kekuatan perpaduan yang kita bina, terutama dalam umat Islam. Orang tidak akan berani menggugat keharmonian ini kerana pengukuhannya.

"Malangnya perpaduan yang dibina sejak sekian lama sudah ada yang mahu merobohkannya. Malah kalimah Allah yang suci itu pun ada yang mempersendakannya kerana kelemahan yang ada.

"Jangan kita kecewa apabila sudah kecundang. Waktu itu, kita akan merasa peritnya berdagang di tanah air sendiri," katanya dalam program sambutan Israk Mikraj peringkat negeri di Masjid Negeri dekat sini semalam.

Menurut Mohamad, umat Islam mungkin tidak sama pendapat mahupun pandangan, tetapi asasnya hendaklah sentiasa bersama dalam memastikan tanah air ini tidak terlelong, begitu juga dalam menjaga bangsa Melayu ini.

Beliau menambah, "jarum-jarum suntikan" ini sudah mula mencucuk bangsa Melayu dan umat Islam untuk mengembalikan zaman parah yang suatu ketika dahulu berpuak-puak, berpecah dan tidak bersatu.

"Ketika kita mencapai kemerdekaan, pemimpin berjaya menyatupadukan bangsa dan umat Islam, malah pada waktu itu orang Melayu amat kukuh perpaduannya. Kini sudah 57 tahun negara mencapai nikmat kemerdekaan, malangnya bibit perpecahan itu sudah ketara," kata beliau.

Justeru nasihat beliau supaya umat Islam kembali membetulkan saf, tunjukkan kekuatan dan pertahankan perpaduan.

"Tidak ada siapa yang untung jika kita berpuak dan yang jelas, kita dapat saksikan lebih banyak ruginya," kata beliau.

Kajian semula tahap ketahanan operasi Sains

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

MOHAMAD Hasan menyampaikan cenderamata kepada Dr. Asma Ismail (tengah) sambil diperhatikan oleh Pendaftar USIM, Muhammad Haizuan Rozali (kiri) ketika menerima kunjungan Naib Canselor USIM itu di Pejabat Menteri Besar di Seremban, semalam.

SEREMBAN 28 Mei - Kajian semula akan dilakukan terhadap tahap ketahanan operasi Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dalam menghadapi persekitaran kenaikan kos elektrik, bahan pembersihan loji dan rawatan air serta menyelenggara paip air.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebagai sebuah entiti yang dikorporatkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air pada 2009, Sains perlu berhadapan situasi berkenaan yang di luar kawalan mereka dan pada masa yang sama hendaklah menjaga peranannya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Rakyat maklum bahawa tarif air di Negeri Sembilan amat murah dan tidak pernah dinaikkan. Janganlah disebabkan faktor kebaikan yang disediakan oleh kerajaan negeri ini kita merasa tidak perlu berjimat dalam penggunaannya.

"Kita tidak tahu sejauh mana Sains boleh bertahan dengan kos operasi harian mereka disebabkan tekanan persekitaran dalam menguruskan bekalan air bersih kepada pengguna," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Menurut Mohamad, antara faktor yang diberi penilaian itu adalah kos operasi di rumah pam dan loji rawatan yang meningkat disebabkan kenaikan tarif elektrik.

"Sebanyak 50 peratus kos operasi di kawasan loji bergantung kepada kuasa elektrik, selain bahan kimia dalam rawatan air," katanya.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu faktor lain adalah berkaitan menyelenggara paip lama dan menukar paip baharu, yang turut memerlukan kos tinggi.

"Kajian sudah dibuat dan akan dinilai semula. Sebagai syarikat yang dikorporatkan dan bukan jabatan kerajaan, tentulah Sains memerlukan modal untuk beroperasi.

"Sekurang-kurangnya Sains dapat memperoleh bayaran bil air untuk menampung kos operasinya. Ini bukan faktor kelemahan atau pengurusan yang tidak efisien, tetapi ini disebabkan faktor yang sukar untuk disekat berikutan keperluan dalam sektor yang terbabit," katanya.

Apa pun kata Mohamad, sebarang keputusan kelak akan terlebih dahulu melihat kepentingan rakyat dan ia tidak akan dibuat sewenang-wenangnya tanpa kajian mendalam.

Mengenai ramalan kemarau, beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa bersiap sedia menghadapinya dalam memastikan bekalan air terawat diterima pengguna dan tidak mengganggu kehidupan harian mereka.

Mohamad selepas sidang akhbar itu menerima kunjungan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Asma Ismail yang akan bertukar ke Kementerian Pendidikan pada 1 Jun ini, di pejabat beliau di Wisma Negeri.

Dr. Asma dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi di Jabatan Pengajian Tinggi di kementerian berkenaan menggantikan Prof. Datuk Dr. Morshidi Sirat yang bersara, manakala jawatan Naib Canselor USIM yang baharu akan diumumkan pada hujung bulan ini.

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

MELAKA 28 Mei - Pendekatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dilihat sebagai platform terbaik dalam usaha mengembangkan ekonomi berteraskan digital dalam kalangan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, pendekatan berteraskan ICT amat penting untuk dikuasai bagi memastikan para usahawan IKS tidak ketinggalan serta mampu melangkah seiring kemodenan teknologi masa kini.

Sehubungan itu katanya, pelbagai usaha telah dilaksanakan kerajaan bagi menyokong usaha tersebut dan terbaharu melalui program .myBuddies: Rakan Dalam Talian Anda melalui inisiatif agensi-agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan MYNIC Berhad dengan kerjasama Asertech Sdn. Bhd.

"Program .myBuddies menawarkan inisiatif menyeluruh kepada usahawan dan bakal usahawan IKS untuk memperkasakan penjenamaan serta pemasaran produk secara lebih efektif menerusi kemudahan laman sesawang dan e-Dagang di Internet.

"Penyelesaian pintar program ini bakal memberi impak dalam menjana pembangunan usahawan IKS sekali gus mencapai sasaran 100 peratus golongan tersebut yang berdaftar memiliki laman sesawang sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar .myBuddies peringkat negeri di Hotel Emperor, Jalan Munshi Abdullah di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Operasi MYNIC Berhad, Nursuzana Harun; Pengarah Kolej Komuniti Bukit Beruang, Abdul Razak Sabtu dan Profesor Jabatan Media Interaktif Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Dr. Ahmad Zaki A. Bakar.

Jelas Hasan, pada masa kini tidak sampai 20 peratus daripada usahawan IKS berdaftar di negara ini memiliki laman sesawang atas faktor kos pemilikan yang tinggi serta keperluan kemahiran teknologi maklumat dalam menyelenggara sesebuah laman sesawang.

"Justeru, .myBuddies akan membantu memudahkan pemilikan laman sesawang bagi setiap usahawan serta mewujudkan jalinan rangkaian kerjasama pintar sesama mereka bagi merangsang peluang ekonomi di pasaran domestik dan global," ujarnya.

Selain itu tambahnya, program berkenaan juga berupaya menarik golongan belia dan graduan untuk menceburi bidang keusahawanan berteraskan ICT sekali gus merapatkan jurang statistik pengangguran.

"Dalam masa sama, saya turut berharap agar program seumpama ini dapat diperluaskan hingga ke peringkat akar umbi merangkumi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat merasai faedahnya," katanya.

Dalam program itu, para usahawan IKS disediakan domain .my dengan penghosan percuma selama setahun selain pendedahan dunia perniagaan serta peluang menjana ekonomi digital.

Sebanyak 9,000 domain yang berakhir dengan .my juga turut ditawarkan untuk pendaftaran khususnya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sempena pelancarannya hari ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved