Isnin, 19 Mei 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Pelihara nilai tradisi, adat - Tuanku Muhriz

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

KUALA PILAH 18 Mei - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini bertitah supaya nilai tradisi dan adat dipelihara demi nama baik institusi Beraja dan Beradat yang telah diwarisi sejak turun temurun.

Titah baginda, pendedahan dan pemahaman yang sewajarnya mengenai adat itu juga hendaklah terus diberi perhatian serius khususnya kepada generasi muda agar tak lapuk dek hujan, tak lokang dek paneh'.

"Tradisi Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap ini merupakan tradisi yang telah dilaksanakan melalui kesepakatan pada 29 April 1898 oleh Penghulu-Penghulu Luak yang bernaung di bawah payung Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

"Istiadat ini mencerminkan keluhuran taat setia rakyat kepada Raja dan kedaulatan Raja sebagai payung pemerintahan yang bersesuaian dengan perbilangan adat, Alam Yang Beraja dan Luak Yang Berpenghulu," titah baginda selepas menerima menghadap Penghulu-Penghulu Luak di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, barisan Putera Yang Empat, kerabat-kerabat kanan, Anak Raja Bergelar, pembesar Istana dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan negeri.

Tuanku Muhriz bertitah, terdapat juga iktibar yang boleh diambil dan dimanfaatkan oleh masyarakat secara keseluruhannya melalui amalan tradisi turun temurun ini.

"Jalinan silaturahim di antara Luak-luak yang ada dengan Istana Beta dapat dieratkan lagi yang sekali gus memperkukuh perspektif Raja dan Rakyat Berpisah Tiada," titah baginda.

Namun begitu Tuanku Muhriz bertitah, dalam istiadat ini terdapat pandangan serta pendapat yang berbeza dalam kalangan sesetengah luak berkenaan, keperluan untuk hadir menghadap menyembah taat setia kepada baginda serta cara perlaksanaannya.

"Beta yakin hal demikian tidak sepatutnya berlaku jika aturan adat terdahulu terus dipatuhi. Beta mahu agar suatu titik persefahaman dicari supaya kesinambungan Istiadat ini diteruskan mengikut ketetapan yang ada bagi memastikannya tidak luput ditelan zaman dan dapat berjalan dengan lebih baik serta teratur," titah baginda.

Pada masa yang sama, Tuanku Muhriz mahu dalam melaksanakan perjalanan adat di setiap luak, pendekatan yang baik seperti konsep bermusyawarah dalam menyelesaikan sesuatu isu di peringkat anak-anak buah akan terus diamalkan.

"Bagi memastikan pentadbiran adat di peringkat luak berfungsi dengan lebih efektif dan perjalanan serta aturan adat menjadi lebih kemas, Beta menyeru agar langkah sewajarnya diambil untuk mengisi kekosongan jawatan Penyandang Pusaka Adat.

"Berbincang dan bermuafakatlah dengan suci hati bagi memilih calon terbaik untuk jawatan-jawatan tersebut sesuai dengan perbilangan adat, Bulat air dek pombotung, Bulat kato dek muafakat," titah Tuanku Muhriz.

Pada istiadat berkenaan seramai empat Dato Penghulu Luak Tanah Mengandung menghadap dan melafazkan ikrar taat setia, mereka ialah Penghulu Luak Ulu Muar, Dato Bendahara Setia Maharaja Setia Maharajalela Pahlawan, Mansor Yusof; Penghulu Luak Gunung Pasir, Dato Orang Kaya Mempasir Setiawan, Hanizam Harun; Penghulu Luak Inas, Dato Pahlawan Lela Perkasa Walad Kuala Dioh, Mohammad Ariff Sidek dan Penghulu Luak Terachi, Dato Anjah Pahlawan, Mohamad Nasir Nordin.

Sementara itu, istiadat menghadap Penghulu Luak Jempol disempurnakan oleh pemangkunya, Dato Paduka Lela Putra Setiawan, Alias Abdul Karim dan diikuti dua Dato' Penghulu Luak-Luak Kecil, Penghulu Luak Gemencheh, Dato Orang Kaya Setiawan, Badarudin Dahlan serta Penghulu Luak Air Kuning, Dato Orang Kaya Setiawan (Penghulu Pesaka), Mohd. Ghazali Abdul Jalil.

Penyertaan belia bentuk dasar diutamakan

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

TELOK KEMANG 18 Mei - Penyertaan belia dalam pembentukan dasar diberikan keutamaan bagi memastikan hala tujunya benar-benar memberi kesan dan impak positif untuk tempoh jangka masa panjang

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, jika dilihat kepada senario terkini di negeri ini, hampir 50 peratus penduduk di negeri ini yang rata-ratanya mempunyai pandangan tentang sesebuah polisi yang ingin dilakukan.

Justeru katanya, kerajaan sentiasa memberi ruang dan platform sebaiknya kepada belia kerana sedar perlunya kombinasi jitu bagi memastikan segala usaha yang dilakukan memberikan impak berkesan.

"Kita sebenarnya telah pun memberikan ruang kepada belia menerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia negeri yang melibatkan pelbagai profesion agar segala idea dikemukakan dapat digarap seterusnya dijadikan dasar,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Belia Negeri Sembilan 2014 di Pantai Batu 1, Port Dickson dekat sini semalam yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hasan serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zaifulbahri Idris

Kata Mohamad, kerajaan sedia menjadi pemudah cara bagi sebarang bentuk program ataupun pembentukan dasar yang bersesuaian oleh belia agar akhirnya nanti akan memberikan manfaat besar kepada mereka.

Jelas Mohamad, kerajaan juga menerusi jabatan tidak mahu mengarahkan mereka untuk melakukan sebarang aktiviti, sebaliknya akan diberi peluang untuk merancang apa sahaja yang difikirkan sesuai untuk dilakukan.

"Mereka perlu bersama-sama dalam memberikan pandangan dan idea. Dari situ nanti dapat kita gubal satu dasar yang lebih mesra dan disukai oleh belia itu sendiri.

"Nampaknya konsep ini amat baik sekali kerana cara seperti ini adalah kaedah terbaik dalam mendekati belia. Malah, maklum balas yang diterima daripada belia amat baik kerana mereka dilihat dihargai oleh kerajaan,'' katanya.

Asmah Tokoh Ibu Melaka 2014

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

MELAKA 18 Mei - Isteri bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam iaitu Datin Seri Asmah Ab. Rahman dipilih menerima anugerah Tokoh Ibu Negeri Melaka 2014 sempena Sambutan Hari Ibu peringkat negeri semalam.

Asmah, 59, dipilih menerima anugerah berkenaan hasil penglibatan aktifnya dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan pembangunan wanita di negeri ini, di samping memikul tanggungjawab berat sebagai isteri kepada pemimpin negeri.

Beliau ketika ditemui berkata, anugerah tersebut sememangnya sesuatu yang tidak diduganya, namun merupakan penghargaan baginya yang telah banyak berkorban demi keluarga dan masyarakat.

Menurutnya, cabaran menjadi isteri dan membesarkan anak-anak bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi bergelar pasangan kepada pemimpin utama negeri.

"Namun begitu, saya bersyukur kerana dikurniakan suami yang amat penyayang walaupun sentiasa sibuk dengan tugas sehariannya.

"Tanggungjawab mendidik dan membesarkan anak-anak menjadi keutamaan saya mengurangkan beban ditanggung suami berkhidmat kepada masyarakat," katanya.

Anugerah itu disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron yang turut merasmikan majlis sambutan tersebut di Stadium Mini Bistari, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Dr. Siti Norlasiah Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Latipah Omar.

Asmah yang juga Pengerusi Pertubuhan Berkumpulan Perempuan Melaka mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Ali pada 1985 dan dikurniakan dua anak lelaki serta seorang perempuan.

Sementara itu, Idris dalam ucapannya memberitahu, peranan dimainkan wanita telah berubah berbanding dahulu yang hanya berperanan sebagai isteri dan ibu.

Katanya, tanggungjawab seseorang wanita kini telah bertambah dan semakin mencabar, malah sebahagian besar daripada mereka turut bekerja bagi menampung keluarga.

Justeru tegasnya, peranan dimainkan insan bernama ibu amatlah besar dan perlu dihargai oleh setiap insan serta tidak mengabaikan mereka apabila sudah tua dan uzur.

"Bahkan, jika ibu sudah meninggal dunia sekalipun, kita sebagai anak perlu terus mendoakan kesejahteraannya serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman," ujarnya.

Pada majlis sama, enam individu turut dipilih sebagai Tokoh Ibu peringkat Parlimen iaitu Datuk Ramlah Abas (Jasin), Jamaliah Kassim (Masjid Tanah), Datuk Hazizah Mohd. Sultan (Bukit Katil), Che Jah Samsudin (Tangga Batu), Fatimah Abu (Kota Melaka) dan Khalimah Ali (Alor Gajah).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved