Sabtu, 17 Mei 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


697 notis kesalahan dikeluarkan

Posted: 16 May 2014 11:46 AM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

Rusdi Abd. Rahman memeriksa tanda larangan merokok dalam sebuah teksi ketika Ops Kenderaan Awam di Melaka Sentral, semalam.

MELAKA 16 Mei - Sebanyak 697 notis kesalahan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan negeri terhadap individu di sekitar negeri ini yang dikenal pasti melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 sepanjang Januari hingga pertengahan Mei.

Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, daripada jumlah itu sebanyak 189 notis dikeluarkan dengan nilai RM49,500 bagi kompaun terhadap kesalahan merokok di kawasan pengangkutan awam serta gagal mempamerkan tanda larangan merokok termasuk tidak mematuhi spesifikasi.

Menurutnya, kesalahan yang sama masih berulang iaitu setiap kali operasi dijalankan, terdapat individu yang gagal mematuhi peraturan dengan merokok di tempat-tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

"Selain itu, kita dapati kurangnya kesedaran pengusaha serta pemandu bas dan teksi yang tidak mengambil berat mengenai pematuhan pemasangan tanda larangan merokok mengikut spesifikasi ditetapkan dalam kenderaan awam yang telah dikuat kuasa sejak 2004.

"Dalam operasi yang dijalankan hari ini, sebanyak 55 pengangkutan awam telah diperiksa iaitu bas tempatan, bas ekspres dan teksi dengan lima notis kesalahan dikenakan bernilai RM3,500 terhadap mereka gagal mempamerkan tanda larangan merokok di bawah Peraturan 12 (1) (a).

"Selain itu sebanyak sembilan notis kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 11 (1) yang bernilai RM2,250 terhadap kesalahan merokok di tempat larangan merokok," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akbar selepas Operasi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 Siri 4, Ops Kenderaan Awam di Melaka Sentral di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan negeri, Dass Kandunni.

Dalam operasi selama dua jam itu turut membabitkan 68 anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan iaitu Jabatan Kesihatan negeri, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Puspakom Sdn. Bhd. dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Rusdi berkata, operasi itu bertujuan untuk melindungi para penumpang kenderaan awam daripada bahaya asap rokok di samping memberi kesedaran kepada perokok supaya tidak merokok di dalam kenderaan atau hentian pengangkutan awam.

Dewan orang ramai di kawasan padat akan dibina

Posted: 16 May 2014 11:46 AM PDT

SEREMBAN 16 Mei - Kerajaan negeri akan memantau serta menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat bandar yang semakin padat khususnya melibatkan kemudahan awam.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan ini termasuklah penyediaan dewan orang ramai yang dilihat salah satu keperluan yang mendesak dalam melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta sukan di kawasan setempat.

"Migrasi orang ramai dari luar bandar ke bandar ketika ini amat ketara sekali dan mahu tidak mahu kerajaan perlu melihat keperluan asas di kawasan perbandaran.

"Jika kita tidak melakukannya dari sekarang ia akan menyebabkan kesukaran mereka untuk menjalankan kegiatan seharian mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perasmian Dewan Orang Ramai Taman Perwira dan Penyampaian Sumbangan Membantu Kadar dan Geran Tahunan Pihak Berkuasa Tempatan negeri di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hasan.

Dewan Orang Ramai Taman Perwira telah memulakan pembinaannya pada 25 Jun 2012 dan siap pada 25 Oktober tahun lalu dengan kos keseluruhan sebanyak lebih RM1.8 juta dengan peruntukan kerajaan serta pihak berkuasa tempatan.

Mohamad menjelaskan dewan yang luasnya 880 meter persegi, merangkumi empat buah gelanggang badminton, pentas, pejabat, bilik mesyuarat, tempat meletak kereta, tandas bagi lelaki dan wanita serta orang kelainan upaya (OKU) mampu memuatkan 1,000 orang pada satu-satu masa.

Dalam pada itu Mohamad turut menjelaskan pihaknya sedang merancang untuk membina dewan orang ramai yang serupa di kawasan Ampangan ekoran permintaan yang mendesak di kawasan berkenaan.

"Kita melihat ada keperluan untuk kita menyediakan kemudahan ini kepada penduduk di Ampangan kerana penduduk di kawasan itu cukup padat dan kalau ada pun ia tidak dapat memenuhi keperluan orang ramai.

"Projek berkenaan akan dilaksanakan di kawasan itu dalam tempoh masa terdekat dan kita sedang mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk mendirikan dewan itu," katanya.

Jangan biarkan Adat Perpatih berkubur

Posted: 16 May 2014 11:46 AM PDT

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud melihat konsep hidangan makanan lama semasa melawat gerai pameran selepas merasmikan Pesta Persukuan Adat Perpatih di Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti, Negeri Sembilan, semalam. - bernama

KUALA PILAH 16 Mei - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah supaya Adat Perpatih yang menjadi warisan turun temurun tidak berkubur dan sekadar menjadi sejarah khususnya dalam kalangan generasi akan datang.

Titah baginda, adalah menjadi kerugian yang besar sekiranya nilai moral yang terdapat dalam Adat Perpatih tidak diamalkan.

"Beta ingin menzahirkan kekhuatiran mengenai masa depan Adat Perpatih ini, usaha perlu dilakukan agar adat ini tidak hanya dilihat oleh generasi akan datang di muzium atau di arked sahaja.

"Bagi memastikan kesinambungan Adat Perpatih agar terus kekal relevan, masyarakat memerlukan sebuah pusat rujukan utama yang juga berfungsi sebagai pusat kajian," titah baginda selepas merasmikan program Pesta Persukuan Adat Perpatih yang diadakan di Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti, Kuala Pilah, di sini hari ini.

Baginda bertitah, masyarakat sewajarnya menggunakan sebaik-baiknya nilai-nilai yang terkandung dalam adat ini kerana ia mampu membantu masyarakat mendepani pelbagai cabaran dan gejala keruntuhan akhlak.

"Nilai murni yang terkandung dalam Adat Perpatih perlu difahami dan bukannya dilihat sebagai adat yang digunakan di dalam majlis perkahwinan mahupun dalam pembahagian tanah pusaka," titah Tuanku Muhriz.

Turut berlangsung, gimik perarakan Panta Berkucung yang terdiri daripada 11 luak di Negeri Sembilan iaitu Luak Berundang yang terdiri daripada Luak Sungai Ujong, Luak Jelebu, Luak Johol dan Luak Rembau.

Luak Tanah Mengandung pula terdiri daripada Luak Ulu Muar, Luak Jempol, Luak Terachi, Luak Gunung Pasir dan Luak Inas di mana Panta Bekucung itu mengandungi empat jenis kuih-muih tradisional dari luak-luak yang menonjolkan keunikan kuih-muih masing-masing.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved