Rabu, 14 Mei 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kolej tawar program percuma

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

Kursus dalam bidang penerbangan antara yang ditawarkan kepada golongan muda menerusi program SKM secara percuma di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka.

MELAKA 13 Mei - Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) mempelawa anak negeri ini membuat permohonan bagi mengikuti kursus-kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) secara percuma di kolej berkenaan.

Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi, berkata, kursus yang ditawarkan itu adalah menerusi Program Peningkatan Kapasiti dan Kapabiliti Kumpulan Khusus (PPKK) yang ditaja sepenuhnya oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka.

Menurutnya, program itu bertujuan memberi latihan kemahiran keusahawanan, peningkatan pencapaian pendidikan dan latihan bagi meningkatkan pendapatan serta kualiti hidup bagi isi rumah berpendapatan rendah.

Sebagai agensi pelaksana, KAYM menawarkan pelbagai kursus-kursus SKM seperti Juruteknik Elektrik, Juruteknik Automatif, Pelukis Pelan Senibina, Pembuatan Roti, Pembuatan Pastri, Aminasi dan Aviation Sheet Metal secara percuma kepada mereka yang berminat.

Kursus ini terbuka kepada mereka yang berminat dan kepada pelajar yang memperoleh keputusan kurang cemerlang dalam akademik juga boleh mengikuti kursus kemahiran yang ditawarkan KAYM," katanya.

Saroni berkata, beliau percaya, dengan adanya latihan kemahiran, ia dapat menjamin dan mengukuhkan lagi peluang mereka mendapat pekerjaan dalam sektor perindustrian yang semakin berkembang pada hari ini.

Menurutnya, dengan insentif istimewa yang ditawarkan, pihaknya berharap lebih ramai kumpulan sasaran seperti belia, remaja, waris peserta e-kasih dan kumpulan minoriti seperti Orang Asli merebut peluang berkenaan demi masa depan mereka.

Katanya, beliau juga yakin dengan adanya peningkatan tahap pendidikan dan kemahiran serta daya keusahawanan membolehkan mereka mengambil peluang daripada pertumbuhan pesat ekonomi negara.

Ini juga selaras dengan usaha-usaha kerajaan bagi meningkatkan kapasiti dan kemampuan golongan tersebut untuk meningkatkan pendapatan, ekonomi dan kualiti hidup mereka.

Pengambilan pertama pelajar bermula bulan Julai ini dan tempat adalah terhad. Selain dari yuran pengajian, pelajar juga akan mendapat elaun sara diri, elaun makan dan kemudahan asrama secara percuma," katanya.

Mereka yang berminat boleh menghubungi 06-2824251 (talian terus)/06-2817732 sambungan 289/291/

302 atau hadir sendiri berjumpa dengan pegawai-pegawai KAYM untuk pendaftaran dan keterangan lanjut.

379 lulusan KKBB terima Sijil Modular Kebangsaan

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

Mohd. Ali Rustam (duduk, tengah) dan Abdul Razak Sabtu (duduk, dua dari kanan) bersama lulusan kolej selepas Majlis Penyampaian Sijil Modular Kebangsaan KKBB di Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 13 Mei - Seramai 379 lulusan Kolej Komuniti Bukit Beruang (KKBB), berjaya menamatkan modul dan dianugerahkan Sijil Modular Kebangsaan kali Ke-8 bagi sesi Januari 2014 dalam satu majlis di Rumah Media Melaka, Ayer Ke-roh, di sini baru-baru ini.

Pengarah KKBB, Abdul Razak Sabtu berkata, penerima sijil itu melibatkan lulusan daripada pelbagai bidang iaitu Program Servis Kenderaan Ringan, Operasi Perhotelan, Kulinari serta Fesyen dan Pakaian.

Menurutnya, kolej itu komited menjadi sebuah institusi yang me-lahirkan lulusan berdaya saing dan memenuhi kehendak masyarakat setempat melalui penyediaan dan kemahiran yang bersesuaian dengan kehendak umum.

KKBB juga kini tidak lagi menjadi pilihan terakhir pelajar yang gagal menempatkan diri di institusi pengajian tinggi (IPT) tetapi menjadi pilihan kepada yang berminat untuk menceburi bidang kemahiran dan keusahawanan tanpa mengira had umur.

Kolej ini juga menyediakan tempat pembelajaran kemahiran serta memperkasakan program-program yang ditawarkan dengan memberi peluang kepada mereka dalam pelbagai sektor antaranya perhotelan, pemakanan, perindustrian, perkhidmatan, pembinaan dan keusahawanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sijil Modular Kebangsaan KKBB, Lulusan Januari 2014 Kali Ke-8 yang disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Senator Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, baru-baru ini, seramai 20 orang pelajar kolej itu berjaya dalam temu duga kerjaya di Mas Awana Sepang dalam bidang Operasi Perhotelan & Kulinari yang dijalankan oleh Unit Latihan dan Perhubungan Industri bersama Program Hotel & Katering KKBB.

Katanya, Mas Awana merupakan Unit Pusat Pengeluaran dalam menyediakan makanan dan minuman bagi Malaysia Airlines Golden Lounges di KLIA.

Ini membuktikan lulusan KKBB adalah berkemahiran dan mempunyai permintaan tinggi dan memberangsangkan yang memenuhi kehendak pasaran tenaga kerja," katanya.

Wujudkan geran urus aktiviti

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 13 Mei - Kerajaan perlu mewujudkan dana dalam bentuk geran bagi membantu Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil negeri ini dalam menguruskan pelbagai aktiviti untuk memfaat golongan usahawan memajukan perniagaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, dana melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dapat digunakan oleh persatuan terbabit menganjurkan pelbagai kursus membantu golongan tersebut.

Menurutnya, ketiadaan peruntukan khas daripada kementerian menyebabkan persatuan itu gagal menguruskan pelbagai program dengan sempurna kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup.

Kementerian perlu membantu persatuan ini dengan mewujudkan dana khas dan bukannya melalui bantuan one off. Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil di negeri ini tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk membantu golongan peniaga dalam menguruskan perniagaan masing-masing.

Mereka ini perlu dibantu oleh kementerian dengan satu jumlah peruntukan yang memadai bagi menguruskan pelbagai program yang dapat membantu golongan peniaga meningkatkan serta memajukan perniagaan masing-masing, katanya ketika dihubungi hari ini.

Hasan berkata, melalui peruntukan dana dalam bentuk geran membolehkan persatuan menganjurkan pelbagai aktiviti dan program di peringkat negeri.

Pada masa ini, persatuan kekurangan sumber kewangan bila nak anjur aktiviti yang menjurus kepada membantu peniaga kecil dari segi urusan pentadbiran, pengurusan kewangan dan sebagainya," ujarnya.

Justeru katanya, melalui dana berbentuk geran daripada kementerian akan dapat membantu persatuan melaksanakan lebih banyak program dengan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan.

Menurut Hasan, pada masa ini sistem pentadbiran persatuan itu masih tidak tersusun memandangkan mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menguruskan 4,800 ahli dengan lapan cawangan di negeri ini.

Katanya, beliau akan mengemukakan surat cadangan kepada kementerian untuk memohon peruntukan tahunan bagi persatuan tersebut.

Tambahnya, antara cadangan tersebut ialah dana berbentuk geran berjumlah RM50,000 kepada persatuan manakala RM10,000 bagi cawangan-cawangan di peringkat daerah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved