Isnin, 12 Mei 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Pilih parti ada rekod prestasi

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
utusanmelaka@utusan.com.my

IDRIS Haron (tiga dari kiri) merasmikan Sambutan Hari Falak 2014 peringkat negeri di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka, kelmarin.

ALOR GAJAH 11 Mei - Rakyat diingatkan supaya memilih parti politik yang telah terbukti mempamerkan rekod prestasi terbaik dalam mentadbir negara dan membela nasib rakyat serta tidak menjadikan kebencian sebagai alasan untuk melakukan perubahan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, setakat ini tiada lagi parti politik yang terbukti mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat seperti Barisan Nasional (BN) yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat.

Menurutnya, setelah hampir 57 tahun negara mencapai kemerdekaan, BN yang ditunjangi UMNO telah menunjukkan prestasi terbaik dalam membela nasib rakyat dan mempamerkan kemampuan dalam mentadbir negara.

Rekod pencapaian parti UMNO adalah cemerlang setakat ini dan seharusnya dijadikan sebagai satu alasan kenapa parti ini seharusnya diberi peluang mentadbir dan mengurus negeri ini dan juga negara.

Sehingga kini tiada parti yang dapat membuktikan mereka lebih baik menguruskan negara ini melainkan melakukan kekacauan dan menyuntik kebencian rakyat terhadap kerajaan yang memerintah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Falak 2014 di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara di sini semalam.

Beliau berkata, kepimpinan negara kini berusaha gigih bagi memastikan bukan sahaja cemerlang dari segi pencapaian ekonominya malah tidak pernah mengabaikan keperluan dan kehendak rakyat.

Katanya, walaupun senario politik semasa negara telah berubah dibandingkan dengan zaman sebelum dan awal kemerdekaan, kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan BN dan UMNO terutamanya dalam memupuk perpaduan kaum di negara ini.

Kepimpinan negara semua bekerja kuat dengan membawa idea transformasi, kita bukan bekerja dalam era dahulu kala, kita bekerja dalam era baru yang berjaya memenuhi keperluan rakyat secara objektif dan tepat.

Jangan terpengaruh dengan pembangkang yang menanam kebencian rakyat terhadap kerajaan kerana pemilihan berdasarkan kebencian akan mengundang kesengsaraan kepada negara dan rakyat," katanya.

Bagaimanapun katanya, sebagai sebuah parti politik, UMNO tidak boleh terlalu selesa kerana kehendak rakyat sentiasa berubah-ubah dan parti itu perlulah melakukan perubahan seiring dengan kehendak semasa.

Puspanita bantu tanam pokok bakau

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

NAIM Abu Bakar (tengah, kanan) dan Rafeah Hanim Johari (tengah, kiri) melihat pelatih PLKN yang turut menanam pokok bakau di sekitar kawasan di Perkampungan Ikan Bakar Umbai (PIBT), di Jasin, kelmarin.

JASIN 11 Mei - Sebanyak 100 anak pokok bakau ditanam di Perkampungan Ikan Bakar Umbai (PIBT) di sini sempena program anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Melaka bagi pemuliharaan alam sekitar.

Program Puspanita itu turut melibatkan seramai 200 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Legenda Asahan yang membantu menanam pokok dan bergotong-royong mengutip sampah-sarap sepanjang satu kilometer di tepi pantai.

Pengerusi Puspanita negeri, Datin Rafeah Hanim Johari berkata, program khidmat masyarakat itu diadakan khusus bersama generasi muda dalam usaha membantu pemuliharaan alam selain meningkatkan kefahaman mereka terhadap kepentingannya terhadap ekosistem.

Program penanaman semula anak pokok bakau ini perlu bagi memulihara kembali kawasan di sepanjang pantai Umbai yang kian terjejas akibat hakisan pantai.

Menerusi program ini, diharap dapat memulihkan kawasan pokok bakau di sekitar kawasan ini yang mampu menjadi benteng dan zon penampan daripada hakisan dan ribut.

Inisiatif ini juga bagi menyahut seruan kerajaan negeri supaya hutan bakau ini dapat dipulihara sekali gus membaik pulih ekosistem pesisir pantai bagi menjaga khazanah alam untuk dinikmati generasi akan datang," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Program itu dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Naim Abu Bakar dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Zaidi Attan.

Dalam pada itu, Rafeah berkata, pihaknya komited mengadakan pelbagai program kemasyarakatan dalam mendekati komuniti selain mengeratkan hubungan sesama ahli Puspanita negeri yang kini mempunyai 1,934 ahli.

Puspanita juga akan menganjurkan pelbagai program seperti kursus menghadiri temuduga dan penulisan resume bagi anak-anak cemerlang Puspanita, selain sempena majlis tadarus dan khatam al-Quran Ramadan ini dan sumbangan Aidilfitri bagi anak-anak yatim," katanya.

PPSPPA agih 532 TSB di Kuala Pilah

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

SEREMBAN 11 Mei - Sebanyak 532 unit tong sampah beroda (TSB) percuma diagihkan kepada penduduk melibatkan 10 taman perumahan di sekitar Kuala Pilah di sini baru-baru ini,

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Kuala Pilah/ Jempol, Azry Osman berkata, pengagihan fasa pertama yang dijalankan di daerah tersebut bertujuan memudahkan proses kutipan sisa pepejal sekali gus memastikan kutipan dijalankan secara efisien.

"TSB yang berkapasiti 120 liter ini diberikan secara percuma kepada penduduk di kawasan yang kutipan sampahnya diselenggarakan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Penduduk yang masih belum menerima kemudahan percuma ini hanya perlu mengisi borang pendaftaran serta menyerahkan salinan bil air atau elektrik yang beralamat rumah yang didiami untuk menuntut TSB masing-masing," katanya di sini baru-baru ini.

Tambahnya lagi, penduduk yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 1-800-88-7472.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved