Khamis, 1 Mei 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Judi siber ancaman besar rakyat

Posted: 30 Apr 2014 11:58 AM PDT

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 30 April - Judi siber kini menjadi ancaman besar kepada kesejahteraan rakyat di negeri ini, malah dianggap sebagai krisis yang perlu dibanteras dalam apa juga cara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Cawangan Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Jabatan Penerangan negeri, laporan operasi yang dijalankan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menunjukkan sebanyak 271 orang kaki judi siber telah ditahan sepanjang Januari sehingga 19 April lalu.

Daripada jumlah tersebut, bangsa Melayu adalah yang paling ramai ditahan iaitu sebanyak 178 orang.

Selain mereka, bangsa India yang ditahan sebanyak 45 orang, Cina 39 orang dan lain-lain bangsa sembilan orang.

Jika diikutkan dalam pecahan pekerjaan pula, mereka yang ditahan itu paling ramai terdiri daripada pekerja swasta iaitu 160 orang diikuti yang bekerja sendiri sebanyak 108 orang dan kakitangan awam tiga orang," kata kenyataan itu yang dikeluarkan di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, tindakan lebih tegas wajar diambil termasuk serbuan dan terus menahan mereka yang bertanggungjawab selain memotong bekalan elektrik dan air di premis yang disalahgunakan bagi tujuan perjudian.

PDRM juga tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat sama ada penganjur, kaki judi atau penonton bagi membendung aktiviti tidak sihat ini.

Dalam membanteras aktiviti judi siber ini, PDRM turut bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi memastikan kegiatan ini dapat dikurangkan dan ini melibatkan JHEAINS dan PBT di daerah-daerah seluruh negeri," kata kenyataan itu.

Selain itu, turut disertakan laporan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, sebanyak 171 serbuan telah dibuat sepanjang Januari sehingga 19 April lalu dan dalam tempoh itu juga, sebanyak 1,280 unit komputer dirampas melibatkan 388 tangkapan selain mengeluarkan sebanyak 63 kompaun.

Daerah Seremban merekodkan serbuan paling tinggi berbanding daerah lain iaitu sebanyak 53 serbuan oleh PDRM, JHEAINS (lima) dan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dengan lapan serbuan.

Selain itu Majlis Perbandaran Nilai (MPN) juga telah melaporkan sebanyak 87 serbuan telah dijalankan oleh PBT tersebut sepanjang tempoh Januari hingga April lalu di daerah Nilai.

Selain serbuan, PDRM juga telah membuat 388 tangkapan dengan 117 daripadanya adalah penganjur manakala 271 orang lagi adalah kaki judi," kata kenyataan itu sambil menegaskan kerajaan negeri akan memperhebatkan penguatkuasaan dalam membanteras judi siber ini.

Jelas kenyataan itu lagi, berdasarkan laporan agensi penguatkuasaan berkaitan pecahan statistik tangkapan penganjur pula, bilangan paling ramai ialah lain-lain bangsa sebanyak 80 orang diikuti Cina (19 orang), Melayu (11 orang) dan India, tujuh orang.

Sebahagian besar tangkapan telah dilakukan di daerah Seremban dengan 112 tangkapan oleh pihak PDRM manakala daerah Port Dickson dengan lima tangkapan.

Bagi tangkapan melibatkan kaki judi pula, daerah Seremban mencatatkan jumlah tertinggi dengan 263 tangkapan manakala Port Dickson mencatatkan lapan tangkapan yang kesemuanya dijalankan oleh pihak PDRM," kata kenyataan yang merujuk laporan agensi penguatkuasaan terbabit.

Lonjakan prestasi sekolah luar bandar kejayaan PPPM

Posted: 30 Apr 2014 11:58 AM PDT

Mohamad Hasan (dua dari kanan) beramah mesra dengan penerima anugerah pada majlis Anugerah Akademik Terbilang 2014 di Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN

TELOK KEMANG 30 April - Lonjakan prestasi sekolah luar bandar di negeri ini adalah manifestasi kejayaan berperingkat-peringkat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerjasama kolektif pelbagai pihak, yang didokong dasar lembah ilmu kerajaan negeri turut dilihat mampu merealisasikan aspirasi mengurangkan jurang sosioekonomi sebanyak 50 peratus.

Pengurangan ketara jurang tersebut yang kini berada pada tahap 0.56 peratus bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara kejayaan terbesar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Akademik Terbilang 2014 Peringkat Negeri Sembilan di Port Dickson, hari ini.

Tambah Mohamad, usaha berterusan akan dilaksanakan untuk melonjakkan pencapaian murid-murid dan pelajar sekolah terutama di kawasan pedalaman dan Felda.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan sekolah cemerlang supaya terus meningkatkan prestasi.

Kita dapati terdapat segelintir sekolah yang telah melakarkan kecemerlangan tetapi tidak terus berusaha ke tahap lebih tinggi. Ini amat membimbangkan kita.

Sekolah yang kurang memberangsangkan pula, kerajaan akan terus mencari kaedah untuk membantu mereka menangani permasalahan supaya sama-sama mencipta kejayaan," ujar Mohamad.

Beliau turut mengingatkan penggerak agenda pendidikan negara bahawa mereka bukan sekadar berperanan untuk melahirkan pelajar cemerlang dari segi akademik tetapi mesti kuat jati diri, berdisiplin dan sahsiah yang baik.

Anak-anak kita perlu memiliki nilai-nilai murni sejagat selaras dengan tuntutan moral, etika dan agama serta perlu sentiasa dipupuk dengan semangat patriotisme untuk membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu," tegas beliau.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 253 sekolah meraih Anugerah Akademik Terbilang merangkumi kategori bandar, luar bandar dan elit termasuk 10 sekolah disenaraikan sebagai pemenang anugerah lonjakan saujana.

Kota Simpang punyai tapak peninggalan Belanda abad ke-16

Posted: 30 Apr 2014 11:58 AM PDT

ALOR GAJAH 30 April - Tidak siapa menjangka kawasan hutan paya bakau di sungai Rembau/Linggi dekat Kampung Payar Lebar, Masjid Tanah dekat sini menyimpan khazanah warisan paling berharga peninggalan zaman penjajahan Belanda pada abad ke-16.

Jika sebelum ini kebanyakan warisan peninggalan penjajah itu hanya terdapat di Bandar Hilir tetapi kini di Kampung Paya Lebar turut menyimpan banyak peninggalan penjajah itu.

Kawasan yang dikenali sebagai Kota Simpang mempunyai tapak bangunan pentadbiran warisan peninggalan zaman penjajah Belanda ketika mula datang menyerang dan merobohkan kuasa Kesultanan Melayu Melaka ketika itu.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin berkata, tapak warisan peninggalan penjajah di Kota Simpang bukan sahaja menyimpan khazanah peninggalan zaman Belanda, malah penjajah Bugis.

Menurutnya, lokasi itu yang terletak di Sungai Linggi dan Rembau itu mempunyai tapak bangunan yang merupakan pentadbiran Belanda ketika menjajah negeri ini berusia lebih 500 tahun.

Beliau berkata, hanya yang terdapat di tapak tersebut ialah beberapa tiang, perigi, tembok dan batu-bata tipis berwarna merah yang dijaga seorang pengusaha ternakan lokan, Zainal Md. Ali.

Lokasinya agak terpencil di sebalik hutan paya bakau, tidak ada sebarang tanda dan difahamkan tapak bangunan itu merupakan milik pentadbiran Belanda sewaktu menawan Melaka.

Di sekelilingnya pula terdapat tembok-tembok yang menjadi benteng untuk mengelakkan daripada diserang musuh, malangnya lokasinya dilitupi hutan belukar," katanya ketika melawat tapak peninggalan Belanda Kota Simpang di sini hari ini.

Begitupun, untuk sampai ke lokasi tersebut terpaksa menaiki bot dari Jeti Nelayan Payar Lebar sejauh 10 kilometer sebelum sampai ke lokasi berkenaan.

Mas Ermieyati berkata, sebelum itu kawasan tersebut didiami orang Bugis sebelum Belanda menyerang negeri ini dan menawan Kota Simpang itu.

Beliau berkata, tapak bangunan peninggalan Belanda itu ditemui pada tahun 2005 melalui hasil usaha bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Ismail Husin.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved