Isnin, 5 Mei 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


PPPM yang mula menampakkan hasil

Posted: 05 May 2014 12:18 PM PDT

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

PPPM 2013-2025 yang dilancarkan tahun lalu sudah menampakkan kesan kejayaan antaranya penglibatan ibu bapa dan sambungan Internet ke sekolah-sekolah. - Gambar hiasan

PELAN Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan tahun lepas kini menampakkan hasil, terutama dalam memastikan jurang pencapaian murid bandar dan luar bandar dapat dikurangkan secara berperingkat.

Usaha ini, kata, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan terus dilakukan supaya aspirasi untuk mengurangkan jurang pencapaian berdasarkan tahap perbezaan sosioekonomi sebanyak 50 peratus dapat dicapai.

Jelas beliau, perkara ini terbukti menerusi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu apabila jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar adalah sebanyak 0.01 mata Gred Purata Nasional (GPN).

Tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan adalah bidang terpenting dalam usaha pembangunan insan yang menyumbang kepada pembangunan negara. Melalui bidang ini manusia dapat dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran. Bidang pendidikan menjadi semakin penting dan mencabar menjelang 2025 sebagai persediaan membentuk modal insan.

Di samping itu, pembelajaran sepanjang hayat juga akan membolehkan individu daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan etnik belajar sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan mengambil tindakan yang berani dan pantas dengan menyediakan pelan pembangunan pendidikan kerana perubahan yang dihasratkan adalah penting dan mesti dilaksanakan segera.

PPPM 2013-2025 sudah menampakkan kesan kejayaan antaranya penglibatan ibu bapa dan sambungan Internet ke sekolah-sekolah. Tujuannya untuk mencapai pendidikan berkualiti. Transformasi pendidikan ini adalah komitmen kerajaan untuk terus komited menjalankan pembaharuan dalam sistem pendidikan negara bagi tempoh 15 tahun akan datang bermatlamat setiap murid mempunyai kemahiran baru untuk merebut peluang di samping menangani cabaran abad ke-21.

Jika dikaji dan diteliti adakah masa di sekolah mencukupi untuk murid belajar, menelaah dan mengulang kaji pelajaran? Jawapannya tentu tidak cukup jika murid tidak bersedia dari awal.

Dalam hal ini, peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menguji apa yang dipelajari pada tahun empat, lima dan enam. Sementara itu, di peringkat tingkatan tiga, murid akan diuji apa yang dipelajari di tingkatan satu, dua, dan tiga. Bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar akan diuji apa yang dipelajari di tingkatan empat dan lima.

Bagi menggantikan beberapa peperiksaan, Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan dilihat satu usaha Kementerian Pendidikan dalam memberi penambahbaikan terhadap pencapaian murid dalam peperiksaan utama, khususnya UPSR dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Para guru mengharapkan mereka tidak dibebankan dengan kerja-kerja menyediakan soalan, memeriksa kertas jawapan serta menjumlahkan keputusan. Suatu kaedah baharu telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan bagi mengurangkan beban dan tugas guru.

Berkaitan hal ini, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya akan berusaha mengurangkan bebanan guru dalam pelaksanaan PBS ini. Malah, pengenalan PBS yang memberi penekanan kepada pentaksiran untuk pembelajaran dan pentaksiran mengenai pembelajaran menjadi langkah penting menentukan penguasaan murid secara lebih bersistematik pada setiap peringkat Pengajaran dan Pembelajaran (P&P).

Pelaksanaan PBS itu akan dilihat hasilnya melalui keputusan UPSR bagi murid yang mendudukinya pada 2016 dan PMR mulai 2014.

Justeru, PBS akan memberi penilaian lebih menyeluruh terhadap murid. PBS mengandungi empat komponen merangkumi Pentaksiran Sekolah; Pusat; Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum serta Pentaksiran Psikometrik iaitu mengenai sikap dan personaliti murid dan pelajar.

Dalam pada itu, ibu bapa juga perlu bersiap sedia dari segi mental, fizikal dan rohani bagi anak-anak mereka yang akan menghadapi peperiksaan, seterusnya bagi menghadapi perubahan di bawah PPPM.

Lantaran itu, ibu bapa perlu memahami dan mengikuti serta mengkaji perubahan ini. Di samping itu, mereka perlu menyediakan masa untuk memantau anak-anak bagi mengulang kaji pelajaran di rumah dan menghantar mereka ke kelas tuisyen bagi menghadapi peperiksaan.

Sementara itu, bagi guru-guru tentulah akan menyediakan (P&P) yang berkesan di dalam kelas kepada murid .

Justeru, P&P di dalam kelas bukan sahaja menjurus kepada peperiksaan, malahan jauh daripada itu dapat membentuk pelajar yang mempunyai sahsiah, berakal budi dan berakhlak terpuji.

Pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang diperkenalkan nyata bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai alat perpaduan, bahasa perhubungan dan bahasa ilmu.

Pada masa sama peningkatan penguasaan bahasa Inggeris turut diberi kepentingan supaya murid dan pelajar dapat bersaing dan meneroka ilmu di peringkat antarabangsa.

Menerusi PPPM murid digalakkan mempelajari sebanyak mungkin bahasa asing seperti bahasa Arab, Sepanyol, Perancis dan Jepun.

Jelaslah, kedua-dua bahasa dalam MBMMBI itu dan bahasa-bahasa lain sememangnya memainkan peranan penting ke arah melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran tinggi dan berketerampilan untuk memacu ekonomi berasaskan pengetahuan. Ibu bapa dan guru harus memainkan peranan menyokong dasar MBMMBI ini bagi melonjak kualiti pendidikan negara.

Ibu bapa juga harus memahami transformasi pendidikan negara sejajar dengan hasrat kerajaan dan Kementerian Pendidikan yang ingin melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta mampu mencapai visi yang dihasratkan iaitu menyediakan peluang kepada individu meningkatkan taraf hidup, menjadi ahli masyarakat yang berjaya, dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara.

* PENULIS ialah pengamal media, PhD Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Mengimpikan kehidupan tanpa pagar besi dan jeriji

Posted: 05 May 2014 12:18 PM PDT

Coretan Marhaen

MEMBACA dan menonton berita kadang-kala membuatkan kita merasa seolah-olah sudah tidak selamat lagi.

Ada sahaja kes jenayah yang dilaporkan.

Bahkan yang tidak dilaporkan pun sampai juga ke telinga kita.

Dua minggu lepas, rumah jiran selang dua pintu dimasuki pencuri. Komputer riba, jam dan barang kemas lesap disapunya. Ketika itu, tuan rumah keluar bekerja.

Jumaat minggu lalu, kakak sebelah rumah menjadi mangsa ragut di dalam kawasan rumahnya sendiri. Dia yang sedang menyiram bunga (selepas catuan berakhir kira-kira pukul 11.30 pagi) hanya mampu menjerit meminta tolong sambil menyimbah air ke arah peragut.

Peragut yang tersentak dengan jeritan itu cuba melarikan diri namun sanggup berpatah balik dan `menunaikan hajat meragut gelang tangan kakak jiran sebelah setelah mendapati tidak ada siapa yang datang membantu.

Maklumlah hari Jumaat, orang lelaki ke masjid.

Kakak mangsa ragut tidak dapat berbuat apa-apa. Peragut datang berkumpulan dengan dua buah motosikal. Masing-masing penunggang dan pembonceng ialah lelaki muda yang sasa.

Baru dua hari lepas jiran belakang rumah pula yang kena. Lelaki dengan muka separuh bertutup datang mengacu pisau ketika dia mengangkat baju di ampaian.

Beberapa kejadian jenayah ragut, curi dan pecah rumah yang berlaku di sekitar kejiranan kadang-kala membuatkan kita tidak lagi merasa selamat tinggal di rumah.

Tidak tahu di mana silapnya.

Benarkah pihak polis tidak lagi memfokus kepada masalah jenayah seperti yang didakwa The Malaysian Insider dalam laporan portal propembangkang itu pada 21 Februari lalu?

Atau mungkinkah kadar jenayah sudah terlalu tinggi sehinggakan pihak polis tidak menang tangan untuk membendungnya?

Namun jika benar, apakah puncanya?

Adakah ekoran ketegasan Kementerian Dalam Negeri menjalankan operasi menghalau pendatang asing tanpa izin (PATI) yang selama ini banyak terlibat jenayah, menyebabkan timbul pula kumpulan penjenayah dalam kalangan orang tempatan.

Adakah gara-gara pembangunan bercampur yang tidak lagi menjaga identiti bandar raya elit ini, menjadi puncanya?

Atau budaya tidak menghormati undang-undang dan penguat kuasa undang-undang yang semakin menular, sebagai penyebabnya?

Bukan lagi rahsia, semacam ada kecenderungan dalam kalangan sesetengah pihak termasuk pembangkang meremehkan tugas polis dan memperlekehkan undang-undang sehingga timbul tanggapan seolah-olah mereka menyetujui budaya antipolis dan antipenguat kuasa.

Atau mungkinkah ketaksuban terhadap filem-filem barat yang mendewakan perompak, penyamun atau nama lainnya penjenayah seperti Ocean Eleven, The Italian Job dan Too Fast Too Furious - menjadi penyumbang peningkatan penjenayah?

Penulis tidak ada jawapan untuk soalan-soalan di atas.

Namun penulis tertarik dengan saranan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye bahawa rakyat Malaysia terutama golongan muda perlu mewujudkan budaya antijenayah dengan menghormati undang-undang serta menjadikan aspek keselamatan sebagai cara hidup.

Dengan kata lain, beliau membayangkan bahawa tiadanya budaya antijenayah terutama dalam kalangan orang muda menjadi punca jenayah keganasan semakin menular dalam masyarakat sekarang.

Jika benarlah apa yang beliau bayangkan itu, keadaan ini amat membimbangkan dan tindakan sewajarnya perlu diambil untuk menanganinya.

Menuding jari kepada pihak polis bukan penyelesaian dan tidak akan menyelesaikan masalah pun.

Cabaran jenayah terkini dengan ancaman militan dan keganasan di samping kecanggihan penjenayah siber membuatkan tugas polis menjadi semakin rencam dan mencabar.

Mungkin benar saranan Lam Thye yang memang pakar dalam isu ini, bahawa asasnya adalah dengan mewujudkan budaya antijenayah dalam kalangan kita, dalam komuniti dan dalam keluarga kita sendiri.

Berapa banyak anggota polis pun, berapa kerap operasi dan serbuan pun, tidak mampu menghapuskan jenayah jika masyarakat `memberi muka kepada pelaku dan pesalahnya.

Hanya dengan menyemai budaya antijenayah, kita mampu menjadi mata dan telinga kepada keadaan yang berlaku di sekeliling dan kejiranan kita, bagi memastikan keselamatannya.

Namun penulis akui menuturkan tidak semudah melakukan. Ia memerlukan iltizam dan yang penting, sokongan daripada pihak berkuasa untuk menjayakannya.

Mungkin sudah tiba masanya kempen antijenayah besar-besaran digerakkan dengan penglibatan semua pihak - baik agensi kerajaan, swasta, pemimpin politik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, pusat pengajian tinggi, sekolah dan apa jua organisasi.

Hanya apabila masyarakat daripada pelbagai lapisan menolak dan membenci jenayah, kita dapat menikmati kehidupan dengan rasa selamat tanpa perlu memenjara diri dengan pagar dan jeriji.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved