Rabu, 28 Mei 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Sultan Azlan tokoh pelbagai bidang

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
pengarang@utusan.com.my

Sultan Azlan Shah bergambar bersama keluarga semasa istiadat mengangkat sumpah sebagai Paduka Seri Sultan Perak yang ke-34 pada 9 Disember 1985.

ALMARHUM Sultan Azlan Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah yang mangkat pada usia 86 tahun tengah hari semalam akan dikenang sebagai seorang pemimpin dan tokoh yang banyak berjasa kepada negara menerusi penglibatan baginda dalam bidang perundangan, pendidikan dan sukan.

Sejarah hidup Almarhum bermula apabila diputerakan pada 19 April 1928 di Batu Gajah, Perak.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kerajaan (Inggeris) Batu Gajah yang kini dikenali Sekolah Sultan Yussuf Batu Gajah, Sultan Azlan kemudiannya melanjutkan pelajaran menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum menyambung pengajiannya dalam bidang undang-undang di University of Nottingham, United Kingdom.

Almarhum dikurniakan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada 1953 dan pada 23 November 1954, diterima sebagai ahli dalam The English Bar oleh The Honorable Society of Lincoln"s Inn.

Memulakan perkhidmatan awam sebaik sahaja kembali dari United Kingdom, Almarhum bertugas sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Setelah itu baginda menceburi Perkhidmatan Undang-Undang dan Kehakiman Persekutuan Tanah Melayu sebagai Majistret Kelas Pertama dan Presiden Mahkamah Sesyen.

Almarhum kemudiannya dilantik menjawat beberapa jawatan iaitu sebagai Peguam Persekutuan dan Timbalan Pendakwa, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dan Pahang serta Pendaftar Mahkamah Tinggi Persekutuan Tanah Melayu.

Setelah itu Almarhum dilantik sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Kemuncak kerjaya baginda dalam bidang kehakiman dan perundangan adalah apabila dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya pada 1965 ketika baru berusia 37 tahun.

Pelantikan itu menjadikan Sultan Azlan sebagai hakim paling muda pernah dilantik dalam sejarah kehakiman negara-negara Komanwel.

Pada 1973, Almarhum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan dan berkhidmat selama enam tahun sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya pada 1979 - jawatan yang dipegang baginda sehinggalah dilantik sebagai Ketua Hakim Persekutuan Malaysia pada 12 November 1982.

Pada 1 Julai 1983, Sultan Azlan dimahkotakan sebagai Raja Muda dan seterusnya mewarisi takhta negeri Perak pada 3 Februari 1984.

Baginda ditabalkan sebagai Sultan Perak yang ke-34 secara rasmi pada 9 Disember 1985, menggantikan Almarhum Sultan Idris al-Mutawakkil Alallahi Shah.

Pada 26 April 1989, Almarhum mengambil giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong kesembilan selepas mengangkat sumpah dan menandatangani surat pengisytiharan di Balai Rong Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur, menggantikan Almarhum Sultan Iskandar Shah.

Sultan Azlan menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong sehingga 25 April 1994.

Almarhum dikenang sebagai pemerintah yang mengutamakan kepentingan ilmu dan pendidikan serta sering mengadakan majlis kenduri kesyukuran dan bacaan tahlil di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.

Ia menggambarkan pertalian rapat baginda dengan rakyat jelata.

Almarhum juga sultan keempat yang menyambut Jubli Perak pemerintahan dalam sejarah Kesultanan negeri Perak pada Februari 2009.

Sambutan Jubli Perak baginda bagaimanapun sedikit tenggelam berikutan krisis politik negeri ketika itu yang menyaksikan peralihan kepimpinan kerajaan negeri dan pertukaran menteri besar dalam bulan yang sama.

Walaupun mempunyai kepakaran dan pengalaman mendalam dalam sistem perundangan negeri dan negara, sesetengah pihak dilihat cuba mempertikai kuasa dan pemahaman baginda selaku Sultan Perak kerana tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika itu.

Beberapa kejadian selepas krisis itu yang menghina dan cuba mempertikai kedudukan Sultan Perak dikatakan sedikit-sebanyak membantu menyedarkan orang Melayu khususnya di Perak tentang sikap dan sifat sebenar orang politik tertentu terhadap kedudukan Raja-Raja Melayu.

Baginda berkahwin dengan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun pada 1955 dan dikurniakan lima orang cahayamata iaitu dua putera dan tiga puteri.

Putera sulung baginda, Raja Dr. Nazrin Shah diputerakan pada 27 November 1956 dan kini Pemangku Raja Perak.

Anakanda baginda yang lain ialah Raja Datuk Seri Azureen yang diputerikan pada 9 Disember 1957, Raja Datuk Seri Eleena pada 3 April 1960 dan puteri bongsu, Raja Datuk Seri Yong Sofia pada 1961.

Anakanda ketiga, Raja Kecil Sulung Perak, Datuk Seri Raja Ashman Shah yang diputerakan pada 28 Disember 1958, mangkat pada 30 Mac 2012 akibat serangan asma.

Sebagai tokoh dalam bidang pendidikan, Almarhum menyandang pelbagai jawatan antaranya Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) dari 4 Oktober 1971 hingga Februari 1984, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi (1 November 1974-31 Oktober 1976) dan Canselor Universiti Malaya (UM) mulai 8 Februari 1986.

Baginda dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Kesusasteraan oleh UM pada 30 Jun 1979 dan Ijazah Kehormat Undang-Undang oleh USM pada 28 Jun 1980.

Kecemerlangan dan pencapaian Sultan Azlan juga diiktiraf oleh pelbagai universiti luar negara seperti University of Nottingham yang menganugerahkan baginda Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang pada 11 Julai 1986 diikuti Lincoln"s Inn, London, menerusi Kerusi Kehormat pada 1988.

Pada 2 Oktober 1991, baginda dianugerahkan Keahlian Kehormat The Royal College of Physician of Ireland.

Almarhum turut dianugerahkan pelbagai darjah kebesaran atas kecemerlangan dalam perkhidmatannya, baginda telah dianugerahkan dengan pelbagai anugerah kehormat sama ada di peringkat Persekutuan mahupun dari luar negara.

Antaranya The Most Auspicious of the Rajamitrabhorn (Thailand); Grand Order of Mugunghwa (Republik Korea); Collar of The Japanese Order Chrysanthemum dan Grand Cordon of The Supreme Order of Chrysanthemum (Jepun); Civil Order; 1st Class (Oman) dan Order Al-Merito De Chile (Republik Chile); Bintang Adipurna (Republik Indonesia) dan Jon. Knight Grand Cross (Civil Division) of The Order of The Bath (UK).

Bidang sukan turut menerima sentuhan Sultan Azlan yang begitu meminati hoki sejak zaman persekolahannya lagi.

Almarhum pernah menerajui Persekutuan Hoki Malaysia (MHF) dan menjadi Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah yang bertaraf antarabangsa dan diadakan setiap tahun di Ipoh, bersempena nama baginda adalah bukti minat mendalam almarhum terhadap sukan berkenaan.

Sukan golf turut menarik minat baginda yang menjadi penaung Kelab Golf Diraja Perak.

Nama Almarhum telah pun diabadikan pada spesies orkid yang memenangi Anugerah Tanaman Terbaik pada Ekspo Pelancongan Domestik Perak 1992 iaitu Doritinopsis Sultan Azlan Shah.

Seumpama bunga orkid yang menyerlah unik dan istimewa dalam pelbagai spesies, begitu jugalah Almarhum Sultan Azlan Shah akan terus dikenang sampai bila-bila sebagai tokoh pelbagai bidang - baik perundangan, pendidikan mahupun sukan - namun lebih penting lagi sebagai "Sultan yang sentiasa mekar di hati rakyat!"

PENULIS ialah Ketua Biro Utusan Perak.

Mengelak kematian khazanah bangsa

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

Mohd Kamil Yusuff

HARI ini, 75 tahun lalu, sekumpulan anak muda bersemangat waja mengambil inisiatif menubuhkan sebuah akhbar yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Melayu untuk memperjuangkan kebajikan dan nasib masa depan bangsa. Maka, pada hari bersejarah itu, 29 Mei 1939, lahirlah akhbar bertulisan jawi, Utusan Melayu dengan modal sumbangan orang Melayu sebanyak RM12,500.

Dasar-dasar penjajah dan tekanan yang dihadapi oleh orang Melayu di zaman penjajahan itu memperkuatkan iltizam dan keazaman orang Melayu untuk memiliki satu platform media sebagai saluran menentang penjajah dan seterusnya memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Rancangan penubuhan akhbar orang Melayu itu sebenarnya bermula kira-kira setahun sebelum itu hasil perbincangan 20 orang Melayu di Singapura. Penubuhan akhbar Utusan Melayu pada hari ini adalah hasil pengorbanan orang Melayu pada masa itu atas kesedaran untuk mewujudkan satu wadah perjuangan bangsa.

Kelahiran akhbar di atas keringat dan air mata orang Melayu itu menandakan bermulanya satu era perjuangan baharu bangsa yang seterusnya membawa kepada penubuhan UMNO, penentangan Malayan Union dan merintis jalan ke arah kemerdekaan pada 1957.

Jangka masa 75 tahun bukanlah suatu tempoh yang singkat. Sepanjang usia itu, banyak perubahan sosial dan politik berlaku terhadap negara yang telah mencapai kemerdekaan dan kini bergerak ke arah negara maju. Dan akhbar jawi Utusan Melayu bukan sekadar saksi penting kepada segala perubahan itu, malah menjadi sebahagian daripada penggerak dan pemacu kemajuan negara.

Sejak penubuhannya, Utusan Melayu tidak pernah lari dari landasannya memperjuangkan hak dan keistimewaan orang Melayu walaupun diasak dari segenap penjuru. Akhbar ini sentiasa berada dibarisan hadapan dalam membela nasib dan masa depan bangsa.

Banyak ranjau dan duri telah dilalui oleh akhbar yang begitu besar jasanya kepada orang Melayu ini. Perubahan dasar pendidikan negara pada akhir 1960-an memberi kesan besar kepada akhbar ini apabila mata pelajaran jawi tidak lagi berada dalam arus perdana pendidikan negara.

Hampir serentak dengan itu juga, akhbar rumi Mingguan Malaysia diterbitkan pada Ogos 1964 dan tiga tahun kemudian, akhbar harian rumi Utusan Malaysia menyusul. Kemunculan kedua-dua akhbar rumi ini memberi kesan kepada akhbar jawi Utusan Melayu apabila para pembaca mula beralih arah.

Demikianlah nasib yang dialami oleh akhbar jawi Utusan Melayu. Akhbar yang banyak jasanya kepada orang Melayu itu kehilangan pembaca sedikit demi sedikit. Syarikat pula terpaksa menanggung kerugian. Dan pada 26 Januari 2006 ekoran tiada sambutan dan kekurangan pembaca, akhbar itu diberhentikan penerbitannya.

Namun, atas dasar tanggungjawab sosial dan memegang amanah bangsa, syarikat Utusan Melayu mengambil inisiatif menerbitkan semula akhbar jawi tersebut sebagai akhbar mingguan dengan nama Utusan Melayu Mingguan. Penerbitan akhbar mingguan ini adalah dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) pada masa itu dan Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, ekoran kekangan kewangan dan kurang sambutan, akhbar ini sekali lagi terpaksa melakukan transformasi dengan menghentikan edisi cetaknya pada Julai 2013.

Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, akhbar jawi Utusan Melayu kini diterbitkan sepenuhnya dalam edisi digital melalui akhbar elektronik (e-paper) yang boleh dilayari melalui www.utusan.com.my.

Di usia emas ini, akhbar Utusan Melayu tidak lagi seperti zaman kegemilangannya. Hadirnya sekadar memenuhi tanggungjawab sosial. Namun, warisan Melayu perlu dipertahankan dengan apa cara sekalipun. Walaupun terpaksa berjuang bersendirian, tulisan jawi akan terus dimartabatkan di persada bangsa.

Menyorot perkembangan tulisan jawi di negara ini, dengan usianya bertapak lebih 700 tahun lalu bermula penemuan Batu Bersurat di Terengganu pada 1303 Masehi, pelbagai kesulitan dan pancaroba ditempuhinya sehingga ke hari ini. Awal abad ke 20, ia menjadi medium penting dalam perkembangan persuratkhabaran Melayu di Tanah Melayu.

Kira-kira 10 buah akhbar Melayu bertulisan jawi muncul selepas Jawi Peranakan. Daripada jumlah tersebut, hanya akhbar jawi Utusan Melayu yang diterbitkan di Singapura masih kekal dan bertahan sehingga ke hari ini walaupun tidak lagi diterbitkan secara harian.

Begitulah perjalanan sebuah akhbar Melayu yang pernah berjuang mengangkat martabat bangsa dan negara. Sebuah akhbar yang mencetuskan api perjuangan kemerdekaan, membentuk kesedaran, mempertahankan hak dan maruah bangsa serta memainkan peranan penting dalam menentukan arah tuju pembangunan negara.

Setelah 67 tahun mengungguli dunia persuratkhabaran Melayu, akhbar bertulisan jawi ini tidak lagi "mekar" di hati bangsa Melayu sendiri. Tulisan jawi yang penuh dengan jati diri bangsa tidak lagi dibawa ke dalam arus perdana semasa. Amat sedih melihat sebuah kematian khazanah bangsa di hadapan mata sendiri.

Tidak ada lagi sejarah yang hendak ditunjukkan kepada generasi baru. Tidak ada lagi sesuatu yang boleh dibanggakan mengenai tulisan warisan bangsa Melayu. Tidak ada lagi warisan dan pusaka yang boleh diwarisi oleh anak-anak bangsa. Semuanya tenggelam di arus zaman

Ironinya, dalam masa sama, negara menyaksikan kelahiran banyak akhbar berbahasa Cina dan Tamil. Ini membuatkan kita terfikir sejenak, kenapa orang Melayu (termasuk bumiputera) yang jumlahnya hampir 20 juta orang (statistik 2011) tidak dapat mempertahankan satu-satunya akhbar jawi, tulisan nenek moyang mereka.

Sedangkan, orang Cina yang jumlahnya hanya enam juta orang dapat "menghidupkan" sekurang-kurangnya 15 akhbar dalam tulisan Cina dan orang India pula dengan jumlah dua juta orang mempunyai sekurang-kurangnya tujuh buah akhbar Tamil.

Apakah ertinya semua ini? Semuanya berbalik kepada jati diri sesuatu bangsa itu sendiri. Bangsa yang kuat ialah bangsa yang sentiasa menyanjung tinggi sejarah dan peradaban mereka. Bangsa yang berjaya ialah bangsa yang sentiasa menghargai khazanah dan budaya bangsa mereka.

Setiap orang Melayu sepatutnya meletakkan soal memperjuangkan tulisan jawi dan akhbar jawi sebagai satu jihad bangsa. Bangsa yang maju tidak akan melupakan akar budi dan jati diri bangsa. Jika bangsa kita boleh berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain dalam banyak hal, kenapa tidak dalam soal memartabatkan tulisan jawi?

Jika kerajaan boleh memperuntukkan jutaan ringgit untuk perkara-perkara lain, kenapa tidak diberi perhatian sewajarnya kepada mendaulatkan tulisan jawi? Tidak bolehkan ahli-ahli politik Melayu menggunakan pengaruh mereka ketika masih berkuasa, melakukan sesuatu untuk mengembalikan kegemilangan tulisan orang Melayu ini?

Persoalan-persoalan ini memerlukan jawapan segera. Kita tidak boleh lagi membiarkan tulisan jawi hanyut tidak bertepi. Kita akan berdosa kepada generasi anak bangsa akan datang. Sesuatu mesti dilakukan segera. Kemajuan dan kemewahan yang dikecapi oleh bangsa dan negara hari ini sebahagiannya adalah kerana perjuangan yang dibawa oleh Utusan Melayu.

Dirgahayu Utusan Melayu!

PENULIS ialah Pengarang Utusan Melayu Mingguan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved