Rabu, 21 Mei 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Diplomasi panda Malaysia-China

Posted: 21 May 2014 12:55 PM PDT

Oleh Azmi Hassan

Kanak-kanak beratur menyambut ketibaan pasangan panda Fu Wa dan Feng Yi di Zoo Negara, Kuala Lumpur, semalam. Panda gergasi itu dipinjamkan kerajaan China kepada Malaysia bagi tempoh 10 tahun menerusi Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi. - Bernama

AKHIRNYA Fu Wa dan Feng Yi iaitu dua ekor panda gergasi China yang dipinjamkan kepada Malaysia melalui Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam.

Tidak menghairankan jika banyak pihak yang menjangkakan penghantaran kedua-dua ekor panda tersebut tidak akan berlaku dalam masa terdekat ekoran tempias kehilangan penerbangan MH370 yang sebahagian besarnya melibatkan penumpang dari China.

Andaian sinis tersebut terbentuk kerana Beijing telah menangguhkan tarikh ketibaan asal pada 15 April lepas dengan berlandaskan alasan bahawa keadaan semasa yang begitu sensitif terutama sekali yang berkait dengan MH370.

Memang benar ketibaan kedua-dua ekor panda dari pangkalan panda di Dujiangyan, Chengdu melalui penerbangan khas MH6462 adalah signifikan kerana 2014 merupakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik di antara Kuala Lumpur dan Beijing. Tetapi Fu Wa dan Feng Yi membawa maksud tersirat yang lebih mendalam jika suasana geopolitik rantau Asia Pasifik diambil kira.

Bukan menjadi satu rahsia lagi bahawa China sejak enam dekad lepas telah menggunakan panda sebagai pemudah cara untuk berurusan dengan negara lain.

Pada 1957, pemimpin tertinggi China, Mao Tse-Tung menghadiahkan seekor panda kepada Rusia sebagai tanda penghargaan kepada Moscow yang telah mengiktiraf Republik Rakyat China sebagai negara berdaulat.

Diplomasi panda memasuki fasa penting pada 1972 apabila China menghadiahkan Ling-Ling dan Hsing-Hsing kepada Amerika Syarikat (AS) apabila Presiden Richard Nixon melakukan lawatan rasmi ke Beijing sebagai permulaan hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Jika Ling-Ling dan Hsing-Hsing dianggap simbol hubungan diplomatik Sino-AS maka perkara yang serupa boleh diumpamakan dengan hubungan Sino-Anglo yang mempunyai pasangan panda Chia-Chia dan Ching-Ching yang dihadiahkan sempena lawatan Perdana Menteri Edward Heath ke China pada 1974.

Oleh kerana pada ketika ini terdapat hanya kira-kira 1,600 panda sahaja yang hidup di luar kurungan, maka setiap negara yang menjadi sasaran bentuk diplomasi ini berada dalam keadaan yang agak istimewa.

Ada ketika juga China telah mengamalkan diplomasi panda secara songsang, iaitu panda sebagai senjata ugutan diplomatik. Pada 2010, apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama tidak mengendahkan permintaan Beijing supaya tidak bertemu dengan Dalai Lama, ugutan telah dibuat supaya AS memulangkan panda yang dilahirkan melalui pasangan panda yang dipinjamkan.

Satu perkara yang menarik mengenai ketibaan Fu Wa dan Feng Yi adalah ia dilakukan secara terancang sebelum bermulanya lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke China pada hujung bulan ini.

Menarik kerana jika penangguhan sebelum ini ekoran MH370 tetapi penghantaran panda tetap diteruskan walaupun misteri tersebut belum terungkai.

Persoalan yang timbul adalah, apakah panda yang dipinjamkan ke Malaysia itu boleh dianggap sebagai simbolik empat dekad hubungan diplomatik yang terjalin atau pun mempunyai niat yang tersirat, terutama sekali apa yang cuba diunjurkan oleh Beijing.

Ramai yang mungkin membuat kesimpulan bahawa hubungan diplomatik di antara Kuala Lumpur dan Beijing akan menjadi bertambah erat dan pandangan ini tidak boleh dinafikan terutama sekali ketika era kepimpinan Najib.

Memandangkan China adalah rakan dagang yang penting bagi Malaysia, maka tidak salah juga panda tersebut dianggap sebagai simbolik hubungan ekonomi yang aktif di antara dua negara.

Tetapi kemusykilan yang lebih penting adalah apakah makna ini semua dalam hal kepentingan geostrategik dua negara, terutama sekali yang melibatkan isu pertahanan.

Perlu diberi perhatian bahawa kebangkitan China terutama sekali dalam hal ehwal ketenteraan di rantau Asia Pasifik paling dibimbangi oleh AS sehinggakan memaksa Washington menggubal strategi yang dikenali sebagai dasar pangsi Pasifik untuk mengekang kebangkitan Beijing.

Lawatan Obama ke Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan Filipina baru-baru ini adalah manifestasi betapa pentingnya rantau ini kepada kedua-dua kuasa besar tersebut.

Perkembangan terkini mengenai tuntutan bertindih sempadan maritim Laut China Selatan telah mentafsirkan bagaimana China berseorangan tanpa kawan terutama sekali dalam ASEAN.

Pertembungan dengan Vietnam bersangkutan dengan tuntutan kepulauan Paracel minggu lepas dan juga dengan Filipina sebelum ini mengenai Beting Thomas Kedua telah mensahihkan andaian bahawa Hanoi dan Manila tidak akan teragak-agak membabitkan AS dalam pertikaian mereka.

Ketika ini China tidak mempunyai rakan yang ketara di kalangan negara ASEAN kecuali Myanmar dan Laos jika isu Laut China Selatan digunakan sebagai pemangkin.

Tetapi perlu diingatkan kedua-dua rakan China ini tidak mempunyai kepentingan dalam isu tuntutan bertindih dan sebab itu kedua-dua negara tersebut tidak mempunyai pengaruh secara langsung.

Apakah dengan diplomasi panda terbaru ini mungkin juga merujuk kepada percaturan China yang mahu Malaysia menyebelahinya juga tidak boleh ditolak dengan begitu sahaja. Kedua-dua negara masih berdepan dengan tuntutan bertindih yang melibatkan beberapa pulau di gugusan Spratly yang dianggap genting.

Pada 2010 umpamanya beberapa bot Jabatan Perikanan China telah menceroboh perairan negara berdekatan dengan Pulau Layang-Layang sehingga memaksa kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengambil tindakan menghalau penceroboh tersebut. Paling terkini sudah beberapa kali kapal Pengawal Pantai China (CCG) menceroboh perairan negara berdekatan Beting Serupai iaitu 80 kilometer dari Bintulu.

Satu perkara yang agak menarik, walaupun Malaysia mempunyai masalah tuntutan bertindih dengan China, Kuala Lumpur tidak pernah mengambil sikap konfrontasi dengan Beijing seperti mana Hanoi dan Manila.

Begitu jelas sekali dasar luar Malaysia adalah berbaik-baik dengan semua negara tanpa mengambil pendirian berpihak kepada kuasa besar tertentu. Tidak ada sikap prejudis yang telah dipamerkan oleh Kuala Lumpur.

Diplomasi panda Sino-Malaysia adalah manifestasi jelas bagaimana Beijing begitu menghargai pendirian Kuala Lumpur.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

DAP tolak hudud, Pas tetap bersekongkol

Posted: 21 May 2014 12:55 PM PDT

Oleh Zulkifli Jalil

APA agaknya perasaan kita jika individu yang membantah keras hasrat kita - apa lagi terkena parti besar kita - hanya berada selang seorang daripada kita.

Dan individu itu pula memang totok menentang ideologi parti kita. Agaknya kita nak bertentang mata dengannya tak?

Tetapi apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berganding tangan dengan Lim Guan Eng dan calon DAP kerusi Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh pada 12 Mei lalu di Pulau Pinang, apa pula agaknya perasaan para penyokong dan pengikut Pas? Bertepuk tangan, kagum atau terdetik meluat di hati?

Ramkarpal secara terbuka menentang hudud. Anak ketiga Karpal Singh ini awal-awal lagi tidak mahu dikaitkan dengan hudud.

Abdul Hadi seperti biasalah, ada sahaja jawapannya apabila ditanya tentang pendirian DAP itu termasuk yang terang-terang keluar dari mulut Ramkarpal.

"Pas tetap akan melaksanakan undang-undang hudud sekalipun ditentang oleh rakan dalam pakatan kerana kita tidak ada perjanjian dengan DAP dan PKR untuk tidak melaksanakan undang-undang jenayah Islam itu," kata Abdul Hadi.

Di Teluk Intan, demikian juga nada yang datang daripada calon DAP di situ, Dyana Sofya. Dia pun sama sekali tidak akan menyokong hudud dalam usahanya untuk menjamin undi dan sokongan pengundi Cina. Malah, lagi teruk dan dangkal lagi kata calon DAP itu, dia memang menentang hudud dan DAP tidak pernah bersetuju dengan hudud kerana menganggap hudud adalah pemaksaan agama dan nilai-nilai Islam ke atas bukan Islam di negara ini.

Ke mana tahap pemahaman Islamnya, walhal hudud adalah penawar kepada banyak penyakit sosial, jenayah dan pelbagai lagi?

Apabila kita (merujuk kepada para penyokong Pas) mendengar ungkapan Abdul Hadi, kita barangkali boleh sejuk. Tetapi itu cuma di bibir kerana faktanya Pas tidak pernah pun mengatasi DAP, apatah lagi PKR dari segi jumlah kerusi Parlimen dalam dua pilihan raya umum lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 Mei tahun lalu, Pas di tangga tercorot. Cuma meraih 21 kerusi Parlimen, berbanding DAP (38) dan PKR (21). Ini mengulangi pencapaian PRU-12, dengan posisi DAP (28), PKR (31) dan Pas, 23 kerusi.

Macam mana Abdul Hadi boleh mengatakan; "Kalau DAP dan PKR tidak bersetuju, kami jalankan sahaja hudud?" Eh! di Selangor tempoh hari apabila kerusi Pas mengatasi PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN), Pas menikus sahaja dalam isu kedudukan menteri besar. Itu belum lagi isu-isu semasa dan lepas yang menyaksikan Pas hanya umpama melukut di tepi gantang.

Maafkan penulis kalau bahasa yang digunakan agak kasar. Tetapi dalam hal ini, Abdul Hadi kena berterus-terang. Nyatakan yang betul dan fakta. Apakah Pas boleh melaksanakan hudud tanpa dukungan sekutu mereka, DAP dan PKR?

Pada PRU 2013 di kerusi yang kedapatan menara condong ala Pisa itu, calon BN, Datuk Mah Siew Keong menerima 74 peratus undi Melayu, 15 peratus undi Cina dan 50 peratus undi India meskipun BN kalah dengan 7,313 undi.

Kebanyakan undi untuk DAP datang dari kawasan DUN Pasir Bedamar sementara DUN Changkat Jong adalah kawasan BN.

Oleh itu, untuk menang, jentera pilihan raya BN perlu bekerja keras memandangkan sokongan orang Cina untuk BN telah berkurangan dengan banyaknya.

Di kawasan pilihan raya yang majoritinya Cina iaitu DUN Pasir Bedamar, sokongan untuk BN hanya kira-kira 28 peratus sementara DAP mempunyai kelebihan 72 peratus atau 10,749 undi.

Dengan 57 peratus sokongan BN datang dari Changkat Jong, ia masih belum cukup untuk menandingi kelebihan 10,749 undi untuk DAP.

DUN Pasir Bedamar dan DUN Changkat Jong adalah dua kerusi di bawah Parlimen Teluk Intan. Pada PRU-13, BN memenangi kerusi Changkat Jong sementara Pasir Bedamar dimenangi DAP.

BN tidak mempunyai pilihan selain mendapatkan lebih banyak sokongan orang Melayu, apa lagi pengundi Cina seperti yang mereka lakukan sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang.

Pengundi kerusi Teluk Intan boleh swing ke parti yang mereka sukai. Itupun jika kena pada kaedah berkempennya. Pada PRK 1997, Gerakan tewas di Teluk Intan dengan 2,916 undi tetapi pada PRU 1999, BN menawannya balik menerusi Siew Keong dengan 2,783 undi.

BN sekali lagi menerusi Siew Keong mengekalkan kerusi itu pada PRU 2004 dengan majoriti 9,836 undi. Cuma pada PRU 2008 dan 2013, BN melihat perubahan dalam pola pengundian dengan pengundi muda terutamanya di bawah umur 50 tahun mengundi DAP.

Di Teluk Intan, pengundi Melayu tentu sekali ada ramai dalam kalangan para penyokong Pas. Teliti dan fikirkanlah apa yang penulis utarakan di atas tadi.

Beristighfarlah banyak kali.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved