Khamis, 15 Mei 2014

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Malaysia tumpuan Turkish Airlines

Posted: 14 May 2014 10:19 PM PDT

RANCANGAN Turkish Airlines untuk menjadikan Malaysia sebagai fokus pengembangan operasinya di rantau Asia Pasifik akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua buah negara. Syarikat penerbangan Turki ini akan menambah jumlah penerbangannya ke Kuala Lumpur, daripada enam kali seminggu yang dimulakan April lepas kepada penerbangan harian mulai Mei ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Airlines, Dr. Temel Kotil, penambahan jumlah penerbangan itu berdasarkan hubungan ekonomi yang semakin meningkat antara Malaysia dan Turki.

Setakat ini, pelaburan Turki di Malaysia berjumlah AS$126.1 juta (kira-kira RM409.76 juta) sementara pelaburan Malaysia di Turki pula adalah sebanyak AS$1 bilion (kira-kira RM3.25 bilion).

Lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Turki baru-baru ini serta gesaannya agar perniagaan kedua-dua negara dipertingkatkan memberi dorongan kuat untuk Turkish Airlines mengukuhkan lagi kehadirannya di negara ini.

"Penerbangan harian akan menyumbang kepada hubungan yang lebih baik dan akrab," kata Dr Kotil sambil menambah, langkah yang dilaksanakan itu akan menyumbang kepada kejayaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014.

Pelajar-pelajar Malaysia di Turki adalah kalangan mereka yang mengalu-alukan keputusan Turkish Airlines mengadakan penerbangan harian antara Istanbul-Kuala Lumpur.

Seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Ziyaad dan tinggal di Fatih, Istanbul memberitahu Bernama, penerbangan harian itu memudahkan ibu bapa merancang perjalanan untuk melawat anak mereka di Turki.

Ia juga satu berita baik bagi saya kerana saya juga menjalankan perniagaan perundingan pelancongan secara sambilan di Istanbul.

Saya dan rakan-rakan saya membantu pelancong Malaysia yang mahu melawat tempat-tempat menarik di sini juga dalam berhubung dengan orang tempatan di samping menyediakan rumah inap dengan harga yang berpatutan untuk mereka," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada syarikat penerbangan itu atas inisiatif yang dibuat.

Beliau menambah, perkongsian kod penerbangan terus Turkish Airlines dan Malaysia Airlines, rakyat kedua-dua negara mempunyai banyak pilihan untuk memilih penerbangan yang sesuai dengan keperluan perjalanan mereka.

Ziyaad turut berpandangan keadaan itu juga dapat meningkatkan hubungan lebih erat antara rakyat Malaysia dan Turki.

Sementara itu, Pengurus Besar Turkish Airlines untuk Malaysia, Firat Yildirim memberitahu Bernama, syarikat penerbangan itu juga membawa lebih ramai rakyat Malaysia untuk melakukan ibadah Umrah dengan persinggahan beberapa hari di Turki untuk melawat tempat-tempat menarik termasuk warisan Islam.

Dengan perlaksanaan penerbangan harian itu, Turkish Airlines menjangka pertambahan jumlah penumpang sekurang-kurangnya dua kali ganda, iaitu 10,000 penumpang pada tahun lepas kepada 20,000 penumpang tahun ini.

Malaysia juga semakin dikenali di Turki sebagai destinasi percutian tropika yang indah. Tahun lepas, Turkish Airlines dengan pangkalannya di Istanbul membawa kira-kira 50 juta penumpang dan terbang ke sekitar 100 destinasi di Eropah dan Negara-Negara Komanwel.

Dengan prestasi yang menggalakkan, syarikat penerbangan itu juga berkemungkinan menerbangkan ramai pelancong dari kedua-dua rantau itu ke Kuala Lumpur.

Secara keseluruhannya, Turkish Airlines yang dikenali dengan tanda panggilan, TK, terbang ke 106 buah negara dan lebih 248 destinasi di seluruh dunia. TK ialah syarikat penerbangan keempat terbesar dari segi saiz rangkaian.

Pada 2013 Turkish Airlines menerima pengiktrafan Skytrax sebagai syarikat penerbangan terbaik Eropah untuk tiga tahun berturut-turut dan pemenang Air Transport World-Market Leadership Award 11.

Menurut Dr. Kotil, Turkish Airlines juga menjangka akan menerbangkan lebih ramai rakyat Turki ke Malaysia terutama dalam kalangan ibu bapa dan pelajar kerana mereka lebih sedar sekarang negara ini pusat cemerlang pendidikan.

Kami tahu Malaysia semakin disegani sebagai pusat pendidikan terutama dalam bidang teknologi dan IT. Ini ciri yang menarik untuk kebanyakan ibu bapa dan pelajar Turki," katanya.

Ramai juga pelajar asing di Malaysia, ketika belajar untuk mendapatkan ijazah, mereka juga memperoleh pengetahuan bagaimana rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan berlainan agama hidup penuh harmoni dan bertolak ansur antara satu sama lain. Pengalaman ini amat berharga dan tidak dapat dipelajari di dalam kelas. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved