Khamis, 29 Mei 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


58 pasukan rebut Piala SAS Muda

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (tengah) bersama pemain cilik pada Majlis Pelancaran dan Pengundian Pesta Bola Piala SAS Muda 2014 di Kuantan, kelmarin. - UTUSAN/MAHAT HIR ALI

KUANTAN 29 Mei - Sebanyak 58 pasukan yang terdiri daripada 1,200 pemain dari seluruh negeri ini akan berentap merebut Piala Sultan Ahmad Shah (SAS) Muda di Temerloh dalam perlawanan berlangsung selama tiga hari bermula esok.

Pertandingan akan berlangsung di venue yang ditetapkan seperti di Stadium Temerloh dan beberapa buah sekolah di negeri ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu bawah sembilan tahun dan bawah 10 tahun.

"Program julung kali diadakan ini adalah untuk mendedahkan kanak-kanak tersebut bagaimana cara bermain bola sepak secara profesional," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran dan Pengundian Pesta Bola Piala Sultan Ahmad Shah (SAS) Muda 2014 di sini semalam.

Menurut beliau, selain menunjukkan bakat yang ada, kanak-kanak terbabit diingatkan supaya menjaga tingkah laku mereka dan meningkatkan berdisiplin.

"Saling menghormati antara satu sama lain, itulah yang paling penting dalam bermain bola sepak," katanya.

Sementara itu Setiausaha Jawatankuasa Pengelola Kejohanan, Muhammad Faiz Hashim berkata, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan merasmikan kejohanan Sabtu ini di Stadium Temerloh.

"Orang ramai di sekitar daerah tersebut dijemput untuk memeriahkan majlis. Selain majlis perasmian turut diadakan konsert dan cabutan bertuah," katanya.

Dua pasar raya diminta henti jual coklat Cadbury

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

Che Hanafi Mamat (dua dari kiri) menunjukkan dua jenis coklat Cadbury yang dikesan mengandungi DNA babi masih dipamer dan dijual di sebuah pasar raya di Bandar Baru Inderapura, Jerantut, kelmarin. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT 29 Mei - Penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) cawangan Jerantut meminta pengurusan dua buah pasar raya di bandar ini supaya menghentikan penjualan coklat jenama Cadbury serta-merta berikutan penemuan asid deoksiribonukliek (DNA) babi dalam dua jenis coklat jenama itu baru-baru ini.

Operasi pemantauan berkenaan yang diadakan semalam diketuai Ketua Cawangan PPDNKK Jerantut, Che Hanafi Mamat dan turut disertai pihak polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan, Pegawai Hal Ehwal Pengguna Parlimen Jerantut, Jabatan Agama Islam Pahang dan Jabatan Veterinar negeri.

Che Hanafi ketika ditemui berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai mengenai dua pasar raya terbabit yang masih menjual dua jenis coklat jenama itu.

''Kita menasihati pengurusan pasar raya supaya tidak mempamer dan menjual produk berkenaan iaitu jenis Cadbury Milk Rosted Almond dan Cadbury Milk Hazel Nut.

''Kita berharap semua peniaga di daerah ini menghentikan jualan dua produk berkenaan selama tujuh hari sehinggalah keputusan laporan siasatan kajian DNA diumumkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),'' katanya kepada pemberita di sini.

Menurut beliau, semua premis dan pengusaha pasar raya diminta memberi kerjasama dan bersabar serta memahami arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

''Dalam tempoh ini, pemantauan dilaksanakan oleh penguatkuasa PPDNKK di sini di semua premis serta pasar raya di bandar Jerantut dan Kuala Lipis sambil menasihatkan mereka memberhentikan penjualan itu sebelum arahan selanjutnya dikeluarkan oleh pihak berkuasa,'' ujarnya.

Gangguan air di Bera, 3 Jun

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

BERA 29 Mei - Beberapa kawasan sekitar daerah ini akan mengalami gangguan bekalan air bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang pada 3 Jun ini.

Kawasan terlibat adalah Kerayong, kawasan masjid, pejabat kerajaan, Kampung Mengkarak, Mengkarak Station, Ladang Karmen, Durian Tawar, Kampung Jelam, simpang Mengkarak hingga Kuala Bera dan Kampung Gemuruh.

Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) daerah dalam kenyataan di sini hari ini berkata, gangguan berlaku disebabkan kerja-kerja pemasangan injap air masuk ke tangki Perkhidmatan Kerayong.

"Sehubungan itu, pengguna di kawasan terlibat akan terputus bekalan air dan dinasihatkan supaya menyimpan air secukupnya bagi mengelak berlaku kesulitan," kata kenyataan tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved