Isnin, 26 Mei 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Hulu Jelai hab madu lebah kelulut

Posted: 26 May 2014 12:08 PM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) melihat ternakan lebah kelulut di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Kuala Medang dekat Kuala Lipis, baru-baru ini. - Utusan/HARIS FADILAH AHMAD

KUALA LIPIS 26 Mei - Hulu Jelai bakal menjadi hab pasaran madu lebah kelulut apabila kerajaan negeri melebarkan penternakan berkenaan di Jeram Bechung, Kampung Kuala Medang dekat sini tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berkenaan antara langkah kerajaan negeri menambah jumlah penyertaan pembangunan kampung menerusi program Desa Lestari, khususnya melibatkan penternakan lebah kelulut.

Katanya, penternakan serangga itu mempunyai potensi yang boleh diperluaskan kerana mendapat permintaan pasaran tempatan dan luar negara.

Sehubungan itu katanya, seramai 50 ahli Koperasi Homestay Kuala Medang (KHKM) menjadi perintis bagi projek tersebut apabila mereka akan mengusahakan sebanyak 150 buah sarang kelulut.

"Langkah ini dijangka mencatat kejayaan memberangsangkan khususnya untuk memenuhi aspirasi transformasi ekonomi bagi tujuan menambah pendapatan sampingan penduduk luar bandar.

"Kita memilih penduduk terbabit sebagai perintis projek itu kerana sebelum ini sebanyak 19 petani juga terbabit dengan projek pertanian di tanah seluas 160 hektar bagi projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Kampung Kuala Medang sejak tiga tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek ternakan lebah kelulut KHKM di Jeram Bechung, Kuala Medang dekat sini baru-baru ini.

Menurut Wan Rosdy, penternakan lebah kelulut menjanjikan pulangan lumayan selain merupakan produk kesihatan yang mendapat permintaan tinggi dari dalam dan luar negara.

"Selepas empat bulan, penternak terbabit dijangka memperoleh purata pendapatan bulanan melebihi RM3,000," katanya.

Menurut beliau, projek berkenaan di bawah pakej peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk pelaksanaan, pengurusan dan penganjuran kursus kemahiran bagi melatih penduduk khususnya belia yang berminat.

"Kita memilih industri madu kelulut sebagai produk ikon kepada Desa Lestari berdasarkan kepada kriteria pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu mempunyai kos rendah, impak tinggi dan pulangan cepat," ujarnya.

Katanya, selain menjadikan kawasan luar bandar maju berasaskan pertanian dan pelancongan, usaha ini merupakan satu langkah kerajaan mengekang penghijrahan penduduk ke bandar.

17 hotel, resort di Kuantan diiktiraf halal

Posted: 26 May 2014 12:08 PM PDT

KUANTAN 26 Mei - Sebanyak 26 premis makanan membabitkan 17 hotel dan resort di daerah ini adalah halal selepas Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan pemeriksaan dan pemantauan baru-baru ini.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, pihaknya juga memberi nasihat kepada pemilik dapur dan restoran terbabit supaya mementingkan kebersihan serta bahan yang digunakan adalah halal.

Menurutnya, antara hotel yang disenaraikan oleh JAIP halal ialah MS Garden, The Zenith, De Rhu Beach Resort, Impiana Resort Cherating, Grand Continental, Cherating Holiday Villa, Megaview dan Shahzan Inn.

"Lima lagi yang disahkan halal ialah Suria Cherating Beach Resort, Residence Inn and Motel, Santuari Resort, The Legend Resort Cherating dan hotel terbaharu di Kuantan iaitu Rocana," katanya di sini kelmarin.

Menurutnya, semua hotel terbabit sudah mematuhi standard, syarat dan prosedur halal ditetapkan jabatan agama tersebut iaitu menggunakan bahan-bahan halal dalam masakan.

Katanya, selain penggunaan bahan yang tidak boleh dipertikaikan dalam konteks halal, pengurusan dapur hotel berjaya melaksanakan amalan kebersihan yang baik ketika proses pengendalian dan penyediaan makanan.

Beliau menambah, faktor lain yang membolehkan dapur hotel berkenaan diiktiraf halal ialah proses penyimpanan bahan mentah kering dan basah serta penstoran yang dilaksanakan.

"Selepas menerima sijil halal, Unit Pengurusan Halal akan melakukan pemantauan berkala di dapur restoran dan kafe bagi memastikan kemaslahatan pengguna terjamin selain pemeriksaan susulan jika ada aduan daripada pelanggan," ujarnya.

Dalam pada itu beliau juga menasihatkan pihak yang merancang mengadakan seminar, kursus atau bengkel latihan, mengelak daripada menggunakan hotel yang tidak mempunyai sijil halal kerana boleh menimbulkan keraguan.

UiTM untuk Melayu, bumiputera perlu dipertahan

Posted: 26 May 2014 12:08 PM PDT

RAUB 26 Mei - Hanya individu yang tidak memahami konsep survival bangsa Melayu dan bumiputera sahaja sanggup menongkah arus dengan mencadangkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada kaum lain atas alasan keterbukaan.

Pengarah Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS), Datuk Yahya Zainal Abidin berkata, dalam memastikan kaum majoriti di negara ini iaitu orang Melayu dan bumiputera mampu bersaing dengan kaum lain, institusi berkenaan perlu terus dipertahankan.

"Daripada segi ilmu kita tidak boleh bertolak-ansur. Tidak boleh (dibuka untuk kaum lain) kerana itulah harta kita yang telah banyak membantu khususnya orang kampung untuk berjaya.

"Kalau buka (kepada kaum lain) apa yang akan terjadi ialah orang Melayu hanya berada di kolej-kolej komuniti manakala bangsa lain di universiti. Jika tidak dikawal akan menjadi konflik perkauman sekali gus menjejaskan keharmonian negara," katanya yang telah dianugerah Tokoh Guru Pahang 2014.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah Raub di sini kelmarin.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Aziz Mat Kiram dan Pengarah Pendidikan Pahang, Rosdi Ismail.

Yahya yang juga bekas Pengarah Pendidikan negeri menegaskan hak keistimewaan orang Melayu yang disaksikan melalui kewujudan UiTM jelas termaktub dalam Perlembagaan dan tidak boleh diganggu gugat.

Malah katanya, kewujudan universiti itu tidak menjejaskan kaum lain yang dilihat lebih berjaya dalam pendidikan dan memenuhi pelbagai institusi pengajian tinggi lain.

Sementara itu katanya, dalam memastikan orang Melayu dan bumiputera maju setanding bangsa lain, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah melalui penguasaan ilmu.

"Selepas itu barulah bangsa itu dapat memajukan diri dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi setanding dengan bangsa lain berbekalkan ilmu yang ada," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved