Jumaat, 23 Mei 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bot nelayan Vietnam ditahan

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Shafik Fauzan Sharif (tengah) melihat sotong yang dikeringkan di bot nelayan Vietnam yang menangkap hasil laut di perairan Malaysia di Kuantan, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI

KUANTAN 23 Mei - Jabatan Perikanan negeri menahan sebuah bot bersama tujuh nelayan warga Vietnam kira-kira 82.8 kilometer dari Jeti Perikanan Padang Lalang di sini semalam.

Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, nelayan berusia 17 hingga 39 tahun itu ditahan kerana menceroboh perairan negara dengan melakukan aktiviti menangkap hasil laut dengan cara salah.

"Mereka ditahan kira-kira pukul 1.15 petang ketika sedang menjalankan aktiviti penangkapan sotong dengan menggunakan kaedah yang salah iaitu menjala.

"Aktiviti menangkap sotong menggunakan jala ini sememangnya telah diharamkan oleh kerajaan bagi mengelak khazanah laut lain terjejas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Perikanan negeri, Adnan Hussain dan Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber negeri, Inwi Eh Kliyau.

Menurut Shafik, pemeriksaan yang dilakukan pegawai penguatkuasa tidak menemui sebarang dokumen sah dan mereka dikesan melakukan aktiviti menangkap sotong secara haram.

"Mereka juga menggunakan cahaya lampu yang tidak dibenarkan sebelum menjala sotong berkenaan. Malah, turut memproses sotong kering di atas bot berkenaan.

"Kesemua mereka boleh dihukum di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu Seksyen 15(1)(a) dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau enam bulan penjara bagi tekong dan RM500,000 atau lima bulan penjara bagi awak-awak," katanya sambil memberitahu bot nelayan asing yang bernilai kira-kira RM450,000 itu akan disita.

Sementara itu, katanya, sebanyak lapan bot berjaya ditahan sejak Januari hingga bulan ini dengan dua bot nelayan asing manakala selebihnya bot nelayan tempatan.

"Penahanan itu juga telah berjaya menangkap lima nelayan tempatan dan 23 nelayan asing," jelasnya.

Usahawan kecil berpotensi akan dimajukan

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

KUANTAN 23 Mei - Kerajaan negeri menyasarkan melahirkan 210 usahawan berjaya dalam kalangan ibu tunggal untuk dijadikan contoh kepada golongan tersebut pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, melalui Pejabat Pembangunan Wanita negeri, pihaknya kini berusaha menjejak usahawan kecil yang mengeluarkan produk sendiri di rumah untuk dimajukan.

"Tujuan utama Program Jejak Usahawan Kecil ini dilaksanakan ialah sebagai pemudah cara membantu mereka mendapatkan saluran yang tepat bagi meluaskan pasaran produk yang diusahakan seperti keropok lekor, telur masin, roti, kuih dan perkhidmatan menjahit.

"Kita sasarkan penghujung tahun ini dapat menyediakan satu profil khas usahawan kecil yang berjaya dan menjadi rujukan kepada golongan ibu tunggal yang lain," katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Beliau sebelum itu melawat lima usahawan kecil yang menghasilkan produk dan perkhidmatan di rumah masing-masing sempena kunjungan pertama program berkenaan bagi peringkat DUN Tanjung Lumpur di sini.

Menurut Shahaniza, melalui profil khas itu, pihaknya dapat mengenal pasti masalah utama yang dihadapi ibu tunggal ketika menjalankan perniagaan.

"Oleh itu, kita akan berusaha membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan mendapatkan bantuan daripada agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

"Sebagai contoh, untuk memasarkan produk yang merupakan masalah utama mereka, kita akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Persekutuan Malaysia (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Sirim Berhad.

"Pada dasarnya, beberapa agensi yang saya temui seperti MARDI telah bersetuju membantu ibu-ibu tunggal dalam memantapkan lagi pengeluaran produk," jelasnya.

Tambahnya, program itu juga bukan sekadar melihat potensi dalam kalangan ibu tunggal dalam perniagaan, tetapi lebih kepada memberi sokongan kepada mereka untuk terus maju dan bersaing dengan usahawan lain.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved