Rabu, 21 Mei 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Sri Jengka perkenal laluan baru

Posted: 21 May 2014 12:55 PM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

Ismail Abd. Muttalib (tengah) menunjukkan tanda bagus selepas merasmikan laluan baharu Jerantut-Maran- Kuantan di Felda Jengka 3, Maran, semalam. Turut sama, Shahaniza Shamsuddin (depan, tengah) - utusan/SALEHUDIN MAT RASAD

MARAN 21 Mei - Syarikat Warisan Jengka Holdings Sdn. Bhd. memperkenalkan perkhidmatan bas henti-henti melibatkan laluan Jerantut-Maran-Kuantan bermula kelmarin yang memberi manfaat kepada lebih 30,000 penduduk.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Warisan Jengka, Abdul Ghani Abdullah berkata, laluan itu meliputi beberapa kampung tradisional seperti Pulau Tawar, Felda Sungai Tekam, Kuala Sentol, Kampung Jara dan Kampung Batu 55.

Katanya, pengenalan laluan berkenaan sememangnya ditunggu-tunggu penduduk di kampung-kampung terlibat berikutan penamatan operasi di laluan berkenaan oleh sebuah syarikat bas sebelum ini.

"Selain itu laluan ini yang dikendalikan Sri Jengka Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Warisan Jengka Holdings bakal mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai penyedia perkhidmatan bas henti-henti utama di daerah ini.

"Sri Jengka sebelum ini mengendalikan perkhidmatan bas henti-henti melibatkan laluan bermula di Bandar Tun Abdul Razak Jengka ke daerah berdekatan seperti Jerantut, Temerloh dan Maran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas pelancaran bas henti-henti Sri Jengka bagi laluan Jerantut-Maran-Kuantan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib di sini kelmarin.

Sempena pelancaran perkhidmatan terbaru itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin diberi penghormatan menaiki bas berkenaan dari Felda Jengka 1 ke bandar Maran.

Tambah Abdul Ghani, perkhidmatan bas ini bukan sahaja memudahkan urusan seharian penduduk malah mereka dapat menikmati perjalanan ke Kuantan dengan kos yang lebih murah.

"Sri Jengka turut mengendalikan perkhidmatan bas melibatkan Simpang Pelangai ke bandar Bentong, Kuala Lipis-Padang Tengku, Benta-Jerantut dan Bera-Bahau di Negeri Sembilan.

"Selain itu kita mempunyai perkhidmatan bas ekspres Sri Jengka yang telah melebar operasi ke merata negeri seperti Jengka ke Kota Bharu, Kuala Terengganu, Alor Star dan Shah Alam," katanya.

Tingkatkan nilai tambah graduan - MB

Posted: 21 May 2014 12:55 PM PDT

Penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, Mohamad Jamaludin Suhaimi, bersama bapanya, Suhaimi Jumati dan ibu, Julaiza Junaidi sewaktu Majlis Konvokesyen Polisas Ke-35 di Kuantan, semalam.

KUANTAN 21 Mei - Para graduan diingatkan supaya berfikiran secara kritikal dalam menilai sesuatu perkara supaya dapat memberi nilai tambah kepada diri sendiri dalam menempuhi alam pekerjaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, walaupun berfikiran kritikal, namun dalam membuat sesuatu keputusan haruslah berpaksikan kepada sifat rasional dan matang.

"Keperluan itu penting memandangkan arus globalisasi yang menuntut graduan lebih berkualiti dan sentiasa menambah ilmu pengetahuan mereka," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) ke-35 di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Polisas, Datuk Abu Bakar Ahmad.

Sebanyak 1,803 graduan menerima diploma masing-masing pada majlis konvokesyen politeknik itu yang berlangsung selama dua hari berakhir hari ini.

Pada majlis itu, graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Mohamad Jamaludin Suhaimi, 22, muncul penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum.

Menurut Adnan, memiliki segenggam ijazah atau diploma tidak cukup menyakinkan para majikan dan kemahiran lain diperlukan supaya mereka dapat berdaya saing dalam dunia pekerjaan.

"Graduan diingatkan bahawa penerimaan diploma atau ijazah bukan menandakan mereka tamat pengajian. Ilmu pengetahuan mesti sentiasa dicari dan tingkatkan kemahiran selari dengan perkembangan semasa," katanya.

Dalam pada itu Adnan berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha menyediakan peluang pendidikan dan pekerjaan kepada graduan dalam pelbagai bidang.

"Graduan Polisas terutamanya perlu merebut peluang dan meneroka ilmu baru seiring dengan bidang yang dipelajari.

"Saya juga ingin ingatkan ibu bapa agar berbangga dengan pencapaian anak masing-masing sehingga berjaya memperoleh diploma pada konvokesyen kali ini," katanya.

Pencemaran sungai punca gangguan bekalan air

Posted: 21 May 2014 12:55 PM PDT

JERANTUT 21 Mei - Meskipun mempunyai bekalan air mentah mencukupi dengan jaringan sungai yang panjang, daerah ini tetap menghadapi masalah bekalan air bersih akibat pencemaran sungai yang dikatakan berpunca daripada aktiviti manusia.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris (gambar) berkata, keadaan air yang berkeladak akibat perlombongan dan pembalakan menyebabkan Loji Batu Embun di sini seringkali ditutup sekali gus mengakibatkan sebahagian besar penduduk terputus bekalan air.

"Saya amat kecewa meskipun Pahang tidak mempunyai masalah air tetapi masalah bekalan air bersih masih berlaku di daerah ini. Pada bulan lepas sahaja loji berkenaan telah ditutup lebih empat kali.

"Jadi saya minta pihak yang berkaitan supaya memberi perhatian terhadap perkara ini dengan memastikan segala aktiviti yang dilakukan mengikut peraturan ditetapkan dan tidak menjejaskan alam sekitar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Ahmad Nazlan, loji air utama berkenaan terpaksa ditutup kerana kepekatan keladak air yang terlalu tinggi sehingga pemprosesan bekalan air bersih tidak dapat dilakukan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pengguna di daerah Taman Negara itu sering berhadapan dengan masalah bekalan air yang menjejaskan pelbagai aktiviti seharian.

"Lebih membimbangkan sekiranya aktiviti seperti perlombongan menyebabkan wujudnya logam berat di dalam air yang boleh memudaratkan manusia dan juga hidupan air lain," katanya.

Sementara itu, beliau berharap penduduk di daerah itu dapat bekerjasama menyalurkan maklumat kepada pihak berkaitan mengenai apa-apa aktiviti yang boleh menjejaskan alam sekitar.

Ujarnya, kerjasama semua pihak khususnya penduduk amat penting dalam memastikan alam semula jadi di daerah itu akan terus terpelihara.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved