Jumaat, 2 Mei 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Zakat beri manfaat kepada umat Islam

Posted: 02 May 2014 11:28 AM PDT

HASAN Malek (kanan) menyampaikan replika cek zakat perniagaan Bank Rakyat kepada Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kiri) sambil diiringi Adnan Yaakob sempena Karnival Muamalat dan Cinta Rasul di Masjid Negeri, Kuantan, Pahang, semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 2 Mei - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, dana zakat yang meningkat setiap tahun telah banyak memberi manfaat kepada umat Islam di negeri ini.

Baginda bertitah, pelbagai bentuk agihan zakat telah dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) khususnya untuk sara hidup golongan fakir dan miskin serta pendidikan pelajar di pelbagai peringkat.

Sehubungan itu baginda bertitah, Muip melalui Pusat Kutipan Zakat (PKZ) negeri menyasarkan seramai 75,000 umat Islam dapat melaksanakan pembayaran zakat harta untuk tahun ini.

Saya mendapat maklumat bahawa seramai 71,000 umat Islam telah membayar zakat tahun lalu berbanding 67,000 tahun sebelumnya.

Saya berharap mereka yang telah mencukupi syarat berzakat tetapi belum melaksanakannya dapat berbuat demikian melalui pusat zakat atau kaunter zakat yang disediakan di negeri ini," titah baginda selepas berkenan merasmikan Karnival Muamalat dan Cinta Rasul di Masjid Negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek dan Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Dalam majlis itu, Hasan yang mewakili Bank Rakyat menyampaikan zakat perniagaan berjumlah RM1.4 juta kepada Tengku Abdullah yang juga merupakan Yang Dipertua Muip.

Selain Bank Rakyat, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut menyampaikan zakat yang sama kepada Tengku Abdullah berjumlah RM1.7 juta.

Buat pertama kalinya, seramai 18 pemain skuad bola sepak Pahang turut hadir menunaikan zakat pendapatan kepada Tengku Abdullah.

Dalam pada itu baginda juga turut mengucapkan syabas kepada para pemain Pahang yang menunjukkan tanggungjawab dalam menunaikan zakat pendapatan.

Saya juga sangat teruja kepada para pemain bola sepak skuad Tok Gajah yang menunaikan zakat hari ini. Mudah-mudahan rezeki mereka menjadi lebih berkat dan lebih banyak mencapai kemenangan," titah baginda.

Baginda juga turut memuji penganjuran karnival tersebut kerana memberi kefahaman dan mengajak umat Islam supaya bermuamalah serta berinteraksi mengikut lunas-lunas Islam.

GST beri impak positif kepada negara

Posted: 02 May 2014 11:28 AM PDT

MARAN 2 Mei - Rakyat yang setia perlu bersama kerajaan dalam melaksanakan dasar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang lebih menguntungkan mereka dan memakmurkan negara dalam jangka masa panjang.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, GST yang akan dilaksanakan tahun hadapan bakal memberi impak positif terhadap ekonomi dan kemajuan negara.

Menurutnya, majoriti negara di dunia telah melaksanakan GST dan terbukti dasar itu memberi kebaikan terhadap perkembangan ekonomi serta masyarakat negara berkenaan.

Dalam hal ini pihak pembangkang nampak akan kebaikan GST tetapi sengaja menyelewengkan fakta sebenar bagi mengelirukan rakyat yang tidak faham tentangnya.

Oleh itu, rakyat diminta tidak mudah terpengaruh dengan hasutan dan tohmahan pembangkang yang cuba menakutkan mereka dengan mendakwa kononnya pelaksanaan GST tahun depan akan membebankan rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manausia berkata, pembangkang sebenarnya cuba mengelirukan rakyat dengan pelbagai tohmahan dan fitnah supaya rakyat membenci kerajaan.

Katanya, GST tidak membebankan dan sudah pun dilaksanakan lebih 165 buah negara yang terbukti sangat berjaya dalam memakmurkan negara serta rakyat.

Menurut beliau, tidak semua cukai dikenakan terhadap semua barangan di negara ini malah GST jauh lebih murah dan berpatutan yang tidak membebankan rakyat.

Pakar ekonomi telah membuat pelbagai kajian sebelum GST dilaksanakan tahun depan, malah enam peratus tidak membebankan rakyat berbanding di negara lain yang cukainya jauh lebih tinggi.

Rakyat perlu mendapatkan maklumat sebenar tentang pelaksanaan itu daripada kerajaan dan tidak mendengar tohmahan serta fitnah pembangkang semata-mata," katanya.

Sehubungan itu beliau akan turun padang ke setiap cawangan UMNO Bahagian Maran dalam tempoh terdekat ini bagi menerangkan mengenai GST.

Ismail berkata, rakyat perlu memberikan kepercayaan kepada kerajaan kerana apa dilakukan itu tidak akan menyusahkan mereka sebagaimana digambarkan pembangkang.

Menurutnya, kerajaan sentiasa prihatin dan akan mengkaji sebelum melaksanakan sesuatu dasar apatah lagi berkaitan dengan taraf hidup rakyat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved