Ahad, 18 Mei 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Chenor bakal terima manfaat

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

MARAN 18 Mei - Perancangan kerajaan untuk membina jambatan kedua Temerloh bakal memberi impak terhadap kerancakan pembangunan infrastruktur dan ekonomi penduduk di kawasan Chenor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mohamed Ariffin Awang Ismail berkata, jajaran jalan raya itu kelak yang akan melalui kawasan Chenor pastinya mempengaruhi perkembangan ekonomi penduduk.

Katanya, perkara itu selari dengan usaha bersungguh-sungguh kerajaan negeri untuk menaik taraf jalan di Seberang Chenor dan laluan pekan baharu Chenor yang merupakan jalan alternatif ke Pekan dan untuk ke bandar Bera.

"Sehubungan itu, apabila jambatan kedua Temerloh dapat direalisasikan dalam tempoh beberapa tahun ini, maka pastinya memberi nilai tambah kemudahan sosial kepada rakyat setelah pembinaan Jambatan Chenor sebelum ini.

"Ditambah dengan usaha menaik taraf rangkaian jalan raya, bermakna Chenor bakal menjadi pusat perkhidmatan penting di negeri ini," katanya.

Mohamed Ariffin yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Maran berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan perasmian Dewan Kampung Bukit Lada bernilai lebih RM200,000 di sini semalam.

Tambah beliau, impak kerancakan pembangunan sosial dan ekonomi turut mempengaruhi pekan Kampung Awah yang menjadi pintu masuk ke Felda Wilayah Jengka.

Menurutnya, kerajaan telah bersetuju membangunkan Pekan Kampung Awah dengan projek pembangunan lebih tersusun dan moden selari dengan arus perdana pembangunan negara.

Beliau berkata, dalam masa terdekat ini sebuah bank perdagangan iaitu Agro Bank telah bersetuju untuk beroperasi di Pekan Kampung Awah bagi kemudahan rakyat.

"Oleh itu rakyat dari segenap lapisan perlu terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah menunjukkan jasa yang sangat hebat terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Jerantut juara ragbi bawah 12 buat kali pertama

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Keceriaan terpancar pada wajah guru serta pemain apabila pasukan ragbi Jerantut Bawah 12 Tahun muncul juara Kejohanan Ragbi MSSP di SMK Padang Saujana, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 18 Mei - Sambutan Hari Guru tahun ini amat bermakna bagi guru-guru di Jerantut apabila pasukan ragbi bawah 12 tahun daerah ini muncul juara Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-sekolah Pahang (MSSP) yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Saujana, di sini kelmarin.

Kejuaraan sulung itu diraih apabila pasukan Jerantut A bimbingan Farid Razali itu menewaskan daerah Rompin dengan keputusan 34-27 dalam perlawanan akhir manakala Jerantut B pula mendapat tempat keempat setelah dikecewakan oleh Kuantan.

Farid berkata, kemenangan tersebut adalah hadiah paling bernilai untuk para jurulatih dan warga pendidik di daerah ini yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukannya.

"Kami sangat gembira kerana muncul juara buat pertama kali dan lebih manis apabila Mohd. Aizad Fahmi Shaiful Hazmi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pedah, di sini muncul pemain terbaik kejohanan.

"Kami hanya sempat berlatih selama seminggu sebelum kejohanan ini dan kerjasama antara pemain selain semangat yang tinggi menjadi kunci kejayaan kami," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris.

Yang turut hadir Ketua Unit Sukan Jabatan Pendidikan Negeri, Jalaludin Ismail; Timbalan Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut (PPDJ), Firdaus Shuib dan Penyelia Sukan PPDJ, Sofian Kasim.

Johan bagi kategori bawah 18 tahun pula milik pasukan Kuantan manakala Temerloh di tempat kedua dan Jerantut, ketiga.

Farid memberitahu, pihaknya akan membuat persiapan rapi untuk Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) yang akan berlangsung di Kelantan pada 6 hingga 12 Jun ini.

"Kami akan berusaha mengangkat martabat Jerantut dan negeri Pahang di peringkat kebangsaan demi masa depan para pemain," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved