Selasa, 13 Mei 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


UiTM buka peluang Melayu miskin

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

Sebahagian pelajar lepasan SPM mendengar taklimat dan maklumat berkaitan permohonan Program Mengubah Destini Anak Bangsa di Maran, semalam.

MARAN 13 Mei - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang di sini menganjurkan program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) dengan memilih calon berkelayakan untuk meneruskan pengajian di universiti itu.

Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik UiTM Pahang, Prof. Madya Dr. Halil Paino berkata, program itu bertujuan memberi peluang pendidikan kepada anak-anak miskin Melayu dan bumiputera luar bandar dan bandar mendapat tempat pengajian di universiti ini.

Menurutnya, matlamat MDAB adalah dengan memberi pendidikan kepada pelajar bumiputera yang tidak berkemampuan dan tidak memenuhi syarat ke program diploma atau matrikulasi UiTM.

Tambahnya, mereka yang layak mendapat keistimewaan itu terdiri daripada mereka yang mempunyai pendapatan ibu atau bapa kurang daripada RM2,000 sebulan tanpa mengira kawasan atau tanggungan.

"Program MDAB peringkat Maran mendapat sambutan baik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal terpilih ke institut pengajian tinggi (IPT) tempatan.

"Seramai 300 orang hadir pada program ini yang menyaksikan mereka menunjukkan minat cukup baik dalam kalangan generasi baharu," katanya ketika berucap dalam majlis program (MDAB) peringkat Maran di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.

Menurutnya, untuk menyertai program itu, mereka perlu mempunyai kepujian dalam empat mata pelajaran SPM termasuk Bahasa Melayu dan nilai tambah minimum kelayakan iaitu sekurang-kurangnya lulus Bahasa Inggeris dan Matematik.

Mereka berjaya dalam MDAB layak ditawarkan ke program diploma mengikut syarat dan kelayakan. Antara program ditawarkan ialah Pra Diploma Perdagangan, Pra Diploma Perakaunan atau Pra Diploma Sains," katanya.

70 penuntut Unisel hayati keindahan flora dan fauna Hutan Lipur Terenggun

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

Mustapa Long (tengah) dan Hishamuddin Abd. Rahman (depan lima dari kiri) bersama penuntut Universiti Selangor yang menyertai program Kembara Alam Rimba Kepimpinan di Hutan Lipur Terenggun, Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 13 Mei - Pemilihan kawasan hutan lipur menjadi satu tarikan dan pilihan utama kepada penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dalam melaksanakan program mereka di kawasan itu.

Hutan Lipur Terenggun dekat sini menjadi lokasi kepada 70 penuntut Universiti Selangor (Unisel) dalam mengadakan program Kembara Alam Rimba Kepimpinan selama dua hari di situ.

Program itu merupakan pengisian penuntut terbabit di bawah kegiatan Unisel Bestari Jaya dengan kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri.

Majlis pelancaran program itu dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dengan dihadiri Naib Presiden GPMS Kebangsaan merangkap koordinator program, Hishamuddin Abd. Rahman.

Menurut Hishamuddin, pihaknya terpanggil melaksanakan kegiatan itu bagi membolehkan mereka mengenali keindahan alam sekitar daerah ini selain mewujudkan asas kesedaran dalam melakarkan jati diri dan kepemimpinan berkarisma.

Katanya, mereka yang sudah biasa tinggal di bandar berpeluang menikmati ketenangan jiwa dengan menyelami keunikan pelbagai spesies burung serta tumbuh-tumbuhan di Terenggun.

Kegiatan kembara dengan mengeksploitasi keindahan alam sekitar termasuk flora dan fauna di Terenggun memberi iktibar serta penghayatan dalam melebarkan kemahiran berfikir dan menambah kekuatan fizikal sebagai bakal seorang pemimpin pada masa akan datang," katanya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, program berkenaan merupakan perintis kegiatan penuntut terbabit sebelum berhasrat mengadakan aktiviti sama di Taman Rimba Kuala Kenong dan Gua Batu Kapur di Merapoh pada masa akan datang.

Katanya, antara kegiatan dilaksanakan iaitu merentas Tasik Terenggun, berhalangan, memanah, pengembaraan malam dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK).

Pensyarah Kanan UMP terima anugerah kategori tokoh, paten

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

Adnan Yaakob (tengah) menyampaikan anugerah dalam kategori tokoh dan paten kepada Abdul Syukor Abd. Razak (kiri) sambil diperhatikan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim dalam Malam Anugerah Cendekia Bitara UMP 2013 di Kuantan, baru-baru ini. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 13 Mei - Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam (FKASA) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Abdul Syukor Abd. Razak menerima dua anugerah pada Malam Anugerah Cendekia Bitara UMP 2013 yang diadakan di Hotel Zenith di sini baru-baru ini.

Beliau menerima anugerah dalam kategori tokoh dan paten sebagai sumbangan serta pencapaian cemerlangnya dalam aktiviti penyelidikan, pengkomersialan, kreativiti dan inovasi di universiti berkenaan.

Abdul Syukor membawa pulang hadiah berupa wang RM10,000 berserta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Pensyarah Kanan FKASA itu melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih atas kepercayaan UMP dengan memberinya banyak peluang terutama sokongan dalam menghasilkan produk penyelidikan dan pengkomersialan.

Kejayaan ini datang dengan satu tanggungjawab besar dalam menggalas usaha bagi memastikan produk yang dihasilkan dapat dikomersialkan dan dimanfaatkan oleh semua orang.

Saya berharap, kejayaan ini dapat memberi suntikan semangat dalam kalangan penyelidik untuk terus berusaha menghasilkan kajian dan penyelidikan yang mampu memberi impak yang berkualiti tinggi serta diiktiraf dunia," katanya di sini.

Abdul Syukor kini giat mengkomersialkan tiga produk di bawah Pejabat Pemindahan Teknologi (TTO) di Jabatan Penyelidikan dan Inovasi dengan jenama Pisoptera, Phytogen dan Wasra.

Beliau menerima pelbagai anugerah akademik dan penyelidikan di dalam negara dan di peringkat antarabangsa seperti Most Innovative Award di Bio-Malaysia 2008, Green Technology Award 2010 dan Anugerah Presiden Korean Invention and Intelectual Property Association (KIIPA) di Korea.

Korean Invention News (KINEWS) juga menobatkan Abdul Syukor sebagai World Inventor Order of Merit Award 2013 di atas usahanya dalam memartabatkan produk penyelidikan yang berdaya saing dalam merealisasikan visi dan misi UMP untuk menjadi universiti teknologi bertaraf dunia.

Abdul Syukor juga merupakan satu-satunya anak Melayu Malaysia pertama yang berjaya mendapat anugerah tertinggi dalam World Inventor Award Festival yang berlangsung di Korea Selatan tahun lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved