Jumaat, 9 Mei 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pendakwaan semula Chegubard anjur perhimpunan Rabu ini

Posted: 09 May 2014 12:00 PM PDT

KUALA LUMPUR 9 Mei - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan kepada Rabu ini pendakwaan semula terhadap Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dan dua lagi atas pertuduhan menganjurkan perhimpunan pada malam ambang tahun baharu bagi membantah kenaikan harga barang serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Hakim Ahmad Bache menetapkan demikian bagi menentukan sama ada mahkamah tersebut mempunyai bidang kuasa dalam kes itu setelah peguam Gobind Singh Deo dan Eric Paulsen membantah pertuduhan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama terhadap ketiga-tiga anak guam mereka itu.

Bantahan itu dibuat berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 April lalu yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) akta tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan semasa membatalkan pertuduhan ke atas Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung penganjuran perhimpunan Black 505 di Stadium Kelana Jaya, tahun lalu.

Ekoran bantahan tersebut, pendakwaan terhadap Chegubard, 35, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohamed Bukhairy Mohamed Sofian, 23, dan Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Nor Reduan, 33 yang sepatutnya dibacakan hari ini di hadapan Ahmad ditangguhkan tanpa sebarang pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Gobind ketika mengemukakan bantahan itu menyatakan, pertuduhan tersebut adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan selain mendakwa pertuduhan itu adalah tidak berasas kerana seksyen berkenaan bukan lagi suatu kesalahan kerana ia tidak wujud.

Kata beliau, keputusan Mahkamah Rayuan itu tidak pernah dibatalkan oleh mana-mana mahkamah yang lebih tinggi.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim menyatakan, pihak pendakwaan telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan itu dan mahkamah tertinggi negara itu masih belum memutuskan sama ada Seksyen 9(5) APA 2012 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang menegaskan kes berkenaan melibatkan polisi dan kepentingan awam berkata, pihak pendakwaan turut memfailkan sijil perakuan segera dalam rayuan kes tersebut.

Pada 28 April lalu, Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Azman Mustapha melepas tanpa membebaskan Chegubard, Mohamed Bukhairyn dan Edy Nor daripada tuduhan berkenaan.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan yang menyifatkan Seksyen 9(5) APA 2012 sebagai tidak berperlembagaan kerana peruntukan itu di luar batas kuasa Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin perhimpunan aman.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Dataran Merdeka, Jalan Raja di sini antara pukul 9 malam, 31 Disember 2013 dan pukul 1 pagi 1 Januari lalu.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa gagal memaklumkan Ketua Polis Dang Wangi, 10 hari sebelum tarikh perhimpunan dan oleh itu, melanggar perintah mengikut Seksyen 9(1) APA 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000.

Warga Iran didakwa miliki wang palsu RM6.5j

Posted: 09 May 2014 12:00 PM PDT

KUALA LUMPUR 9 Mei - Seorang pengurup wang warga Iran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki pelbagai mata wang asing palsu berjumlah RM6.5 juta, bulan lalu.

Safari Mollasaraei Mohsen, 54, didakwa memiliki 16,332 keping AS$100 (RM5.3 juta) dan 4,277 keping 50 pound sterling (RM1.2 juta) palsu di No. 10-17-06, Golden City Condominium, Jalan Ipoh, Sentul di sini, kira-kira pukul 3 petang, 23 April lalu.

Pendakwaan terhadap tertuduh yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan didakwa memiliki status penduduk tetap Jepun itu dikemukakan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh kerana pemeriksaan rekod dengan Jabatan Imigresen mendapati lelaki itu tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini.

Peguam Rajinder Singh yang mewakili tertuduh pula memohon agar mahkamah membenarkan jaminan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh tidak dapat memperbaharui pasportnya yang tamat tempoh ketika lelaki itu berada dalam tahanan polis, baru-baru ini.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin kemudian memutuskan untuk tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan dan memerintah pihak pendakwaan mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Imigresen mengenai status tertuduh.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 19 Mei ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved