Selasa, 6 Mei 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Klip video: Teresa didakwa menghasut

Posted: 06 May 2014 12:00 PM PDT

TERESA Kok (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 6 Mei - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghasut membabitkan penerbitan satu klip video bertajuk Teresa Kok Onederful" Malaysia CNY 2014, Februari lalu.

Teresa, 50, yang hadir ke mahkamah memakai baju kurung moden berwarna merah membuat pengakuan tidak bersalah dengan hanya menjawab tidak selepas jurubahasa membaca pertuduhan berkenaan kepadanya di hadapan Hakim Norsharidah Awang.

Berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, Teresa bakal hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen sekiranya disabitkan atas pertuduhan itu dan dihukum penjara tidak kurang dari satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 serta gagal merayu sehingga ke peringkat tertinggi.

Naib Pengerusi DAP itu didakwa melakukan perbuatan itu melalui laman web http://www.youtube.com/watch?v=JtsRcld70bk di alamat 90-02-07 Apartmen Putra Ria, Jalan Bangsar di sini kira-kira pukul 9 pagi, 1 Februari lalu.

Bersama pertuduhan tersebut, disertakan Lampiran A iaitu transkrip terjemahan dalam bahasa Melayu klip video itu yang terkandung ayat-ayat yang didakwa menghasut.

Teresa Kok atau nama sebenarnya Teresa Kok Suh Sim didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan berikutnya, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan penerbitan berbaur hasutan pada milikan seseorang atau digunakan sebagai keterangan dalam perbicaraan tersebut hendaklah dilucutkan hak dan boleh dimusnahkan atau dilupuskan seperti arahan dari mahkamah.

Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad dan P. Viknesvaran mengendalikan pendakwaan manakala Teresa diwakili peguam Datuk Param Cumaraswamy, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden, Sankara Nair dan Gobind Singh Deo.

Muhamad Iskandar mencadangkan Teresa diikat jamin RM4,000 dan menegaskan jumlah itu adalah munasabah untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Param memohon mahkamah memberi jaminan bon peribadi kepada anak guamnya.

Sankara pula menyatakan, bon peribadi memadai kerana anak guamnya tidak mungkin melarikan diri malah telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

Mahkamah kemudian membenarkan Teresa diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun ini bagi pengurusan kes manakala perbicaraan kes itu akan berlangsung selama empat hari bermula 2 September ini.

Muhammad Iskandar turut memaklumkan, pihak pendakwaan dijangka mengemukakan kira-kira 15 saksi untuk memberi keterangan di mahkamah.

Berdasarkan laporan akhbar, klip video berdurasi 11 minit 39 saat itu telah disiarkan dalam Youtube sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang memaparkan Teresa selaku moderator bersama tiga tetamu undangan, mengeluarkan kenyataan menyindir pemimpin negara dalam beberapa perkara termasuk pendidikan dan keganasan di Sabah.

Berikutan penyiaran video itu banyak pihak termasuk masyarakat Cina yang tidak berpuas hati dan menyifatkan ia memaparkan keganasan halus yang secara tidak langsung boleh mempengaruhi masyarakat.

Pada 11 Februari lalu, ahli Parlimen Seputeh itu mengakui skrip video tersebut adalah hasil cetusan ideanya sendiri bersama beberapa orang rakan.

Tanpa rasa bersalah, Teresa menganggap video itu adalah salah satu sesi kelakarnya dan bertujuan menggembirakan penonton.

Meskipun dikecam Teresa enggan memohon maaf dan menganggap tindakannya itu hanya sebagai satu lawak jenaka yang menyindir isu semasa di negara ini.

Ekoran tindakannya itu, pada 20 Februari lalu, pejabat pusat khidmat Ahli Parlimen Seputeh dekat Kuchai Entreprenuers berhampiran Jalan Kuchai Lama di sini telah disimbah cat merah dipercayai ada kaitan dengan penghasilan video.

Selain cat merah, bangkai seekor ayam jantan juga ditemui di pusat khidmat tersebut.

Lebih 300 laporan polis berhubung klip video itu telah dibuat oleh pelbagai pihak sehingga 7 Februari lalu.

Sementara itu pada 12 Februari lalu, tiga pelakon klip video berkenaan iaitu pelakon wanita, Lim Ching Miau dan dua pelakon lelaki yang hanya dikenali sebagai Ah Kok dan Lim telah dipanggil oleh pihak polis untuk memberi kenyataan.

Menurut peguam Aaron Lee yang mewakili ketiga-tiga pelakon itu, anak guamnya hanya dipanggil sebagai saksi untuk membantu siasatan.

Hina Islam: Kassim mohon perbicaraan kesnya digantung dahulu

Posted: 06 May 2014 12:00 PM PDT

KASSIM Ahmad di Mahkamah Tinggi Syariah, Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA 6 Mei - Bekas aktivis politik dan sosial, Dr. Kassim Ahmad memohon agar Mahkamah Tinggi Syariah menggantung dahulu perbicaraan terhadapnya atas tuduhan menghina agama Islam, sehingga prosiding semakan kehakiman berhubung isu bidang kuasa yang difailkannya di Mahkamah Tinggi, selesai.

Kassim turut memohon agar tuduhan baharu dan tuduhan pindaan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan hari ini tidak dibacakan terhadapnya atas alasan kedua-dua tuduhan itu akan bertindih dengan prosiding sivil yang baru difailkan semalam.

Sehubungan itu, Hakim Syarie Azzeman Omar menetapkan 17 Julai ini bagi menentukan sama ada Kassim dibicarakan dahulu di Mahkamah Syariah atau perbicaraan ditangguhkan sehingga prosiding semakan kehakimannya di Mahkamah Tinggi didengar dan diputuskan.

Mahkamah menangguhkan perbicaraan hari ini dan mengarahkan pihak pembelaan memfailkan penghujahan bertulis sebelum 26 Mei ini dan pihak pendakwaan membalasnya sebelum 10 Jun depan.

Bekas aktivis berkenaan sepatutnya mula dibicarakan atas dua tuduhan iaitu menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama dalam sebuah seminar di Yayasan Kepimpinan Perdana, No. 1, Jalan PBH, Presint 8 di sini antara pukul 9 pagi dan 5 petang, 16 Februari lalu.

Yang turut hadir mengikuti prosiding, bekas Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad dan anaknya, Marina.

Ketika mahkamah bersidang, Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Ibrahim Deris memaklumkan pihaknya akan mengemukakan satu tuduhan baharu dan satu tuduhan pindaan terhadap Kassim.

Pada peringkat itu, peguam syarie, Rosli Dahlan yang mewakilinya menyatakan, pembelaan hanya dimaklumkan mengenai tuduhan-tuduhan tersebut hari ini dan memerlukan masa untuk memahaminya.

Peguam bela selanjutnya menyatakan, Kassim baru memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Jawi yang didakwa melarikannya secara salah dari tempat tinggal di Kulim, Kedah ke sini.

Rosli berhujah, permohonan itu yang difailkan semalam antara lain menyentuh isu Perlembagaan iaitu bidang kuasa jabatan agama itu yang didakwa melanggar undang-undang kerana tertuduh bermastautin di Kedah dan tertakluk kepada undang-undang syariah negeri tersebut.

Menurut Rosli, beliau turut memohon agar perbicaraan di Mahkamah TinggiSyariah digantung dahulu agar tidak berlaku pertembungan undang-undang dan pertindihan dengan prosiding di mahkamah sivil.

Bagaimanapun, Ibrahim mempertikaikan kesahihan dokumen berhubung permohonan semakan itu yang baru diterimanya kerana tidak lengkap dan tidak ditandatangani serta tidak mempunyai nombor daftar kes.

Ketika dihadapkan ke mahkamah pada 27 Mac lalu, Kassim, 81, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang didakwa dilakukan dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menghina agama Islam ketika membentangkan satu skrip ucapan yang bertajuk Ucapan Kepada Konferensi Politik Nasional Untuk Menentukan Hala Tuju Malaysia Untuk 30 tahun Akan Datang dengan mengatakan Nabi Muhammad tidak perlu dimuliakan dan rambut wanita bukan aurat.

Pada masa sama, Kassim turut didakwa mengingkari pihak berkuasa agama dengan memetik dua buku tulisannya yang telah diharamkan oleh Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan iaitu Hadis Suatu Penilaian Semula dan Hadis Jawapan Kepada Pengkritik.

Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 7(B) dan pertuduhan kedua, Seksyen 9, masing-masing di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Kassim yang mencetuskan kontroversi berhubung kenyataannya berunsur anti hadis baru-baru ini, ditahan penguat kuasa Jawi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di rumahnya, di Taman Kulim Perdana, Kelab Golf Kulim, Kedah pada 26 Mac lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved