Ahad, 25 Mei 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Bekas Timbalan Pengarah JKR, isteri didenda miliki loji rawatan kumbahan haram

Posted: 25 May 2014 12:50 PM PDT

KUALA TERENGGANU 25 Mei - Seorang pengusaha resort di Besut, Ir. Ghazali Hashim, 61, mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengendali dan memiliki sistem loji rawatan kumbahan persendirian tanpa lesen di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Pertuduhan ke atas bekas Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, itu dibuat selepas pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjalankan pemeriksaan audit dan penguatkuasaan terhadap sistem pembetungan persendirian di Demong Beach Resort, Pengkalan Nyireh, Besut pada 6 Jun 2011.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh bersama anak lelakinya, Mohd. Izudin Ghazali, 30, didakwa mengusahakan, menyediakan dan/atau mengadakan perkhidmatan pembentungan dan/atau sebahagian daripada perkhidmatan itu.

Ia dilakukan dengan cara mengendalikan satu sistem loji rawatan kumbahan persendirian tanpa memiliki lesen kelas sepertimana yang dikehendaki di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Untuk itu, kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 20 (1)(b) Akta 655 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 20 (4) akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar denda sebanyak RM9,000 tiap seorang dan akan mengenakan hukuman penjara selama dua bulan jika denda itu gagal dibayar.

Ghazali bersetuju untuk membayar denda tersebut, manakala anaknya yang tidak dapat hadir ke mahkamah atas alasan berada di luar kawasan pula dikehendaki berbuat demikian pada 25 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama isterinya, Ramlah Faridah, 58, didakwa memiliki satu sistem loji kumbahan persendirian di resort yang sama pada hari yang sama pemeriksaan dilakukan oleh pihak SPAN.

Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 20 (1)(a) Akta 655 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 20 (4) akta yang sama iaitu membawa kepada denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pasangan tersebut yang mengaku bersalah kemudian bersetuju untuk membayar denda sebanyak RM8,000 tiap seorang bagi mengelak daripada menjalani hukuman penjara selama dua bulan.

Kes dikendalikan pegawai pendakwa, S. Thilaga, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Difahamkan, kes tersebut merupakan yang pertama melibatkan SPAN di negeri ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved