Khamis, 15 Mei 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Mengaku tidak bersalah

Posted: 15 May 2014 12:08 PM PDT

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my

Ag. Ku Mohd. Shaifful Ampuan Ag. Damit (tengah) keluar di Mahkamah Khas Rasuah di Kota Kinabalu, Sabah, semalam. - UTUSAN/Azrul Edham Mohd. Aminuddin

KOTA KINABALU 15 Mei - Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM12,371, dua tahun lalu.

Ag. Ku Mohd. Shaifful Ampuan Ag. Damit, 42, yang didakwa melakukan kesalahan itu semasa bertugas sebagai Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Imigresen Malaysia Sabah di sini, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang suapan RM2,000 daripada Kent Ng Thien Ming sebagai dorongan untuk tidak mengenakan tindakan terhadapnya kerana membenarkan pekerja-pekerja warga asing yang tidak memiliki permit kerja yang sah bekerja di City Kopitiam di sini.

Ag. Ku Mohd. Shaifful Ampuan yang kini digantung tugas didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 2 petang, 11 September 2012 di pejabat Jabatan Imigresen di sini.

Pertuduhan kedua pula menyebut tertuduh didakwa menerima wang suapan RM10,000 daripada Thien Ming pada 16 Oktober 2012, antara pukul 12 tengah hari dan 1 petang di tempat sama bagi tujuan yang sama.

Bagi tuduhan ketiga, tertuduh antara pukul 12 tengah hari dan 1 petang, 16 Oktober 2012 di tempat yang sama didakwa bersetuju menerima suapan berbentuk sebuah akuarium berukuran 0.305 meter bernilai RM371 daripada Thien Ming.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Tertuduh turut menghadapi tiga pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan, masa, tarikh dan tempat yang sama.

Di bawah seksyen tersebut, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Joyce Blasius manakala tertuduh diwakili peguam Ram Singh.

Hakim Ishak Bakri membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan sementara menunggu pengurusan kes pada 16 Jun ini.

Rasuah: Pengurus stesen minyak dijel, denda

Posted: 15 May 2014 12:08 PM PDT

Alexander Chee Nyuk Ping (kiri) keluar dari Mahkamah Khas Rasuah di Kota Kinabalu, Sabah, semalam. - UTUSAN/Azrul Edham Mohd Aminuddin

KOTA KINABALU 15 Mei - Seorang pengurus sebuah stesen minyak dihukum penjara sehari dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini setelah mengaku bersalah memberi rasuah RM7,000 kepada seorang penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), tahun lalu.

Alexander Chee Nyuk Ping, 51, mengaku memberi suapan wang itu kepada Penolong Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK, Awang Zaini Awang Shamsuddin supaya tidak dikenakan tindakan terhadapnya kerana menjual diesel bersubsidi melebihi 2,000 liter kepada sebuah kenderaan bernombor pendaftaran SU 4398 B.

Kesalahan tersebut dilakukan tertuduh kira-kira pukul 7.30 malam, 25 Februari tahun lalu di bilik pejabat Stesen Minyak Shell Avalon Filling, Jalan Penampang-Tambunan, di sini.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Barang Kawalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Joyce Blasius manakala tertuduh diwakili peguam Ram Singh.

Terdahulu, Joyce memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap Nyuk Ping sebagai pengajaran kepada orang ramai, tambahan pula pada masa ini berlaku banyak kes penyelewengan diesel bersubsidi yang secara langsung boleh menjejaskan ekonomi negara.

Sementara itu, Ram menyatakan, anak guamnya amat menyesali perbuatan itu dan berjanji tidak akan sesekali mengulanginya.

Ini adalah kesalahan pertamanya, malah pengakuan bersalah ini turut menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Sebenarnya dalam kes ini pihak berkuasa tidak mengalami kerugian kerana kenderaan yang mengisi diesel itu telah ditemukan dan minyak bersubsidi itu telah dirampas semula," katanya.

Hakim Ishak Bakri yang menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan Nyuk Ping dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda sementara wang suapan RM7,000 itu dilucutkan hak dan diserahkan kepada kerajaan

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved