Isnin, 5 Mei 2014

Utusan Online - Luar Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Kekeliruan pemilihan PM Libya

Posted: 05 May 2014 12:18 PM PDT

SESI pengundian memilih Perdana Menteri Libya, disiarkan secara langsung di bangunan Kongres Kebangsaan Umum di Tripoli, kelmarin. - AFP

TRIPOLI 5 Mei - Kongres Kebangsaan Umum (GNC) Libya hari ini mengesahkan pelantikan Ahmed Miitig sebagai Perdana Menteri sementara baharu negara ini selepas berlaku kekeliruan berhubung pemilihannya di Parlimen, semalam.

Agensi berita Libya, Lana melaporkan, GNC menerbitkan resolusi rasmi berhubung pelantikan Ahmed Miitig dan memberi tempoh 15 hari kepada ahli perniagaan itu untuk memilih barisan Kabinetnya sendiri.

Perkara itu ditandatangani oleh Speaker Parlimen, Nuri Abu Sahmein sekali gus menjadikan Ahmed Miitig sebagai Perdana Menteri kelima dan termuda dalam sejarah Libya sejak bekas Presiden, Muammar Gaddafi digulingkan pada 2011.

Langkah itu menyusul selepas berlaku pertikaian tentang kesahihan prosedur pemilihan Perdana Menteri yang menyaksikan Ahmed Miitig mengangkat sumpah untuk jawatan itu, petang semalam.

Ahli perniagaan berumur 42 tahun itu menerima undi percaya sebanyak 121 daripada 200 Ahli Parlimen selepas satu persidangan yang panjang hingga menyaksikan pemangku Presiden kongres, Ezzedin Al-Awami menyifatkan beberapa undi memihak kepada Ahmed Miitig tidak sah kerana dibuat selepas sidang ditutup.

Terdahulu, Parlimen Libya menolak kemenangan Ahmed Miitig sebagai Perdana Menteri baharu negara ini, hanya beberapa jam selepas beliau diumumkan memegang jawatan tersebut.

Ezzedin berkata, tindakan itu dibuat selepas Ahmed Miitig gagal memperolehi jumlah undi yang cukup.

Satu kenyataan yang dimuat naik di laman web Parlimen menyatakan, Ahmed Miitig hanya mendapat 113 undi daripada Ahli-Ahli Parlimen, kurang lagi tujuh undi untuk mencukupkan 120 undi bagi diumumkan sebagai Perdana Menteri baharu Libya.

Dalam kenyataan kedua yang disiarkan di laman web sama, Ezzedin berkata, pemilihan itu tidak sah dan menyalahi undang-undang.

Beliau kemudiannya mengarahkan Perdana Menteri sebelum ini, Abdullah al-Thinni yang meletak jawatan tiga minggu lalu supaya menyambung tempoh pemerintahan.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker Parlimen II, Saleh al-Makhzoun menyatakan Ahmed Miitig sebenarnya mendapat 121 undi selepas pengiraan semula menewaskan pencabarnya, Omar al-Hassi yang merupakan seorang pensyarah universiti.

"Ahmed Miitig secara rasmi merupakan Perdana Menteri yang baharu," kata Saleh diikuti oleh teriakan beberapa ahli politik yang membantah pelantikan ahli perniagaan tersebut.

Abdullah meletak jawatan pada 13 April lalu atas alasan keselamatan ekoran satu serangan militia yang menyasarkan diri serta keluarganya. - DPA/AFP/REUTERS

Utara Thailand digegar gempa bumi kuat

Posted: 05 May 2014 12:18 PM PDT

Gempa bumi kuat yang melanda utara Thailand, turut mengakibatkan jalan raya merekah di daerah Phan, wilayah Chiang Rai, semalam. - AGENSI

BANGKOK 5 Mei - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala Richter, menggegar bahagian utara Thailand petang ini, mengakibatkan penduduk yang panik bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Gegaran yang tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa itu turut menyebabkan bangunan-bangunan retak, tingkap pecah dan jalan merekah serta mendap.

Keadaan turut kelam-kabut di Lapangan Terbang Antarabangsa Mae Fah Luang di Chiang Rai sehingga memaksa terminal dikosongkan, namun tiada sebarang kerosakan dikesan di landasan kapal terbang, kata Pengurus Besarnya, Damrong Klongakara.

Kuil pelancongan terkenal Buddha, Wat Rongkhun, turut ditutup sementara atas alasan keselamatan, sementara di daerah Phan, Chiang Rai, gegaran kuat menyebabkan jalan raya merekah sebesar saiz tiga buah kereta.

Menurut Jabatan Meteorologi Thailand, pusat gempa bumi itu terletak kira-kira sembilan kilometer di selatan Mae Lao dan 27 kilometer di barat daya Chiang Rai pada kedalaman 7.4 kilometer.

Gegaran turut dirasai sehingga ke Yangon, Myanmar, wilayah Chiang Mai juga di utara Thailand serta Bangkok.

Thailand jarang digegar gempa bumi dengan gegaran terakhir sebelum ini berlaku pada 13 Disember 2006 di Chiang Mai dengan magnitud 5.1 pada skala Richter. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved