Sabtu, 24 Mei 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Kontraktor perlu lebih bertanggungjawab

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 23 Mei - Kesemua konktraktor pembinaan yang dilantik bagi melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diingatkan agar sentiasa memenuhi syarat-syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan itu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, ini termasuk mengutamakan kualiti dalam pembinaan kemudahan di ibu kota.

Menurutnya, langkah itu juga sebagai satu usaha melahirkan kontraktor yang bertanggungjawab dan berwibawa.

"Penekanan ini diberikan kepada semua kontraktor seiring hasrat DBKL untuk memberi perkhidmatan terbaik demi keselesaan dan kesejahteraan setiap warganya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Wilayah Persekutuan (PKMMWP) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden PKMMWP, Datuk Mokhtar Samad dan Penasihat Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Tambahnya, kualiti kerja oleh pihak kontraktor merupakan aspek penting dalam penilaian DBKL bagi pemberian sesuatu tender yang ditawarkan dan jika tidak mencapai matlamat ia akan mencalarkan imej pihak berkuasa tempatan itu.

Beliau berkata, DBKL juga bercadang memperluaskan penyertaan kontraktor yang memerlukan bimbingan dan bantuan, terutama dalam kalangan kontraktor bumiputra.

"Jika ada kontraktor mempunyai masalah mengenai projek diberikan, DBKL sentiasa terbuka dan sedia berbincang mengenainya," katanya.

Menurut Ahmad Phesal, setiap tahun DBKL memperuntukkan lebih RM100 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan yang disalurkan kepada kontraktor.

"Dalam pemberian tender kepada kontraktor, DBKL sentiasa telus dan adil.

"Tiada istilah kroni, sebaliknya kontraktor dipilih adalah berdasarkan kelayakan dan pengalaman," katanya.

Tambahnya, perhatian juga akan diberikan kepada kontraktor kelas F dan akan meneliti penambahan kerja-kerja yang bersesuaian.

"Buat masa sekarang, DBKL sedang berunding dan memuktamadkan beberapa projek penting di ibu kota.

"Antaranya, projek Pasar Malam Danau Kota yang akan dipindahkan ke lokasi baharu, projek perumahan di Wira Kota serta bangunan-bangunan awam," katanya.

3,500 peserta sertai Cabaran Towerton Menara KL

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

PEMENANG Cabaran Towerton Antarabangsa Menara Kuala Lumpur 2014 bersama hadiah masing-masing di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 23 Mei - Seramai 3,500 peserta menyertai acara berprestij, Cabaran Towerton Antarabangsa Menara Kuala Lumpur 2014 di sini, baru-baru ini sekali gus melebihi sasaran awal iaitu 3,200 peserta.

Menara Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memberitahu, sejak penganjuran kali pertama pada 1998, acara itu telah menerima begitu ba

nyak penyertaan daripada pelari maraton tempatan dan antarabangsa yang ingin mencabar kemampuan fizikal dan mental dalam menawan menara tersebut.

"Pada tahun ini menyaksikan peningkatan peserta dari luar negara iaitu seramai 220 daripada 18 buah negara.

"Selain Kenya dan Azerbaijan turut menyertai acara ini Brunei, Australia dan China," kata kenyataan itu.

Bagi Kategori Lelaki Terbuka, gelaran juara dirangkul oleh Darren Wilson dari Australia dengan masa 12 minit 23 saat.

Manakala bagi Kategori Wanita Terbuka pula diraih oleh Carolyn Jepkosgei Chepkwony dari Kenya dengan masa 16 minit 53 saat.

Pelepasan dan penyampaian hadiah kepada peserta disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zuraidah Mohd. Said.

Dalam cabaran itu, peserta berlari menaiki bukit sejauh 800 meter iaitu titik permulaan di tapak Park Safe yang terletak bertentangan dengan The Weld dan meneruskan larian dengan mendaki 2,058 anak tangga untuk sampai ke garisan penamat di Mega View Banquet Hall.

JKM akan selia keluarga bekas gelandangan

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

KUALA LUMPUR 23 Mei - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu keluarga gelandangan yang sebelum ini tinggal di bawah jambatan konkrit di Lebuh Pasar Besar berhampiran Pasar Seni di sini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Norani Mohd. Hashim berkata, bantuan sebanyak RM400 sebulan juga akan disalurkan kepada keluarga berkenaan.

Jelasnya, pada masa sama pihaknya juga akan membuat penyeliaan ke atas kanak-kanak itu dari segi penjagaan oleh ibu bapa mereka termasuk persekolahan.

"JKM juga akan membantu anak sulung pasangan tersebut untuk mendaftar kad orang kurang upaya (OKU).

"Hasil siasatan yang dibuat oleh pegawai pelindung mendapati, pada peringkat awal ibu bapa mereka tidak mahu memberi kerjasama bagi mana-mana pihak mengambil anak-anaknya sama ada bagi tujuan mendapat perlindungan atau penempatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia pada Isnin lalu berhubung sebuah keluarga gelandangan yang tinggal di bawah jambatan sejak Jun tahun lalu.

Susulan itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tanggungjawab menguruskan pemindahan keluarga tersebut di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang, Setapak.

Menurut Norani, pegawai pelindung turut dimaklumkan oleh pasangan itu mereka tidak lagi mahu bergelandangan setelah mendiami rumah berkenaan.

"Setelah mendapat penempatan, keempat-empat kanak-kanak itu kini berada dalam keadaan selamat," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved