Khamis, 22 Mei 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Zalim jika rampas tanpa ganti rugi

Posted: 21 May 2014 12:55 PM PDT

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my

NOH Omar (kiri) menyampaikan sijil pelantikan kepada salah seorang wakil sekolah pada program Gabungan Sarana Pendidikan Parlimen Tanjung Karang, Selangor, semalam - UTUSAN/Fadzrul Afif Ashraf

TANJUNG KARANG 21 Mei - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dianggap zalim sekiranya tidak memberi sebarang pampasan atau ganti rugi kepada mana-mana pihak yang diambil tanah mereka.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar berkata, meskipun dari segi perundangan kerajaan negeri berhak mengambil semula tanah miliknya daripada rakyat, mereka sepatutnya mempunyai sikap perikemanusiaan.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak wajar sewenang-wenangnya menindas rakyat.

"Ini bezanya antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan PKR Selangor. BN turun padang berbincang dengan rakyat untuk menangani sebarang masalah.

"Sebaliknya, PKR ambil tindakan mudah, tampal notis arah rakyat keluar dari tanah mereka. Ini namanya kerajaan pokok," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Gabungan Sarana Pendidikan Parlimen Tanjung Karang di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas nasib 341 pekebun kecil yang mengusahakan tanaman kelapa sawit di Kampung Seri Makmur, Bestari Jaya di sini sejak lebih 40 tahun lalu apabila kerajaan PKR Selangor mahu mengambil-alih tanah mereka pada bila-bila masa.

Notis arahan pengosongan ladang masing-masing daripada Penolong Pegawai Daerah (Penguatkuasaan) Kuala Selangor bertarikh 10 April 2014 telah diterima dan mereka diminta berbuat demikian dalam masa 30 hari dan tempoh itu telah berakhir 10 hari lalu.

Lebih mengecewakan para pekebun tersebut yang kebanyakannya pesara, notis berkenaan tidak diserahkan kepada mereka dengan sempurna sebaliknya hanya ditampal pada pokok kelapa sawit.

Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor menambah, pihaknya akan menyediakan khidmat guaman kepada pekebun kecil terbabit bagi menuntut ganti rugi daripada kerajaan negeri.

"Kita juga mahu pastikan adakah tindakan kerajaan negeri sedemikian telah menyalahgunakan kuasa," ujarnya.

Ambil alih tiga konsesi air dalam tiga bulan - MB

Posted: 21 May 2014 12:55 PM PDT

SHAH ALAM 21 Mei - Selangor menjangkakan dapat menyelesaikan proses pengambilalihan tiga syarikat konsesi perkhidmatan air di negeri ini dalam tempoh enam bulan berkuat kuasa hari ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu, jangkaan itu dibuat susulan langkah pihaknya menyediakan pelan tindakan bagi memastikan proses penstrukturan dapat diselesaikan secepat mungkin selepas tiga syarikat konsesi di negeri ini bersetuju dengan rancangan pengambilalihan berkenaan.

Menurutnya, tiga syarikat konsesi terbabit yang telah bersetuju dengan usaha pengambilalihan itu ialah Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd. (ABASS).

"Pelan tindakan pengambilalihan telah dikemukakan kerajaan negeri kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili menerusi satu surat bertarikh pada 21 Mei 2014.

"Mengikut pelan itu, kita menyasarkan proses tersebut akan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga atau enam bulan.

"Kerajaan negeri yakin sasaran penyelesaian itu akan dicapai berdasarkan perbincangan intensif yang sedang giat diadakan oleh pihak-pihak yang terlibat iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad, PNHB dan Syabas.

"Perbincangan itu termasuklah melibatkan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Pengurusan Aset Air Berhad serta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air selaku pemudah cara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Abdul Khalid sebelum ini mengesahkan tiga syarikat konsesi berkenaan telah bersetuju dengan tawaran kerajaan negeri untuk mengambil-alih ekuiti, aset dan liabiliti bagi tujuan penstrukturan semula industri air Selangor daripada jumlah keseluruhan tawaran sebanyak RM9.65 bilion.

Menurut Abdul Khalid, berdasarkan persetujuan itu, PNHB menerusi anak syarikatnya Puncak Niaga Sdn. Bhd. akan menerima tawaran kerajaan negeri sebanyak RM2.47 bilion diikuti Syabas sebanyak RM3.11 bilion manakala ABASS menerima tawaran sebanyak RM990 juta.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kedudukan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash) yang menolak tawaran kerajaan negeri, Abdul Khalid berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam peringkat kedua pengambilalihan yang akan melibatkan kementerian, kerajaan negeri dan syarikat konsesi berkenaan.

"Bagaimanapun, kita tetap mengekalkan tawaran pengambilalihan Splash (RM2.975 bilion). Kalau tidak, ia tidak adil kepada syarikat-syarikat konsesi lain yang telah bersetuju sebelum ini.

"Bagaimanapun, pengambilalihan syarikat konsesi itu tetap akan dilakukan termasuk menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) sama ada di bawah Seksyen 114 atau Seksyen 191.

"Mengikut Seksyen 191 WSIA, ia melibatkan pengambilalihan aset oleh kerajaan negeri, tetapi mereka (Splash) masih terus beroperasi," ujarnya.

Lif rosak hampir setiap minggu

Posted: 21 May 2014 12:55 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
pengarang@utusan.com.my

PENDUDUK terpaksa menggunakan hanya satu lif ekoran dua lagi lif mengalami kerosakan di PPR Raya Permai, Sungai Besi, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/JEFFRI IRAN

KUALA LUMPUR 21 Mei - Bayangkan anda yang kepenatan selepas seharian bekerja terpaksa menaiki tangga untuk ke kediaman yang terletak di tingkat atas. Semuanya gara-gara kemudahan lif di perumahan yang didiami kerap rosak.

Masalah akan menjadi lebih parah apabila berlaku kes kecemasan melibatkan penghuni uzur, kematian, kebakaran, gangguan bekalan air dan sebagainya.

Bagaimanapun, itulah senario yang kerap menghimpit penduduk di Blok B, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai di Sungai Besi dekat sini.

Tinjauan Utusan Malaysia ke perumahan itu mendapati, hanya sebuah daripada tiga lif di PPR tersebut yang berfungsi dan boleh digunakan oleh penduduk.

Penduduk mendakwa, masalah itu berlaku pada setiap minggu dan ia bukan lagi sesuatu yang baharu dan luar biasa.

Umpama pepatah alah bisa, tegal biasa. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa berasak-asak untuk menaiki lif dan bimbang sekiranya ketinggalan untuk naik ke rumah masing-masing.

Berdasarkan pengalaman penulis yang menggunakan lif tersebut, ternyata masalah kerosakan disebabkan kegiatan vandaslisme serta sikap lepas tangan pengurusan bangunan dan pihak berwajib.

Lebih parah, penduduk mendakwa, terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab membawa masuk motosikal mereka ke dalam lif untuk naik ke tingkat atas.

Dakwa penduduk, pelbagai aduan telah dibuat kepada pihak berwajib namun masalah tersebut berulang semula, seolah-olah tiada penyelesaiannya.

Bagi mereka senario, lif rosak dan dibaik pulih sebelum rosak semula sudah kerap menjadi tontonan.

Lebih menggusarkan penduduk, selain masalah lif rosak, kejadian jenayah turut menghantui mereka. Selain masalah pecah rumah, kecurian motosikal kerap berlaku di perumahan 17 tingkat ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved