Jumaat, 2 Mei 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Percepat proses pelaksanaan

Posted: 01 May 2014 11:51 AM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Phesal Talib (dua, kiri) mengambil kesempatan membuat panggilan menggunakan talian Hotline yang disambungkan kepada pengawal keselamatan selepas merasmikan Sistem Kawalan Keselamatan dan Gotong-Royong Bandar Tasik Selatan Fasa 2 di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN

KUALA LUMPUR 1 Mei - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang mengendalikan pengurusan projek-projek kecil secara lantikan terus tanpa menggunakan khidmat perunding luar bermula Jun depan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, langkah ini bagi mempercepatkan proses pelaksanaan projek tanpa perlu menunggu masa yang terlalu lama berbanding sebelum ini.

Menurutnya, dalam mesyuarat pengurusan bersama ketua-ketua jabatan yang lalu, beberapa projek yang boleh dilaksanakan secara terus melalui jurutera dalaman telah diputuskan.

"Jabatan Kerja Raya (JKR)menjadi contoh kepada pihak DBKL apabila jurutera yang mewakili agensi itu menandatangani dokumen penting bagi pihak JKR untuk melaksanakan projek.

"Cara itulah yang kita cuba praktikkan dan DBKL tidak perlu lagi melantik perunding luar bagi projek-projek kecil yang mempunyai nilai tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Sistem Kawalan Keselamatan dan Gotong-Royong Bandar Tasik Selatan Fasa 2 di Jalan Tasik Selatan 22 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar dan Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Tasik Selatan Fasa 2, Hamzah Abd. Wahab dan Ketua Biro Keselamatan persatuan penduduk, Abd. Razak Mohd. Taha.

Sementara itu, Abd. Razak berkata, sebanyak 14 buah sistem kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di taman berkenaan.

Katanya, pemasangan CCTV merupakan sebahagian usaha pembangunan bagi Fasa 1 di taman berkenaan, selain pembinaan pondok pengawal dan pintu halangan automatik.

"Bagi Fasa 2, kami bercadang membina pagar di sekeliling taman bagi keselesaan penduduk dan mengurangkan risiko jenayah," katanya.

Tambahnya lagi, penduduk di taman tersebut juga boleh menghubungi talian Hotline yang akan disambungkan secara terus kepada pengawal keselamatan.

Menurutnya, kesemua peralatan kelengkapan keselamatan di taman itu disediakan atas sumbangan penduduk, selain daripada Yayasan Kesejahteraan Bandar Wilayah Persekutuan.

Harap tidak berulang

Posted: 01 May 2014 11:51 AM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 1 Mei - Rata-rata pengguna yang terlibat dalam pelan catuan bekalan air sejak lebih dua bulan lalu menarik nafas lega dan berpuas hati dengan air yang disalurkan ke rumah mereka bermula hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi terlibat dengan catuan itu mendapati bekalan air pulih seperti biasa.

Hasil pemerhatian mendapati masing-masing menikmatinya dengan cara tersendiri. Wajah-wajah yang dilihat sebelum ini murung, bertukar ceria selepas kerajaan negeri Selangor mengumunkan penarikan semula catuan semalam.

Bagaimanapun, disebalik kelegaan mereka berharap krisis air tidak berulang.

Seorang pegawai peribadi di syarikat swasta, Kong Foo Weng, 52, berkata, bekalan air di rumahnya pada hari ini kembali pulih seperti biasa.

Katanya, setakat ini tiada sebarang masalah dihadapi dia dan ahli keluarganya yang lain.

"Penarikan semula catuan air ini benar-benar kami nantikan.

"Rumah saya merupakan antara kawasan yang terlibat dengan catuan bekalan air peringkat keempat. Sepanjang tempoh itu ia amat menyeksakan," katanya.

Lee Youn Wooi, 37, pula berharap tidak ada lagi catuan air dilaksanakan selepas ini.

Dia mengakui sepanjang tempoh catuan dilaksanakan kehidupan hariannya agak terjejas.

"Saya berharap semua pihak mengambil iktibar daripada krisis ini . Apa yang diharapkan ia tidak akan berulang,"katanya.

Turut berkongsi perasaan, Mohd. Saiful Ismail, 35,.

Katanya, tempoh bekalan air dicatu di kawasan perumahannya memberi pengalaman berguna kepada diri dan ahli keluarganya yang lain.

"Kami berharap ia tidak akan berulang, namun jika ia berlaku lagi kami sudah bersedia," katanya.

Sementara itu seorang guru, Lazidah Md. Salleh, 45, meletakkan azam untuk terus berjimat cermat dalam penggunaan air dalam urusan hariannya selepas ini.

Katanya, banyak wang terpaksa dikeluarkan sepanjang tempoh catuan dilaksanakan termasuk membeli alat penapis air.

"Apabila bekalan disalurkan semula, air keruh. Keadaan ini memaksa saya membeli peralatan itu dan berharap ia tidak berulang lagi,"katanya.

Berbeza pula dengan seorang suri rumah, V. Pathma Devi, 33.

Katanya, memandangkan kawasan perumahannya tidak terlibat dalam catuan, rumahnya sering menjadi tumpuan saudara mara untuk mendapatkan air.

"Sepanjang tempoh itu pelbagai gelagat dan ragam saudara mara dapat dilihat, namun amat menarik kerana ia mengeratkan lagi hubungan persaudaraan sesama kami,"katanya.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, catuan air yang dilaksanakan sejak Februari lalu akan dihentikan secara serentak bermula hari ini atau selewat-lewatnya Jumaat ini bergantung kepada kawasan.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd (Syabas), Priscilla Alfred berkata, pihaknya akan menyalurkan air kepada semua pengguna secara beperingkat bermula hari ini.

DBKL diminta naik taraf sistem perparitan Jalan Ikan Emas

Posted: 01 May 2014 11:51 AM PDT

CHEW Yin Keen (tengah) meninjau kerja-kerja pembersihan longkang oleh kontraktor Alam Flora di Jalan Ikan Emas, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Mei- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa segera menaik taraf sistem perparitan di Jalan Ikan Emas, Bandar Tun Razak dekat sini, ekoran masalah longkang tersumbat yang sekali gus mengakibatkan wabak denggi dan banjir kilat.

Pengerusi MCA Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Chew Yin Keen berkata, masalah yang membelenggu penduduk sekitar sejak sekian lama itu terus membimbangkan berikutan tiada kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan sehingga ke hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja naik taraf sistem perparitan di situ amat diperlukan bagi memastikan kelancaran aliran air ke Sungai Kerayong.

"Kegagalan pihak bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan menyebabkan empat kes denggi dikesan berlaku di kawasan ini.

" Keadaan ini benar-benar membimbangkan penduduk," katanya ketika ditemui semasa meninjau masalah berkenaan di Pasar Taman Ikan Emas, Bandar Tun Razak di sini.

Tambahnya, cadangan mengenai kerja-kerja naik taraf sistem perparitan di situ telah dikemukakan kepada DBKL sebelum ini.

"Saya berharap DBKL dapat mengotakan janji untuk mengatasi masalah itu dengan segera,"tambahnya.

Terdahulu, sebanyak tiga jentera Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) digunakan bagi kerja-kerja pembersihan longkang di kawasan itu.

Menurut Chew, kerja-kerja pembersihan longkang sepanjang kira-kira 100 meter itu telah dimulakan sejak semalam dan mengambil masa seminggu untuk selesai.

"Saya difahamkan longkang di kawasan perumahan ini kali terakhir diselenggara oleh DBKL kira-kira dua tahun lalu.

"Keadaan ini menyebabkan longkang dipenuhi sampah sarap dan setiap kali hujan lebat, air melimpah keluar.

"Air longkang yang melimpah bersama sampah sarap sekaligus menyebabkan banjir kilat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran DBKL, Tan Keng Chok berkata, kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di situ akan dimulakan dalam tempoh seminggu.

"Saya telah meminta jurutera kami ke lokasi tersebut hari ini untuk mengenal pasti punca masalah berkenaan selain melihat kos yang perlu diperuntukkan bagi kerja-kerja terbabit," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Katanya, pihak DBKL juga sentiasa melakukan pemantauan terhadap sistem perparitan di kawasan pentadbirannya secara berkala.

"Ia dilakukan menerusi pasukan pemantau yang ditubuhkan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved