Rabu, 14 Mei 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


22 tahun menanti kediaman baharu

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

DUA orang kanak-kanak melihat keadaan dewan serba guna yang sudah uzur dan tidak lagi digunakan oleh penduduk di rumah panjang Jinjang Utara, Kepong, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 13 Mei - Lebih 1,000 penduduk di tiga buah rumah panjang di Jinjang Utara, Kepong di sini masih menunggu kediaman baharu yang dijanjikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak hampir 22 tahun lalu.

Sebelum ini, mereka ditempatkan buat sementara waktu di rumah panjang itu selepas dipindahkan dari kawasan landasan kereta api di Segambut, Sentul, Pudu, Sungai Besi dan Kepong pada tahun 1990 untuk memberi laluan kepada pembinaan lebuh raya dan beberapa projek lain.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit mendapati, rumah panjang tersebut kini sudah uzur dan tidak terurus selain berdepan masalah sistem perparitan dan terletak berdekatan dengan tapak pembuangan sampah haram.

Beberapa buah rumah turut menjadi mangsa vandalisme manakala beberapa strukturnya seperti atap dan besi paip dipercayai dicuri.

Selain itu, perumahan tersebut kekurangan kemudahan untuk penduduk mengadakan aktiviti kemasyarakatan dan satu-satunya dewan serba guna di situ turut terbiar dan uzur.

Rata-rata penduduk masih bingung, tertanya-tanya dan kecewa dengan janji yang dibuat sebelum ini untuk memindahkan mereka ke kediaman baharu.

Walaupun sudah puluhan tahun menanti, mereka masih berharap dapat mendiami rumah baharu dengan kemudahan asas yang lebih baik serta dapat menampung jumlah ahli keluarga yang kian bertambah.

Wakil penduduk, M. Arumugam, 52, berkata, masalah tersebut pernah diadukan kepada empat Datuk Bandar Kuala Lumpur sebelum ini, namun impian untuk mendapat kediaman baharu masih belum tertunai.

Sebaliknya, katanya, penduduk terpaksa bersabar dan terus tinggal dalam keadaan kurang selesa di rumah panjang itu.

Kami tidak akan berputus asa dalam menuntut hak untuk dipindahkan ke penempatan baharu yang dijanjikan kerana kami benar-benar mahu menikmati kehidupan lebih baik selepas sekian lama menanti," jelasnya.

Katanya, ketika dipindahkan ke kawasan itu, pihak DBKL telah berjanji kepada penduduk bahawa mereka akan tinggal antara enam bulan hingga dua tahun di rumah panjang itu sebelum berpindah ke rumah yang disediakan.

Kami mahukan kediaman sendiri. Bayangkan dalam tempoh 20 tahun, kami terpaksa membayar sewa rumah panjang ini.

Jika membeli rumah, sudah tentu bayarannya sudah habis dijelaskan," katanya ditemui ketika lawatan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan, Datuk A Chandrakumanan ke kawasan tersebut di sini baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, penduduk juga menyerahkan memorandum kepada Chandrakumanan yang menuntut penjelasan mengenai nasib mereka.

Dalam pada itu, Arumugam turut mempersoalkan projek pembinaan perumahan berhampiran kediaman mereka dan meminta penjelasan sama ada ia adalah untuk dijual kepada mereka.

Jika ia dibina untuk kami sudah tentu kami berharap pihak DBKL dapat memberi tawaran harga istimewa dengan kadar yang lebih rendah.

Kami tidak mengharapkan pampasan, cukuplah jika diberikan harga istimewa untuk warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal untuk membeli rumah itu.

Selain itu, kami juga ingin tahu cara penyelesaian bagi penduduk yang tidak menyelesaikan bil-bil sewa, air dan elektrik di rumah panjang ini," katanya.

Menurutnya, masalah itu timbul kerana sebelum ini penduduk sepatutnya berpindah selepas dua tahun namun masih menjadi penghuni kekal di rumah panjang itu.

Perbincangan dengan penghuni minggu depan

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

A. CHANDRAKUMANAN (tiga dari kiri) mendengar masalah penduduk rumah panjang di Jinjang Utara, Kepong, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 13 Mei - Satu pertemuan antara wakil setiap rumah panjang di Jinjang Utara, Kepong dengan pihak berkuasa akan diatur bagi menyelesaikan masalah kediaman tersebut.

Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan, Datuk A Chandrakumanan berkata, luahan dan aduan penduduk perlu dibawa ke pengetahuan pihak berkuasa supaya masalah mereka dapat diatasi.

Kita berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan dijangkakan perbincangan antara penduduk akan diadakan pada minggu hadapan," katanya ketika melawat rumah panjang tersebut di Kepong di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang penduduk, Juliana Anthony Samy, 47, berkata, keadaan rumah yang agak daif menyebabkan dia mahu ibunya segera berpindah.

Katanya, sepanjang tinggal di situ pelbagai masalah dihadapi termasuk kecurian, selain rumah sering dimasuki binatang berbisa seperti ular.

Saya juga hairan dengan bil air dan elektrik yang melambung tinggi, sedangkan ibu saya jarang menggunakan peralatan elektrik," katanya.

Penduduk, K. Sundramohan, 52, pula berkata, rumahnya didiami tujuh ahli keluarga dan sudah tiba masanya untuk mereka berpindah ke kediaman yang lebih luas dan selesa.

Saya berharap dapat berpindah dengan segera kerana keadaan rumah agak sempit.

Selain itu, saya meminta pihak kerajaan dan DBKL memberi harga istimewa kepada kami jika disediakan rumah baharu nanti," katanya.

Perasaan sama turut diluahkan, M. Kunasagaran, 52.

Katanya, terdapat tiga keluarga mendiami rumah yang didudukinya pada masa ini.

Ibu saya pernah memohon kepada DBKL untuk mendiami unit lain di kawasan ini namun tiada maklum balas dan kami terpaksa tinggal dalam keadaan tidak selesa," ujarnya.

Penduduk dijangka berpindah akhir tahun ini

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

KUALA LUMPUR 13 Mei - Kementerian Wilayah Persekutuan memberi jaminan bahawa lebih 1,000 penduduk di tiga buah kawasan rumah panjang di Jinjang Utara, Kepong akan dipindahkan ke penempatan baharu akhir tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan berkata, kerajaan akan menguruskan proses pemindahan penduduk terbabit selain merobohkan kawasan rumah panjang itu berikutan ia tidak sesuai lagi untuk didiami.

Jelasnya, projek pembinaan perumahan kos rendah berhampiran kawasan rumah panjang berkenaan sedang dijalankan oleh pemaju, Mega Legacy Sdn. Bhd., yang akan dijual pada harga RM42,000 seunit.

Bagi golongan yang kurang berkemampuan termasuk warga emas yang mengalami masalah memohon pinjaman bank untuk membeli unit tersebut, Yayasan Wilayah Persekutuan akan membantu merealisasikan impian mereka memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.

Unit-unit rumah itu akan ditawarkan kepada penduduk terlibat dan kita akan melihat semula bagaimana kita boleh menempatkan mereka kelak," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau mengulas nasib yang dihadapi penduduk di tiga buah rumah panjang di Jinjang Utara, Kepong yang masih menunggu untuk mendapat rumah baharu sejak 22 tahun lalu.

Penduduk yang terlibat sepatutnya berpindah ke kediaman baharu selepas ditempatkan sementara di situ untuk tempoh antara enam bulan hingga dua tahun sejak 1990.

Selain itu, rumah panjang tersebut tidak sesuai untuk didiami ekoran keadaannya yang tidak terurus dan uzur.

Mengulas lanjut, Loga Bala berkata, penduduk tidak perlu berasa bimbang kerana kerajaan sentiasa prihatin dengan nasib rakyat dan berjanji masalah mereka akan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Keadaan rumah panjang yang berusia lebih 22 tahun itu tidak sesuai untuk didiami pada masa sekarang.

Ia juga perlu dirobohkan untuk pembangunan semula. Bagaimanapun, kita akan pastikan penduduk memiliki kediaman baharu terlebih dahulu sebelum dipindahkan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved