Khamis, 1 Mei 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Orang ramai tarik nafas lega

Posted: 30 Apr 2014 11:58 AM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH NIZAR dan MUHAMMAD AMINNURALIFF MOHAMAD ZOKI
kota@utusangroup.com.my

Seorang suri rumah, Salimie Salleh, 29, terpaksa mengangkat air ke rumahnya di Flat Taman Datuk Harun, Petaling Jaya ekoran catuan bekalan air baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 30 April - Orang ramai menyambut baik keputusan untuk menamatkan pelan catuan bekalan air berkuat kuasa esok kerana pelaksanaannya sejak dua bulan lalu mendatangkan banyak kesulitan.

Mereka juga berharap agar sumber air diuruskan dengan cekap bagi mengelak catuan berulang pada masa akan datang.

Seorang pelajar, Yusnita Mohd. Darus, 23, berkata, catuan air amat menyusahkan kerana kadangkala ia tidak mengikut jadual yang ditetapkan.

Harap-harap ini merupakan kali terakhir catuan air dijalankan dan tidak akan berulang lagi pada masa depan," ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Bagi peniaga gerai makanan, Mariam Talib, 62, catuan air ternyata memberi kesan negatif kepada perniagaannya.

Saya terpaksa menutup operasi beberapa kali berikutan air tidak mencukupi untuk memasak dan membasuh peralatan.

Saya berharap kerajaan negeri Selangor lebih prihatin dengan nasib golongan peniaga kecil dan menyediakan kemudahan asas yang sewajarnya kepada rakyat," jelasnya.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Datuk Ismail Kasim hari ini memaklumkan tindakan menghentikan catuan air itu adalah hasil peningkatan paras dan simpanan air di Empangan Sungai Selangor ekoran hujan sejak kebelakangan ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula berkata, keputusan penamatan catuan air itu dibuat kerana kerajaan negeri yakin usaha mengepam air bekas lombong dan hujan yang berterusan akan meningkatkan paras air di empangan.

Pelaksanaan catuan air peringkat pertama, ketiga dan keempat membabitkan hampir 7.03 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pelan catuan air peringkat pertama melibatkan kawasan di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang manakala peringkat ketiga ialah Gombak, Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Kawasan yang terlibat bagi peringkat keempat pula ialah Gombak, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Langat, Hulu Selangor, Hulu Langat dan Sepang.

Sementara itu, seorang pengguna, Shah Jahan Kadar Mahidin, 41, melahirkan rasa syukur terhadap berita yang diterimanya mengenai penamatan catuan bekaan air berkenaan.

Memang rasa gembira yang tidak terhingga kerana ketika catuan air dijalankan, saya dan keluarga menghadapi pelbagai masalah terutama berkenaan keperluan asas seperti untuk mandi dan membuang air.

Saya berharap supaya kerajaan negeri mencari alternatif lain selepas ini jika empangan air kembali susut dan bukan dengan catuan air kerana beban yang dihadapi terlalu berat," katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Rozita Surani, 51, masih kesal dengan pelaksanaan catuan air yang telah membebankan penduduk, lebih-lebih lagi dengan kejadian yang menimpanya pada hari ini.

Saya tidak dapat mengambil wuduk di sebuah surau kerana tiada air dan perkara tersebut tidak boleh diterima kerana menghalang saya untuk mengerjakan solat," katanya.

Bagi seorang pekerja swasta, Zulkafli Ismail, 47, dia berharap orang ramai supaya tidak membazir air setelah catuan dihentikan.

Apabila ada air, orang ramai sering membazir, tetapi apabila tiada air mereka mengeluh. Oleh itu, kita perlu sentiasa berjimat cermat dalam menggunakan air pada masa akan datang," katanya.

Abu Hassan Md. Uda, 68, yang tinggal di Cheras pula berkata, masalah bekalan air merupakan salah satu ujian Allah kepada orang ramai namun ia diatasi dengan hujan lebat yang turun di Lembah Klang baru-baru ini.

Walaupun tindakan catuan air telah membebankan rakyat, pengguna perlu berjaga-jaga ketika menggunakan air dan ini merupakan satu peringatan bahawa air boleh habis suatu hari nanti," katanya.

Peniaga Melayu dipinggir?

Posted: 30 Apr 2014 11:58 AM PDT

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my

Pihak pengurusan baharu Kompleks PKNS, Shah Alam diminta supaya sentiasa membantu perkembangan peniaga bumiputera. - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM 30 April - Peranan Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dilihat semakin lari daripada matlamat asal iaitu membantu perkembangan ekonomi bumiputera apabila semakin banyak peniaga kaum lain dan warga asing di premis itu.

Yang Dipertua Persatuan Peniaga-peniaga Kompleks PKNS Shah Alam, Amran Yahya berkata, kehadiran golongan tersebut mula ketara selepas pengurusan premis berkenaan diambil alih oleh anak syarikat PKNS, Private Real Estate Company (PREC) pada awal tahun ini.

Menurutnya, keadaan terbaharu itu ternyata meresahkan lebih 200 peniaga Melayu di situ yang khuatir mereka lama-kelamaan tidak mampu lagi bersaing seterusnya terpaksa gulung tikar atau berpindah ke tempat lain.

Dengan keadaan sekarang, kita bimbang kadar sewa akan dinaikkan berlipat kali ganda seterusnya memudahkan bangsa asing masuk ke sini sehingga peniaga Melayu tidak lagi mampu bersaing.

Jika perkara sebegini tidak dibendung, kompleks ini akan berubah menjadi pusat beli-belah yang lain, bukan lagi bersifat tradisional dengan peniaga serta pengunjungnya majoriti orang Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tinjauan di kompleks berkenaan mendapati, beberapa ruang yang sebelum ini dibiarkan kosong kini sudah diduduki termasuk restoran-restoran besar yang dimiliki oleh bukan Melayu dan warga asing.

Sebelum ini, kawasan terbabit disewakan secara sementara kepada peniaga-peniaga kecil Melayu terutama ketika menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Amran menambah, kadar sewa juga berkemungkinan besar akan dinaikkan berlipat kali ganda apabila perjanjian sewaan baharu diserahkan kepada semua penyewa berkuat kuasa Jun ini.

Beliau memberitahu, pihaknya tiada halangan sekiranya PREC mahu membuat perubahan bagi menghidupkan kompleks itu tetapi kemudahan asas sedia ada seperti pendingin hawa dan tandas perlu dibaik pulih terlebih dahulu.

Kalau mahu naikkan sedikit kadar sewa pun masih tidak mengapa asalkan setimpal dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan.

Malangnya, selepas habis waktu pejabat, pendingin hawa dimatikan menyebabkan para pengunjung tidak selesa kerana suhu yang hangat," ujarnya.

Selain itu jelasnya, beliau amat berharap PREC sebagai pengurusan baharu kompleks itu mempunyai sifat bertanggungjawab dan ikhlas mahu membantu peniaga bumiputera.

Amran berkata, beliau tidak mahu pendapatan yang diperoleh hasil menguruskan Kompleks PKNS disalurkan ke tempat lain sehingga menjejaskan sumber rezeki para peniaga di situ.

Dulu pernah berlaku pihak pengurusan mendakwa mengalami kerugian tetapi apabila kita minta tunjukkan bukti seperti laporan kewangan, mereka tidak mahu beri.

Akhirnya yang menjadi kambing hitam adalah para peniaga di sini," katanya.

Bas percuma di Petaling Jaya bulan ini

Posted: 30 Apr 2014 11:58 AM PDT

Alinah Ahmad (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Zohari Sulaiman (dua dari kanan) pada Majlis Menandatangani MoU Perkhidmatan Bas Percuma di Petaling Jaya, Selangor, semalam. - UTUSAN/KAMAL BASIR

PETALING JAYA 30 April - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bakal menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk di bandar raya ini dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas mulai pertengahan bulan ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, MBPJ telah mendapat pembiayaan daripada Kementerian Pengangkutan untuk membina dua buah hab bas baharu di Jalan PJS 3/2 dan Jalan Othman.

Saya yakin perkhidmatan bas percuma itu nanti mampu mengurangkan jumlah kenderaan persendirian yang masuk ke pusat bandar Seksyen 52.

Selain itu, kita akan turut melaksanakan sistem jalan sehala di pusat bandar selain pelbagai kemudahan lain seperti memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan membina kemudahan siar kaki berbumbung serta laluan basikal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Perkhidmatan Bas Percuma Petaling Jaya di Ibu Pejabat MBPJ di sini, hari ini.

Yang turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn. Bhd., Datuk Ir. Zohari Sulaiman.

Menurut Alinah, laluan bas percuma itu akan bermula di hab Jalan PJS 3/2 menuju ke hab di Jalan Othman dan melalui Pusat Bandar Seksyen 52 melalui stesen LRT Asia Jaya, Jalan Semangat, Jalan Universiti, stesen LRT Taman Jaya.

Sebanyak 10 buah bas diperuntukkan dengan kekerapan 10 hingga 15 minit bagi setiap perjalanan yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna terutama pekerja dan pelajar kawasan tersebut.

Waktu perkhidmatannya akan bermula pada pukul 6 pagi sehingga 9 malam setiap hari dan setiap bas akan dilengkapi dengan jaringan WiFi percuma serta paparan LED," katanya.

Sehubungan itu, beliau akan memastikan kekerapan bas akan dipantau supaya ia benar-benar mengikut jadual sekali gus perkhidmatannya mendapatkan kepercayaan orang ramai.

Menurutnya, perkhidmatan tersebut merupakan salah satu inisiatif ke arah Petaling Jaya Bandaraya Hijau Berkarbon Rendah dan dapat menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved