Khamis, 1 Mei 2014

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Harapan kedua wanita HIV

Posted: 01 May 2014 06:55 AM PDT

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar Amir Hafiz Abd. Rahman

NORLELA Mokhtar (dua dari kanan) mengalu-alukan bantuan daripada pelbagai pihak dalam membantu penghidap HIV.

BAGAIKAN bangkai bernyawa. Begitulah stigma negatif yang sering dilabelkan oleh segelintir masyarakat terhadap penghidap HIV yang dianggap tiada harapan dalam hidup dan menunggu masa untuk mati.

Sehinggakan berlaku diskriminasi keterlaluan dan juga pemulauan terhadap golongan tersebut kerana dikhuatiri akan menyebarkan virus paling digeruni dan masih belum menemui penawar itu kepada individu yang menghampiri.

Hakikatnya, segala tanggapan tersebut hanyalah mitos, yang disifatkan sebagai penyakit lebih berbahaya yang akan pembunuh penghidap HIV dalam diam.

Pengasas Rumah Perlindungan HIV Wahidayah, Norlela Mokhtar berkata, HIV tidak akan berjangkit selain melalui tiga perkara iaitu melalui hubungan seks, perkongsian jarum suntikan atau anak dalam kandungan penghidap HIV.

"HIV merupakan penyakit yang sukar berjangkit. Stigma masyarakat termasuk ahli keluarga yang sering menjauhi penghidap HIV sehingga dikuarantin di bilik khas, mengasingkan tempat tidur atau, alatan peribadi dan pinggan mangkuk adalah keterlaluan.

"Ini hanya membuatkan penghidap HIV akan berasa lebih menderita dengan penyakit yang dihadapi, ditambah pula dengan tanggapan buruk masyarakat terhadap mereka.

"Sedangkan masyarakat perlu tahu, hanya tiga sahaja kaedah jangkitan HIV iaitu melalui hubungan seks, sama ada melalui vagina, dubur dan juga seks oral, perkongsian jarum dengan individu yang positif HIV dan ibu kepada anak," katanya ketika ditemui.

Tambah Pengerusi Persatuan Wahidayah Malaysia (Pewahim) itu, dakwaan yang mengatakan HIV boleh merebak melalui udara dan air liur adalah mitos semata-mata.

"HIV adalah virus yang berada dalam badan manusia. Ia tidak boleh merebak melalui udara seperti terkena bersin mahupun pembawaan haiwan lain seperti gigitan nyamuk, lintah dan sebagainya.

"Manakala jangkitan melalui air liur pula akan berlaku jika dikumpulkan sebanyak dua baldi air liur individu positif HIV baru boleh menyebabkan jangkitan," jelasnya.

Justeru, dengan penubuhan rumah Wahidayah ini katanya, menjadi pusat sokongan dan memberi peluang kepada penghidap HIV wanita untuk mendapatkan rawatan berterusan, di samping memberikan pendedahan sebenar mengenai HIV kepada masyarakat.

Mula ditubuhkan pada 2012, rumah Wahidayah yang merupakan salah satu daripada empat cawangan Pewahim adalah satu-satunya pertubuhan yang menyediakan perlindungan wanita HIV di Malaysia.

Norlela berkata, selain menyediakan penempatan asas dan selamat bagi wanita dan kanak-kanak yang terjejas oleh epidemik HIV, Pewahim juga menjadi pusat bantuan sokongan melalui perkhidmatan kesihatan dan keperluan asas kepada penghuni.

"Tujuan rumah perlindungan ini ditubuhkan adalah bagi memainkan peranan utama dalam usaha membantu pihak berwajib dalam memantapkan program pencegahan, kawalan dan rawatan HIV di negara ini.

"Beroperasi selama 24 jam, tujuh hari seminggu, Pewahim menjadi tempat rujukan bagi individu yang dijangkiti HIV agar tidak berputus asa meneruskan hidup dan menjalani hidup normal seperti individu lain," ujarnya.

Didikan agama dan latihan

Selain memastikan kesihatan penghuni dalam keadaan stabil, Rumah Perlindungan Wahidayah turut menyelitkan aktiviti-aktiviti kerohanian dan motivasi bagi meningkatkan keyakinan diri penghidap HIV tersebut.

"Bertepatan dengan nama yang diberikan iaitu wanita HIV yang berhidayah (wahidayah), kita juga sangat menitikberatkan didikan agama kepada penghuni, kerana kita percaya bahawa keyakinan kepada agama dapat menguatkan lagi semangat individu untuk berjaya.

"Antara pendekatan Islam yang diamalkan seperti solat berjemaah setiap hari dan sentiasa menyampaikan peringatan mengenai agama. Manakala, kita juga mempunyai empat orang guru agama dan motivasi yang dihantar oleh majlis agama.

"Mereka akan datang dua kali pada setiap hari iaitu pengajian al-Quran pada sebelah pagi dan ilmu Fardu Ain pada sebelah petang," katanya yang juga menjemput penghidap HIV yang berjaya untuk berkongsi pengalaman dan kejayaan.

Dalam pada itu katanya, Rumah Perlindungan Wahidayah turut membekalkan latihan dan kemahiran yang bersesuaian mengikut kebolehan dan minat para penghuninya.

"Mengikut minat masing-masing, kita mendedahkan kepada penghuni kemahiran yang boleh mereka pelajari. Antaranya seperti kemahiran menjahit, memasak dan membuat kraftangan. Penghuni yang berkebolehan akan dihantar untuk mendapatkan kemahiran yang bersesuaian di luar.

"Ia bertujuan memberikan pendedahan kepada penghidap HIV kepada dunia luar dan membolehkan mereka untuk berdikari apabila keluar dari rumah ini nanti," ujarnya.

Kemelut wanita HIV

BERKONGSI penubuhan Rumah Wahidayah, Norlela berkata, ia tercetus apabila beliau ditemui oleh seorang ibu muda bersama dua orang anaknya yang kesemuanya positif HIV dan hidup tanpa arah tujuan.

"Ketika itu saya bekerja di Pertubuhan Aids Malaysia, saya telah bertemu dengan seorang ibu muda yang menghidap HIV untuk meminta bantuan. Wanita itu dihantar kepada saya melalui rujukan pihak hospital.

"Pada masa itu tidak ada lagi mana-mana tempat yang menyediakan perkhidmatan bagi menempatkan wanita HIV dan anak tersebut. Apabila diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mereka tidak menerima mereka kerana dikatakan tidak tergolong dalam kumpulan sasar.

"Akhirnya anak itu tadi terpaksa diberikan kepada orang tanpa tidak tahu status rawatan terhadap anak itu," katanya.

Memikirkan soal anak malang tersebut, Norlela mengambil inisiatif menubuhkan rumah perlindungan wanita HIV Wahidayah sebagai pusat perlindungan sementara bagi memastikan rawatan dan sokongan masyarakat serta ahli keluarga penghidap tidak terabai.

Bagaimanapun luahnya, pusat perlindungan tersebut masih tidak mendapat naungan daripada mana-mana kementerian menyebabkan pelbagai aktiviti yang dirancang kepada penghidap HIV dan peruntukan terbatas.

"Sehingga kini Pewahim masih berdiri sendiri. Ini kerana kita mengalami masalah untuk mendaftarkan pertubuhan ini kepada pihak atasan yang berwajib.

"Walaupun sudah beberapa kali cuba untuk mendaftar, tetapi tidak diterima kerana tidak tahu perkara ini terletak di bawah tanggungjawab siapa. Syukur Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) banyak menghulurkan bantuan bagi menggerakkan operasi rumah Wahidayah ini," katanya.

Justeru, Norlela meminta agar pihak berkuasa, khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia (KPWKM) agar mengkaji semula peruntukan perlindungan bagi keperluan wanita HIV.

"Tujuan kita adalah untuk menjaga kebajikan dan masa depan wanita HIV. Dan apa yang lebih penting adalah kepada anak-anak bakal dilahirkan tidak berdosa tersebut yang perlu mendapatkan saringan.

"Kita berharap, mana-mana pihak terutamanya KPWKM dapat mengkaji semula perkara ini dan memberikan ruang kepada pertubuhan bukan kerajaan bagi penghuni HIV ini bernaung.

"Ini penting kerana penghidap tidak tahu ke mana tempat untuk mengadu jika berlaku masalah seperti ini, sedangkan kebanyakan penyakit ini diterima daripada lelaki termasuk suami sendiri," jelasnya.

Bagi kelangsungan Rumah Wahidayah, orang ramai dialu-alukan untuk menghulurkan sumbangan dengan menyalurkan ke akaun Maybank Berhad, Persatuan Wahidayah Malaysia (562740121438) atau menghubung Norlela di talian 019-259 5864 untuk maklumat lanjut.

Bahana putus tunang

Posted: 01 May 2014 06:55 AM PDT

BERTUNANG bukan wajib dalam Islam. Sebab itu ramai yang bersikap endah tak endah apabila berlaku putus tunang.

Kaum wanita sendiri masih kabur akan hak-hak mereka dalam kes putus tunang yang mana dalam terma undang-udang ia dikatakan kemungkiran janji untuk berkahwin.

Lagi pula masyarakat kerap melihat hal putus tunang sebagai remeh kerana beranggapan itu bukan perkara wajib berbanding nikah. Ada yang beranggapan bertunang sekadar adat. Jadi, apabila ada pihak yang mungkir, tidak ada apa yang perlu dibesar-besarkan.

Jadi, fokus kali ini adalah kepada pembatalan perkahwinan sebelum berlakunya akad nikah (pembatalan sebelum berkahwin) atau lebih kerap disebut sebagai putus tunang.

Walaupun bertunang itu tidak wajib kerana bukan satu akad perkahwinan yang sah, tetapi ia merupakan adat masyarakat Melayu yang diterima oleh Islam.

Pertunangan merupakan suatu ikatan janji antara pihak lelaki dan perempuan untuk melangsungkan perkahwinan. Cincin atau sesuatu hadiah yang diberikan semasa peminangan menjadi tanda ikatan pertunangan itu.

Jadi, apakah hak-hak wanita yang pertunangannya dibatalkan sebelum tiba hari perkahwinan?

Oleh kerana pertunangan merupakan satu ikatan janji antara kedua-dua pihak, dari aspek perundangan ia merupakan satu kontrak yang mengikat kedua-duanya.

Dalam Islam, setiap kontrak yang ditandatangani wajib dipatuhi selagi mengikuti prinsip syariat. Implikasi kontrak ini bukan sahaja ke atas hak sesama manusia, malah kesannya berkait langsung dengan hak Allah SWT.

Islam memandang serius aspek amanah dan mematuhi setiap perbutiran yang dipersetujui dalam kontrak termasuk dalam hal pertunangan.

Ini ditegaskan dalam firman Allah SWT:"Wahai orang yang beriman!Patuhilah setiap perkara yang kalian akadkan (terma yang termaktub dalam kontrak)".(Surah Al-Maidah: 1)

Dalam undang-undang sivil juga jelas wanita mempunyai hak untuk mendapatkan pampasan atau ganti rugi di dalam kes mungkir janji untuk berkahwin (Breach of Contract of Marriage).

Seawal tahun 1969 telah wujud tuntutan malu dan ganti rugi kerana kemungkiran janji untuk berkahwin. Merujuk kes Nafsiah lawan Abdul Majid, plaintif (Nafsiah) menuntut ganti rugi kerana defendan (Abdul Majid) mungkir janji untuk berkahwin dengannya.

Plaintif mengemukakan dokumen perjanjian bertulis sebagai bukti di mahkamah. Plaintif turut menuntut ganti rugi teruk (aggravated damages) kerana defendan telah menggodanya lalu menyebabkan dia hamil dan melahirkan seorang anak lelaki.

Plaintif menang dalam kes ini dan Hakim membuat keputusan dengan mengambil kira keadaan sosial di Malaysia, kebiasaan serta adat resam masyarakat lalu membuat kesimpulan terdapat kemungkinan besar plaintif dihina dan diaibkan kerana mengandung dan melahirkan anak tanpa menikahi bapa anak tersebut.

Mahkamah memutuskan tuntutan ganti rugi kerana mungkir janji untuk berkahwin (breach of promise to marry) sama dengan tuntutan ganti rugi kemungkiran kontrak (breach of contract). Hakim memerintahkan defendan membayar ganti rugi sebanyak RM1,200 kepada plaintif.

Orang Islam di Malaysia boleh menuntut ganti rugi berkiatan putus tunang di Mahkamah Sivil kerana Common Law mengiktiraf perjanjian untuk berkahwin sebagai satu kontrak.

Hak-hak wanita dalam kes seumpama ini meliputi ganti rugi kewangan dan juga bukan kewangan seperti maruah, penghinaan dan sebagainya.

Selain itu wanita juga berhak mendapat barangan perkahwinan seperti cincin dan hadiah perkahwinan sekiranya pihak lelaki tidak mematuhi keperluan perjanjian perkahwinan.

Wanita juga berhak memiliki secara mutlak sekiranya hadiah diberikan tanpa keperluan oleh pihak lelaki.

Bagaimanapun sekiranya kedua-dua pihak bersetuju untuk mengakhiri perjanjian atau pihak wanita yang membatalkannya tanpa sebab, barang tersebut perlu dipulangkan.

Sekiranya berlaku kemungkiran pertunangan tanpa alasan-alasan yang munasabah, sedangkan persiapan perkahwinan sudah dirancang, pihak-pihak yang terlibat boleh menuntut ganti rugi yang berkaitan di Mahkamah Syariah.

Situasi ini jelas diterangkan dalam peruntukan Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu, apabila berlakunya kemungkiran terhadap ikatan pertunangan yang telah dibuat antara kedua belah pihak sama ada secara rasmi atau sebaliknya, maka pihak yang memungkiri pertunangan tersebut bertanggungjawab untuk membayar segala ganti rugi yang telah dibelanjakan sama ada semasa pertunangan atau ganti rugi persiapan perkahwinan kepada pihak satu lagi. Tuntutan ganti rugi itu boleh dibuat dengan memfailkan tuntutan di Mahkamah Syariah.

Dalam kes Salbiah Othman lawan Haji Ahmad Abdul Ghani (2002), pihak perempuan telah dimungkiri janji untuk berkahwin telah membuat tuntutan ganti rugi keaiban dan ganti rugi perbelanjaan yang merangkumi persiapan untuk pertunangan dan persiapan untuk perkahwinan.

Pihak Mahkamah Tinggi Syariah Seremban telah meluluskan permohonan Salbiah terhadap sebahagian tuntutannya yang merangkumi kos baju pengantin, tempahan persalinan, tempahan langsir dan cadar, deposit khemah dan katil serta kos jemputan yang merangkumi barangan runcit dan basah.

Dalam kes Aishah lawan Jamaluddin (1978), pihak lelaki telah mungkir janji untuk berkahwin dengan pihak perempuan. Aishah menuntut pembayaran mas kahwin berjumlah RM25, belanja kahwin RM800 dan mendakwa dia berhak untuk terus menyimpan cincin pertunangan.

Kadi Besar Kedah ketika menjadi hakim bagi kes berkenaan memerintahkan Jamaluddin membayar ganti rugi mengikut perjanjian pertunangan dan Aishah juga berhak untuk terus menyimpan cincin pertunangan yang dihadiahkan kepadanya.

Hakim juga memerintahkan supaya Jamaluddin membayar kos baju pengantin kepada Aishah yang telah disiapkan untuk perkahwinan dan juga RM400 sebagai pembayaran untuk membaiki rumah yang dilakukan khusus bagi persediaan majlis perkahwinan.

Dalam satu lagi kes, seorang wanita dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka, kerana menipu seorang lelaki dengan berjanji untuk berkahwin sehingga menyebabkan kerugian RM29,840.

Kes ini menerangkan bahawa menggunakan alasan janji untuk berkahwin bagi menipu dengan tujuan mendapatkan wang juga boleh mendapat pembelaan yang setimpal.

Kes-kes yang dipaparkan ini merupakan peringatan kepada pasangan yang telah bertunang supaya tidak bertindak memutuskannya secara sembrono.

Kes bakal pengantin tidak muncul ketika majlis akan nikad, dan perkahwinan dibatalkan pada saat akhir sebenarnya mempunyai implikasi undang-undang yang mana pihak yang mungkir janji perlu menanggung akibatnya.

Sebab itu, jika pasangan merasakan mereka tidak mampu untuk melanjutkan pertunangan itu ke alam perkahwinan, pembubaran harus dilakukan dengan cara yang baik.

Undang-undang keluarga Islam telah memperuntukkan hak-hak wanita Islam yang meliputi tuntutan hak milik pemberian pertunangan dan pampasan akibat kerugian yang dialami.

Apabila berlaku kemungkiran pertunangan tanpa alasan yang munasabah, pihak yang teraniaya boleh menuntut segala kos kerugian seperti persiapan perkahwinan dan pemberian pertunangan di Mahkamah Syariah berdasarkan peruntukan yang telah dinyatakan di atas.

Secara umumnya wanita berhak menuntut dua perkara dalam kes kemungkiran janji untuk berkahwin. Pertama pemberian semasa pertunangan menjadi hakmiliknya secara mutlak. Kedua, tuntutan gantirugi bagi persiapan perkahwinan akibat kemungkiran janji untuk berkahwin daripada pihak lelaki dengan sebab yang tidak munasabah.

Oleh itu, kita hendaklah memenuhi dan menunaikan janji-janji yang telah dinyatakan sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al-Quran: "Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad (perjanjian-perjanjian) itu." (Al-Maidah:1).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved