Khamis, 8 Mei 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Segamat terima peruntukan RM230,000

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

Oleh Mohamed Saari
utusanjohor@utusan.com.my

Mohammad Sahlan Mahnoon (kiri) menyaksikan ADUN Kemelah, Datuk Ayub Rahmat (dua, kiri) menyampaikan bantuan Skim Insentif Produktiviti Getah kepada seorang pekebun kecil getah di Balairaya Kampung Genuang Baru, Segamat, baru-baru ini. - UTUSAN/ MOHAMED SAARI

SEGAMAT 7 Mei - Segamat menerima peruntukan terbesar daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di bawah program Peningkatan Produktiviti Getah (PPG) berjumlah RM230,000 daripada keseluruhan RM436,000 yang diperuntukkan untuk Johor pada tahun ini.

Pengarahnya, Mohammad Sahlan Mahnoon berkata, di bawah program PPG ini, Risda akan membekalkan secara percuma peralatan-peralatan menoreh seperti mangkuk getah dan pisau toreh.

"Dalam usaha meningkatkan hasil getah pekebun-pekebun kecil, RISDA masih meneruskan program bekalan baja kepada pekebun-pekebun kecil di luar bantuan iaitu Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG).

"Bagi SIPG pula, daerah Segamat juga turut menerima peruntukkan terbesar di negeri ini iaitu sebanyak RM495,000 kerana Segamat merupakan daerah yang mempunyai keluasan getah paling besar berbanding daerah-daerah lain di negeri ini," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini kelmarin.

Menurut Mohammad Sahlan, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini sahaja, Segamat telah melaksanakan penanaman semula pokok getah seluas 800 hektar yang merupakan kawasan terluas di negeri ini berbanding daerah lain.

Katanya lagi, jika dahulu RISDA lebih tertumpu kepada penanaman dan penjagaan pokok getah muda sahaja, tetapi kini tumpuan yang sama turut diberikan kepada pokok matang dan pengeluaran hasil.

"Pada masa sama, kempen penorehan yang dilaksanakan bertujuan meningkatkan bilangan hari menoreh pekebun kecil di negeri ini sekurang-kurangnya kepada 12 hari sebulan berbanding 10 hari sebelum ini.

"Jika pekebun kecil ini meningkatkan bilangan hari menoreh kepada 12 hari sebulan di atas tanah berkeluasan sehektar, hasil yang diperolehi akan meningkat kepada 1,500 kilogram dan pendapatan penoreh akan bertambah sebanyak RM2,000 setahun manakala pendapatan negara bertambah RM140 juta setahun," ujarnya.

Persatuan belia diminta bantu cegah denggi

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

S. Subramaniam (tengah) mencuba alat penyembur nyamuk semasa Program Gotong-Royong dan Kempen Bulan Bebas Denggi di Taman Astakajaya, Segamat, Johor, baru-baru ini. - UTUSAN/MOHAMED SAARI

SEGAMAT 7 Mei - Persatuan belia yang terdapat di negara ini diminta melibatkan diri dalam usaha pencegahan denggi kerana setakat ini program pencegahan denggi anjuran Kementerian Kesihatan dan pihak Jawatankuasa Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) hanya melibatkan jawatankuasa penduduk sahaja.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, aktiviti pencegahan denggi tidak seharusnya tertumpu ketika waktu penularan wabak tersebut sahaja tetapi perlu dilakukan secara berterusan dan berkala supaya Malaysia menjadi sebuah negara bebas denggi.

"Perkara tersebut boleh dicapai sekiranya mendapat kerjasama dan kesedaran masyarakat. Pasukan Combi juga boleh ditubuhkan di tempat yang difikirkan perlu seperti di taman-taman perumahan dengan pasukan sedia ada perlu lebih aktif kerana Combi menjadi sebahagian penggerak dasar kerajaan dalam pencegahan denggi.

"Saya percaya semangat anak muda yang kita lihat hari ini merupakan gambaran kepada masa depan yang dapat membantu kerajaan menangani masalah denggi di negara ini," katanya semasa merasmikan Majlis Pelancaran Program Gotong-Royong dan Kempen Bulan Bebas Denggi di Taman Astakajaya, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim; Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mokhtar Ahmad dan Pengerusi Persatuan Belia Baru Taman Yayasan, Rohizam Mohd Razali.

Program tersebut dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Segamat dan Persatuan Belia Baru Taman Yayasan.

Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata, daerah itu muncul sebagai kawasan yang mencatatkan kes denggi yang rendah iaitu sebanyak 74 kes sepanjang tahun lalu diikuti oleh Mersing sebanyak 67 kes.

"Sebenarnya ini tanggungjawab bersama dan bukannya individu sahaja. Usaha seperti yang dilakukan Persatuan Belia Baru Taman Yayasan menganjurkan program ini merupakan satu langkah baik sekaligus memberi petanda akan berlaku perubahan lebih baik berhubung pencegahan denggi pada masa depan," ujarnya.

Tambah beliau, penglibatan belia dalam aktiviti seperti ini juga menandakan keberkesanan promosi dan kempen pencegahan denggi yang dilakukan oleh kerajaan dan sewajarnya dicontohi oleh pertubuhan-pertubuhan belia yang terdapat di negara ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved