Khamis, 29 Mei 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Ops Cantas Khas: 111,558 orang diperiksa

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
utusanjohor@utusan.com.my

BATU PAHAT 28 Mei - Polis daerah ini memeriksa seramai 111,558 individu dalam Op Cantas Khas sehingga Ahad lalu sejak operasi itu dilancarkan pada 17 Ogos tahun lalu bagi membendung aktiviti jenayah yang mengancam keselamatan negara.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, daripada jumlah itu seramai 2,672 individu yang terlibat dalam pelbagai kesalahan telah ditahan.

"Sepanjang tempoh itu juga sebanyak 114 senjata api dan senjata berbahaya turut dirampas. Kejayaan paling ketara sepanjang Op Cantas Khas dilancarkan adalah penurunan kadar jenayah terutamanya kes melibatkan jenayah kekerasan," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Din berkata, pihaknya turut memeriksa sebanyak 69,457 buah kenderaan yang mencurigakan iaitu 44,962 motosikal, 20,523 kereta dan 3,972 lain-lain kenderaan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 30,722 saman telah dikeluarkan kerana menyalahi peraturan atau terlibat dalam kegiatan jenayah," katanya.

Dalam pada itu, Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) polis daerah itu telah menahan seramai 290 individu bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Din memberitahu, sebanyak 88 daripada mereka ditahan menerusi Ops Dadu, Ops Noda (45), Op Cantas (100) manakala bakinya merupakan individu yang ditangkap kerana terlibat dengan mesin perjudian.

"Polis akan terus memburu suspek atau individu yang terlibat dengan jenayah. Tindakan berterusan dalam operasi ini akan diteruskan dengan pelbagai penambahbaikan," katanya.

Wakil rakyat rai 704 pelajar cemerlang

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

HALIMAH Mohamed Sadique (tengah sebelah lelaki bersongkok) bersama pelajar dan tetamu dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan UPSR, PMR, SPM dan STPM Tahun 2012 & 2013 di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini. - UTUSAN/FARIK SALEH

KOTA TINGGI 28 Mei - Seramai 704 pelajar dari 33 sekolah rendah dan menengah di kawasan Parlimen Tenggara diraikan dalam satu majlis khas di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi di sini baru-baru ini.

Mereka adalah pelajar dari 17 sekolah kebangsaan (SK), dua sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina, tiga SJK Tamil, sembilan sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan dua sekolah menengah agama (SMA).

Kesemua pelajar tersebut mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Mereka menerima hadiah khas, wang tunai dan sijil penghargaan yang disampaikan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Yang turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Md. Din Hussien dan wakil Pegawai Pendidikan Daerah Kulaijaya, Aziz Md. Derus; Ketua MCA Tenggara, Gan Ong Ping dan Pengerusi Biro Majlis Pendidikan Tenggara, Zainuddin Abu Bakar.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan UPSR, PMR, SPM dan STPM Tahun 2012 & 2013 itu turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,500 ibu bapa dan ahli keluarga pelajar berkenaan.

Halimah dalam ucapannya berkata, majlis tersebut sebagai tanda terima kasih dan penghargaan atas kecemerlangan mereka dan berharap ibu bapa sedar bahawa tanggungjawab mendidik anak-anak bukannya diserahkan pada bahu guru-guru dan pihak sekolah semata-mata.

"Malah, kita tumpang gembira apabila pelajar lepasan SPM dan STPM diterima masuk menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi demi menyediakan modal insan negara yang berilmu dan berkemahiran," katanya yang juga Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sementara itu, seorang pelajar SK Taman Seri Saujana, Abd. Muhaimin Abd. Razak, 13, bersyukur mendapat keputusan 5A dalam UPSR 2013 dan terima kasih kepada guru-guru dan ibu bapa yang banyak memberi semangat dan tunjuk ajar kepadanya.

Seorang lagi penerima hadiah, Alia Aidah Abd. Halim, 14, dari Taman Kota Jaya yang turut mendapat 5A dalam UPSR 2012 dan Azlin Omar, 16, dari Felda Bukit Ramun atas kejayaanya memperoleh 9A dalam PMR 2013 turut bersyukur dan bertekad akan terus belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan lebih besar dalam akademik.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved