Khamis, 22 Mei 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Saluran khas banteras jenayah

Posted: 21 May 2014 12:55 PM PDT

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis yang cemerlang sempena Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Sijl Penghargaan di Johor Bahru, kelmarin. - UTUSAN/RAJA JAAFAR AL

JOHOR BAHRU 21 Mei - Polis negeri ini mewujudkan saluran khas dalam laman webnya bagi membolehkan setiap pegawai dan anggotanya berkongsi idea berkaitan langkah pencegahan dan memerangi jenayah secara lebih mudah dan berkesan.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, saluran khas yang telah beroperasi sejak dua minggu lalu itu turut digunakan untuk menyalurkan segala maklumat tentang kes jenayah.

"Kita percaya setiap pegawai dan anggota kontinjen Johor terutamanya yang masih muda mempunyai banyak idea tentang cara untuk memerangi jenayah, khususnya di negeri ini.

"Oleh itu, kita menyediakan saluran khas dalam laman web polis Johor bagi membolehkan setiap pegawai dan anggota berkongsi idea, pendapat dan maklumat masing-masing agar usaha memerangi jenayah dapat dilakukan secara lebih berkesan," katanya selepas Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Sijil Penghargaan kepada 35 pegawai dan anggota di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini semalam.

Mohd. Mokhtar berkata, maklum balas yang diterima setakat ini amat memuaskan dan pihaknya telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyelaras dan mengumpul maklumat yang diterima.

Dalam pada itu, beliau meminta semua ketua polis daerah di negeri ini mengadakan lebih banyak operasi bagi membanteras penagih dadah yang turut menyumbang kepada peningkatan kes jenayah, terutamanya melibatkan kes ragut.

"Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini kita berjaya mengurangkan sebanyak 747 kes jenayah dan saya berharap agar usaha itu dapat dipertingkatkan lagi pada masa depan.

"Saya juga mahu semua pihak memperbaiki mutu perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat dan salah satu caranya dengan meningkatkan kadar penyelesaian kes," katanya.

Pelan Induk Pelancongan Johor dilancar 6 Jun ini

Posted: 21 May 2014 12:55 PM PDT

MUAR 21 Mei - Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor 2014-2023 akan dilancar di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Johor Bahru pada 6 Jun ini bertujuan membangunkan industri pelancongan di negeri ini secara menyeluruh.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, pelan tersebut akan dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada pukul 3 petang.

Menurutnya, pelancaran itu dilakukan serentak dengan Program Explore Johor Fest 2014 dan mempelawa semua pihak terutama pengusaha industri pelancongan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta untuk menjayakannya.

"Sebanyak 10 daerah terlibat dalam pelan ini iaitu Johor Bahru, Pontian, Muar, Ledang, Batu Pahat, Mersing, Kluang, Segamat, Kota Tinggi dan Kulaijaya. Daerah terbabit dibahagi kepada 11 Pembangunan Pelancongan Berkelompok (TDC) untuk dimajukan.

"Matlamat pelan ini adalah meningkatkan peranan dan potensi negeri Johor sebagai destinasi pelancongan utama yang bernilai tinggi," katanya di sini, kelmarin.

Pelan induk itu dipengerusikan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Johor yang melibatkan seluruh agensi kerajaan dan pihak industri pelancongan negeri manakala syarikat Tourism Planning Research Group (TPRG) iaitu anak syarikat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula melakukan kajian mengenainya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved