Isnin, 19 Mei 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Bank Islam peruntuk RM527,000 bina, baiki 22 rumah asnaf

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Mohd. Nazri Chik ( tiga dari kiri ) bersama pegawai kanan BIMB dan LKIM di atas Anjung Sri Pantai yang dibaik pulih di Pontian, kelmarin.

PONTIAN 18 Mei - Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) memperuntukkan sebanyak RM527,000 bagi membina dan membaik pulih 22 rumah golongan asnaf di negeri ini tahun ini.

Ketua Bahagian Syariahnya, Mohd. Nazri Chik berkata, daripada jumlah tersebut, lapan buah rumah merupakan kediaman baharu manakala selebihnya dibaik pulih berdasarkan kerosakan dan projek tersebut yang turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dijangka siap sepenuhnya bulan depan.

Beliau berkata, program tersebut merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat pihaknya yang dimulakan pada 2008 dan kini telah membina dan membaik pulih 151 buah rumah dengan kos RM4 juta.

"Antara negeri yang telah terlibat dengan program ini adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Perak serta Sarawak dan akan diperluaskan ke negeri lain pada tahun depan," katanya sempena program Bank Islam-Bernama Treasure Hunt 2014 bersama komuniti nelayan di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pontian di Pontian Besar, di sini semalam.

Yang turut hadir Pengurus Besar Perancangan Strategik Bank Islam, Hizamuddin Jamalluddin; Pengurus Cawangan Bank Islam Pontian, Ikhawan Saidul Abidin dan Pengurus Besar PNK Pontian, Alias Salam.

Program bertemakan Menjejaki Penghujung Benua Asia itu disertai 160 wakil media daripada pelbagai agensi termasuk Utusan Malaysia dan Kosmo! yang melibatkan 40 buah kenderaan.

Mohd. Nazri berkata, program membina dan membaik pulih rumah itu diharap dapat meringankan beban golongan yang kurang bernasib supaya mereka mendapat kediaman yang selesa dan selamat.

Sempena program bersama komuniti nelayan itu, BIMB juga memperuntukkan RM5,000 bagi membaik pulih dan mengubah wajah Anjung Sri Pantai bagi kegunaan para nelayan di kawasan berkenaan serta memberi sumbangan barangan keperluan harian beras, gula dan minyak masak bernilai RM30,000 kepada penduduk di Pontian Besar.

Bagi memeriahkan program, pelbagai aktiviti turut dianjurkan seperti senamrobik, sukaneka, bengkel kraf tangan, pertandingan mewarna, projek biodiesel, ceramah agama dan bengkel kitar semula.

Mengenai program mencari harta karun berkenaan, Mohd. Nazri menyifatkannya sebagai tanda menghargai sumbangan serta peranan wakil media yang selama ini membantu menjayakan program anjuran pihaknya.

Wakil media turut menyertai acara seperti menyirat pukat, membungkus otak-otak dan berakit menggunakan batang buluh bersama komuniti nelayan di kawasan berkenaan.

City Square lubuk rezeki pengemis

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

PENGEMIS warga asing duduk menagih simpati orang ramai di laluan pejalan kaki kompleks beli-belah City Square, Johor Bahru. - utusan/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 18 Mei - Kompleks beli-belah City Square di sini terus menjadi 'lubuk rezeki' kepada pengemis dipercayai warga asing untuk menagih simpati daripada orang ramai.

Kelibat beberapa pengemis termasuk seorang wanita bersama bayinya mudah dilihat di laluan pejalan kaki di luar kompleks berkenaan yang menjadi tumpuan orang ramai.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini turut mendapati seorang wanita dipercayai ibu kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun hanya memerhati anaknya itu mengemis dari jauh.

Seorang kakitangan swasta, Siti Aisyah Kadir, 23, berkata, tanpa memikirkan keadaan cuaca sama ada hujan atau panas, kehadiran pengemis itu boleh dilihat di kawasan berkenaan dari pagi hingga ke petang terutama pada hujung minggu.

"Isu pengemis ini seolah-olah bermusim kerana sekejap ada sekejap tiada, namun jika dibiarkan begitu sahaja pasti akan menjejaskan imej bandar raya ini terutama kepada pelancong luar.

"Apa yang dikhuatiri adalah ada sindiket yang berselindung di sebalik pengemis ini dan wanita dan kanak-kanak yang mengemis itu yang menjadi mangsanya," katanya.

Menurut Siti Aisyah, selain kompleks berkenaan, lokasi lain yang turut menjadi pilihan para pengemis adalah di pekarangan tokong Cina bersebelahan Menara Ansar di sini.

Katanya, pihak berkuasa khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diminta menangani masalah pengemis tersebut bagi mengelaknya daripada berlarutan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved