Khamis, 8 Mei 2014

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Lelaki disyaki pengganas ditahan

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Anggota polis menahan seorang lelaki warga Somalia yang disyaki merupakan anggota kumpulan pengganas Al-Syabab yang berpangkalan di Afrika Timur dalam satu operasi khas di Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 8 Mei - Seorang lelaki warga Somalia yang disyaki anggota kumpulan pengganas Al-Syabab, ditahan dalam operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Selangor hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, suspek berusia 34 tahun itu turut berada dalam senarai nama dikehendaki polis antarabangsa (Interpol) kerana pembabitan dalam kegiatan pengganas.

"Pihak polis sedang menjalankan siasatan susulan ke atas suspek untuk mengenal pasti sama ada terdapat rangkaian anasir-anasir pengganas Al-Syabab yang mungkin bersembunyi atau menjalankan aktiviti yang boleh mengancam keselamatan Malaysia.

"Suspek disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan dan akan disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, menurut sumber keselamatan, dalam operasi tersebut, tiada senjata dirampas dan polis masih menyiasat cara suspek masuk dan sekiranya terdapat anggota lain daripada kumpulan tersebut di negara ini.

Katanya, suspek ditangkap kerana dikhuatiri akan merekrut warga Somalia di negara ini yang kebanyakannya menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dengan fahaman pengganas.

"Kita juga bimbang jika suspek menjalin hubungan dengan militan tempatan dan mewujudkan rangkaian anasir pengganas di negara ini. Setakat ini, kumpulan itu aktif di negara Afrika," ujar beliau yang memberitahu, Al-Syabab adalah kumpulan yang bertanggungjawab mengebom sebuah pusat beli belah di Nairobi, Kenya, tahun lepas.

Beliau turut memberitahu, polis mengharapkan sumber maklumat daripada perisik antarabangsa kerana Somalia merupakan sebuah negara yang masih belum aman sepenuhnya.

Al-Syabab yang berpangkalan di Somalia pernah menyertai kumpulan pengganas, Al-Qaeda pada 2012 dengan bermatlamat menegakkan undang-undang syariah atau negara Islam di beberapa buah negara miskin.

Sehingga kini, Al-Syabab dianggarkan mempunyai keahlian antara 4,000 hingga 6,000 orang.

Ditahan miliki 93 peket dadah

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
pengarang2utusan.com.my

MOHAMAD Laham (dua dari kiri) menunjukkan motosikal milik suspek yang dirampas di IPD Alor Gajah, Melaka, semalam.

ALOR GAJAH 8 Mei - Walaupun sudah 26 kali keluar masuk penjara atas kesalahan memiliki dadah, samun dan rompak sejak 1978, namun itu langsung tidak memberi keinsafan kepadanya yang kini sudah berusia 53 tahun.

Dia yang masih bujang itu sebaliknya ditangkap sekali lagi kerana memiliki dadah dalam serbuan di rumahnya di Kampung Ramuan China Besar, Masjid Tanah, di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohamad Laham berkata, hasilnya, polis menjumpai 93 peket plastik lut sinar disyaki heroin seberat 143.3 gram, satu peket plastik lut sinar serta satu tiub kaca mengandungi dadah jenis syabu seberat 12.3 gram dalam beg sandang milik suspek.

"Semasa serbuan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka itu, suspek cuba membuang dadah berkenaan dalam lubang tandas tetapi berjaya dihalang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan hasil daripada maklumat orang awam itu, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Kawasaki Z250 dan wang tunai berjumlah RM1,630.

Katanya, kesemua rampasan termasuk dadah itu dianggarkan berjumlah RM38,680.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek mula menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak 2012 di daerah Masjid Tanah, Lubuk China dan Rembau, Negeri Sembilan.

"Suspek yang positif dadah, hasil ujian air kencing, direman sehingga 13 Mei ini untuk siasatan lanjut," ujarnya sambil memberitahu, kes disiasat mengikut seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved