Rabu, 21 Mei 2014

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Diesel: KPDNKK isytihar perang

Posted: 21 May 2014 12:55 PM PDT

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

Mohd. Roslan Mahayudin menunjukkan gambar-gambar Ops Titik yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK dalam menggempur penyelewengan petrol, diesel dan gas petroleum cecair pada sidang akhbar di KPDNKK, Putrajaya, semalam. - BERNAMA

PUTRAJAYA 21 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengisytiharkan perang melalui Ops Titik ke atas petualang yang menjual serta menyeludup diesel bersubsidi sehingga mengakibatkan negara mengalami kerugian puluhan juta ringgit.

Pengarah Penguat Kuasa kementerian itu, Mohd. Roslan Mahayudin turut berikrar untuk mengambil tindakan paling tegas terhadap para anggota serta pegawainya yang tidak jujur kerana beliau tidak mahu adanya duri dalam daging di dalam organisasinya.

Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 250 kawasan panas atau hotspot di seluruh negara yang telah dikenal pasti dan sedia untuk digempur selepas didapati menjadi tempat jualan atau penyeludupan diesel bersubsidi kepada warga asing dan pihak industri.

Katanya, daripada 250 kawasan panas itu lebih 100 stesen minyak yang disifatkannya sebagai jahat dan kini diawasi kerana menjual diesel bersubsidi kepada pihak tidak bertanggungjawab demi mendapatkan keuntungan dalam masa singkat.

"Ops Titik telah bermula 15 Mei lalu sehingga 31 Disember depan. Sepanjang tempoh itu kita akan menggempur 250 kawasan panas bagi membolehkan mereka yang terlibat di dalam penyelewengan diesel bersubsidi ini dikenakan tindakan paling tegas," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Mingguan Malaysia dalam laporan eksklusifnya baru-baru ini mendedahkan bagaimana penyelewengan diesel bersubsidi sukar dibanteras apabila anggota agensi penguat kuasa secara berkumpulan melindungi sindiket dengan menerima rasuah 1 sen bagi setiap 1 liter diesel bersubsidi yang diselewengkan.

Sikap tidak amanah ini bukan sekadar melibatkan sesetengah anggota penguat kuasa di satu atau dua agensi penguat kuasa malah hampir semua agensi yang diberi tanggungjawab untuk membanteras penyelewengan diesel bersubsidi termasuk di laut.

Mohd. Roslan berkata, lokasi panas itu melibatkan kawasan sempadan, pedalaman serta berhampiran dengan zon industri terutama di Pantai Timur dan Lembah Klang.

"Selain pengusaha stesen minyak kita juga telah mengenal pasti pihak pemborong serta gudang-gudang simpanan yang didapati menjadi transit untuk sindiket itu beroperasi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Ops Titik akan turut dibantu oleh agensi-agensi lain seperti polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan aktiviti keji itu dihapuskan sehingga ke akar umbi.

Menjawab satu soalan beliau berkata, pengusaha minyak terlibat tahu yang mereka telah melakukan satu kesalahan apabila bertindak menjual diesel subsidi kepada pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

"Sebagai contoh sebuah stesen minyak di kawasan pedalaman yang menjual diesel melebihi kuota. Berdasarkan data ini sudah pasti kita syak yang stesen minyak tersebut melakukan penjualan diesel bersubsidi secara berlebihan kepada pihak tertentu," katanya.

Ditanya mengenai ketegasan kementeriannya berhubung soal integriti, Mohd. Roslan berkata, pihaknya tidak akan bersimpati terhadap anggota atau pegawai yang terbukti melakukan penyelewengan.

"Saya selalu berpesan kepada mereka bahawa kita ini pegawai penguat kuasa yang terbuka kepada rasuah. Jadi jauhi dengan segala godaan ini. Kita memang selalu bekerjasama dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menangkap mereka yang menyeleweng ini.

"Saya sering berpesan kepada pegawai bahawa jika mereka ditangkap kerana menyeleweng kita sama sekali tidak akan simpati. Orang yang hendak saya banteras terlebih dahulu bukan penyangak diesel bukan penyangak gas bukan penyangak petrol tetapi pegawai saya yang tidak jujur," katanya.

Berhubung harga diesel bersubsidi beliau berkata, harganya adalah RM2 seliter manakala harga di negara jiran dan industri adalah lebih tinggi iaitu berdasarkan kepada harga pasaran.

"Kebiasaannya dalam lingkungan RM3.50 ke RM4 seliter dan sebab itu berlaku penyelewengan diesel bersubsidi. Selain diesel pihak kami juga menggempur penyangak petrol dan penyangak gas," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Roslan berkata, pihaknya bersama Pasukan Petugas Khas Jabatan Peguam Negara telah menjalankan operasi pada akhir tahun 2013 sehingga minggu lalu dan hasilnya mereka berjaya merampas kapal beserta muatan diesel 1.34 juta liter di Pahang.

"Secara keseluruhan operasi bersepadu bersama pasukan ini berjaya menghasilkan 38 kes dengan rampasan diesel sebanyak 2.29 juta liter serta wang tunai RM949,929 serta pembekuan akaun bank anggota sindiket yang dianggar bernilai hampir RM51 juta," katanya.

Penyelewengan diesel tahap serius - SPRM

Posted: 21 May 2014 12:55 PM PDT

Azam Baki

KANGAR 21 Mei - Risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi melibatkan sindiket di negara ini dengan negara jiran kini berada di tahap serius.

Pengarah Bahagian Risikan SPRM, Datuk Azam Baki yang tidak menyebut negara jiran itu berkata, operasi sindiket terbabit berjalan dengan terancang dan bukan dilakukan oleh individu.

"Penyelewengan ini sampai tahap serius kerana unsur-unsur rasuah membabitkan penjawat awam dari pelbagai agensi sangat jelas manakala syarikat pembekal tidak terbabit," katanya.

Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis serah-terima tugas jawatan Pengarah SPRM Perlis oleh Alias Darus kepada Yaakop Angah di sini, hari ini.

Alias ditukarkan ke Kedah sebagai timbalan pengarah mulai 15 Februari lepas manakala Yaakop sebelum ini merupakan ketua cawangan SPRM Seberang Prai, Pulau Pinang.

Menurut Azam, ketirisan bermula di lapangan akibat sistem dan prosedur yang longgar selain harga bahan bakar itu antara yang termurah dalam kalangan negara ASEAN menyebabkan banyak pihak ingin mencari keuntungan mudah.

Katanya, pemantauan ketat di tempat-tempat yang dikenalpasti telah dilaksanakan sejak isu terbongkar malah SPRM bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain untuk membanteras terus penyelewengan itu.

Pengarah-pengarah SPRM negeri akan turut dilibatkan jika timbul isu berkaitan di negeri terbabit, kata Azam.

Sebelum itu, Yaakop berkata, pihaknya menerima 29 maklumat dakwaan rasuah sehingga semalam dan telah membuka tujuh kertas siasatan membabitkan tuntutan palsu dan penyalahgunaan kuasa dan satu kes telahpun didakwa di mahkamah.

Katanya, 37 kertas siasatan dibuka hasil 184 maklumat diterima tahun lepas kebanyakannya membabitkan masalah disiplin penjawat awam.

SPRM Perlis mengesyorkan tindakan tatatertib dan teguran dibuat terhadap mereka. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved