Isnin, 5 Mei 2014

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Laporan lengkap pendatang asing Sabah dibentang kepada YDP Agong

Posted: 05 May 2014 02:16 AM PDT

KUALA LUMPUR 5 Mei - Laporan lengkap siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi pendatang tanpa izin di Sabah akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 21 Mei ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pembentangan kali pertama itu dapat dilakukan selepas beberapa sesi pendengaran terpaksa ditangguhkan atas beberapa sebab sebelum ini temasuk insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu.

"Ini antara syarat yang telah ditetapkan kepada suruhanjaya iaitu satu pandangan menyeluruh melibatkan banyak pihak perlu dilakukan sepenuhnya sebelum laporan lengkap dibuat.

"...dan dalam hal ini kerajaan tidak pernah berkompromi berkenaan pendatang tanpa izin memandangkan laporan ini amat penting sebagai asas kepada sebarang tindakan lanjut," katanya semasa menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Lucas Umbul di Dewan Negara di sini.

Penubuhan RCI diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2012. Ditauliahkan pada 21 Sept 2012, suruhanjaya itu diberikan tempoh enam bulan untuk menyelesaikan siasatan dan membentangkan laporan serta cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong. - BERNAMA

Pengilang gesa Selangor pastikan krisis air tidak berulang

Posted: 05 May 2014 02:06 AM PDT

KUALA LUMPUR 5 Mei - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mendesak kerajaan negeri Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air supaya melaksanakan penyelesaian jangka panjang bagi memastikan bekalan air berterusan kepada pihak industri dan awam walaupun krisis air di Selangor sudah berakhir.

"Pihak industri perlu diberi maklumat terkini tentang situasi bekalan dan diberi notis yang mencukupi jika berlaku catuan air pada masa hadapan," kata FMM cawangan Selangor dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan kajian yang dijalankan dalam kalangan pekilang FMM di Selangor, lebih separuh daripada responden berkata, mereka mengalami kerugian dari segi pengeluaran dan tempahan pelanggan akibat catuan air.

"Beberapa syarikat memberi respons bahawa jika catuan air berpanjangan sehingga enam bulan lagi, ia akan mengakibatkan penutupan atau pemindahan kilang ke luar negara, manakala yang lain akan menangguhkan pelaburan untuk pembesaran perniagaan mereka," katanya.

Memandangkan ada kemungkinan catuan air akan dibuat semasa musim kemarau yang dijangka bermula dari Jun hingga Oktober, FMM mahu pengeluar melaksanakan pelan kontingensi seperti penyimpanan air hujan, memasang tangki air yang lebih besar dan menggunakan air bawah tanah. - BERNAMA

Vendeur Festival 2014 himpun 400 usahawan online

Posted: 05 May 2014 01:43 AM PDT

Oleh FAIZAH IZZANI

KUALA LUMPUR 5 Mei - Vendeur Festival 2014 bakal menghimpunkan kira-kira 400 usahawan online yang rata-ratanya terdiri daripada golongan muda bagi mempamerkan produk jualan masing-masing pada hujung minggu ini.

Pengurus Projek Vendeur Festival 2014, Erlin Khairy, 27 berkata, festival yang mengetengahkan usahawan-usahawan online dari seluruh negara itu akan diadakan di Stadium Tertutup Melawati, Shah Alam pada 10 dan 11 Mei ini, bermula pukul 10 pagi sehingga 10 malam.

"Idea menganjurkan Vendeur Festival ini timbul apabila kami mendapati semakin ramai anak muda berminat menceburi perniagaan online terutama di laman sosial seperti Instagram.

"Keusahawanan online menjadi pilihan terbaik buat mereka kerana faktor kekangan modal, mereka tidak dapat menyewa kedai atau butik fizikal memandangkan kos yang agak tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Erlyn, selain butik pakaian Ashhannas, acara itu turut mengetengahkan usahawan online yang juga merupakan selebriti terkenal tanah air dengan jenama sendiri seperti Neelofa, Azwan Ali, Ayda Jebat, Rozita Che Wan dan pengasas D'Herbs Healthy Sdn. Bhd., Datuk Aliff Syukri Kamarzaman.

Erlin merupakan pengasas projek festival itu bersama-sama empat lagi rakannya, iaitu Annas Easkey, Sayang Ernina Erwin Suderman, Ashhry Atan dan Fairul Hafizy.

Sementara itu, Ashhry berkata, Vendeur Festival dua hari itu akan menghimpunkan usahawan online dengan produk-produk trend terkini yang menjadi kegemaran anak-anak muda seperti pakaian, aksesori, beg tangan, kasut, makanan, hasil kreativiti seni dan banyak lagi. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved