Khamis, 22 Mei 2014

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


LHDN sasar kutip RM140.15 bilion pada 2014, kata Ahmad

Posted: 22 May 2014 12:14 AM PDT

TELUK INTAN 22 Mei - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasarkan kutipan cukai sebanyak RM140.15 bilion tahun ini, berbanding RM128.9 bilion tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai memandangkan sehingga 30 April ini, sebanyak RM41.5 bilion sudah dikumpul.

Beliau juga berharap rakyat perlu melihat tanggungjawab membayar cukai sebagai satu kewajipan kepada negara dan tidak harus dianggap sebagai membebankan.

``Kita mahu rakyat melihat pembayaran cukai sebagai perkara positif dan pembayar cukai sebagai orang yang patriotik,'' katanya kepada pemberita selepas melawat cawangan LHDN Teluk Intan, di sini hari ini.

Ahmad berkata, rakyat perlu memahami bahawa setiap ringgit yang dibayar melalui cukai dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk perkhidmatan dan pembangunan.

Sementara itu, beliau juga berpuas hati dengan kutipan LHDN cawangan Teluk Intan yang berjaya mengutip RM350.5 juta tahun lalu, berbanding RM328 juta pada 2012.

``Terdapat 85,296 pembayar cukai termasuk individu dan syarikat di Teluk Intan. Saya ucapkan tahniah kepada LHDN cawangan Teluk Intan,'' katanya.

Menyentuh mengenai kedudukan daya saing Malaysia yang meningkat tiga mata ke tangga ke-12 dalam kalangan 60 negara (Laporan Tahunan Daya Saing Dunia), beliau berkata ia menunjukkan bukti kukuh pencapaian baik kerajaan pimpinan BN.

Tahun lepas Malaysia menduduki tempat ke-15 dalam Laporan Tahunan Daya Saing Dunia, yang dikeluarkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan berpangkalan di Switzerland. - BERNAMA

SPA laksanakan peperiksaan dalam talian tapis pemohon

Posted: 22 May 2014 12:02 AM PDT

ALOR SETAR 22 Mei - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan melaksanakan peperiksaan secara dalam talian bagi memudahkan pemohon sebelum dipanggil untuk temu duga.

SPA dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan peperiksaan secara dalam talian itu merupakan satu langkah transformasi dalam usaha menambah baik perkhidmatan yang disediakan.

Katanya, untuk melantik penjawat awam yang terbaik, peperiksaan merupakan satu daripada tapisan sebelum seseorang calon dipanggil untuk temu duga.

``Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun, akan merasmikan majlis pra pelancarannya pada 27 Mei (Selasa) di ibu pejabat SPA Putrajaya bagi jawatan pegawai pembangunan masyarakat gred S41 melibatkan 3,000 orang calon,'' menurut SPA dalam satu kenyataan sempena Persidangan Tahunan Suruhanjaya-suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia kali ke-17 di Langkawi yang berakhir hari ini.

Majlis penutupan persidangan yang bermula Isnin itu disempurnakan Joseph Entulu.

Menurut SPA pada 2013, statistik permohonan calon untuk memasuki perkhidmatan awam melebihi dua juta dan bagi empat bulan pertama tahun ini, melebihi satu juta calon.

``Ia merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah SPA dalam tempoh yang singkat serta boleh dibanggakan hasil daripada transformasi yang telah dilaksanakan dari semasa ke semasa,'' katanya.

Menurut kenyataan itu, sepanjang empat hari persidangan berkenaan pelbagai perbincangan dan resolusi serta cadangan dibentangkan hasil daripada lima kertas kerja selari dengan tema persidangan iaitu ``Menjiwai Transformasi Mendepani Cabaran.''

Lima kertas kerja tersebut adalah ``Keberhasilan Transformasi SPA'', ``Konsep Tahan Kerja dan Gantung Kerja'', ``Pengalaman dan Inisiatif PDRM Untuk Menarik Kaum Bukan Bumiputera Menyertai Perkhidmatan Awam'', ``Transformasi Perkhidmatan Awam'' dan ``Kuasa dan Budi Bicara Suruhanjaya: Sejauh Mana Kebebasannya?''. - BERNAMA

Malaysia harap TPP dimuktamadkan dengan terma boleh diterima negara menjelang akhir tahun : Najib

Posted: 21 May 2014 10:37 PM PDT

TOKYO 22 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia berharap Perkongsian Trans Pasifik (TPP) dimuktamadkan dengan terma boleh diterima negara, kemungkinan menjelang akhir tahun ini.

``Kita cuba sebab mula-mula mereka sasarkan akhir tahun sudah tapi dalam Sidang Kemuncak Asia Timur di Bali, saya kata tak mungkin, tak boleh menjadi kenyataan, tetapi kita harap menjelang akhir tahun ini kata sepakat boleh dicapai,'' kata perdana menteri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-20 mengenai Masa Depan Asia bertema ``Kebangkitan Asia: Mesej Untuk 20 Tahun Akan Datang'' di sini.

Kunjungan ini adalah yang kedua oleh Najib sebagai penyampai ucaptama pada persidangan itu, selepas kemunculan pertama pada Persidangan Nikkei ke-17 pada 2011.

Bagaimanapun Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, sekiranya tarikh akhir ini tidak dapat dicapai, Malaysia akan meneruskan rundingan ini kerana yang penting bukan tarikh akhir tetapi lebih kepada kandungan TPP itu.

Beliau menjelaskan kandungannya ialah untuk mencapai dua objektif utama TPP, satu untuk menjadi satu perjanjian yang boleh mengembangkan perdagangan bebas dan membawa manfaat dari segi pertumbuhan ekonomi dan pelaburan dan kedua ialah menjaga kedaulatan negara berdasarkan prinsip-prinsip yang diamalkan.

``Kita berpegang kepada dua prinsip ini dan saya tidak mahu dasar-dasar yang kita amalkan terjejas disebabkan perjanjian TPP ini,'' kata beliau.

Sehubungan itu, perdana menteri telah memberi arahan kepada para perunding Malaysia supaya merundingkan satu bentuk perjanjian yang boleh diterima pakai oleh negara ini iaitu TPP mengikut terma kita.''

Ditanya mengenai pandangan rakyat terhadap TPP ini, Najib menjelaskan yang rakyat masih belum dimaklumkan sepenuhnya mengenainya kerana TPP masih dalam perundingan.

``Kalau sudah selesai nanti baru kita akan bentangkan butirannya. Walaupun Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) sudah buat banyak perbincangan dengan banyak kelompok untuk menerangkan prinsip TPP ini tetapi kandungan sebenarnya kena tunggu sehingga keseluruhan proses selesai,'' kata beliau.

Najib berkata, sebaik sahaja selesai perundingan, kandungan TPP ini akan dibentangkan kepada rakyat dan seterusnya ke Parlimen untuk mendapat pengesahan.

Beliau tidak menafikan rundingan TPP ini turut menjadi bahan untuk dipolitikkan sambil menambah: ``Memanglah, itu kerja pembangkang. Dia akan bangkang segalanya. Mana yang baik untuk rakyat mereka tentang tetapi ada kalanya kebaikan itu tidak boleh dilihat dalam jangka pendek.''

Terdahulu, dalam ucaptamanya, Najib berkata TPP akan mengukuhkan hubungan Malaysia dengan dunia yang lebih luas, seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau, yang akan membawa tiga daripada ekonomi terbesar ke dalam blok dagangan terbesar dunia.

``Dalam ekonomi global yang saling bergantung, manfaat kerjasama yang lebih erat diperluas melangkaui sempadan Asia,'' kata beliau.

Persidangan itu dianjurkan oleh kumpulan media antarabangsa, Nikkei Inc, Jepun.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nikkei Inc, Tsuneo Kita. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved