Rabu, 21 Mei 2014

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Najib ucap takziah kepada keluarga Tunku Annuar

Posted: 21 May 2014 03:27 AM PDT

KUALA LUMPUR 21 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Almarhum Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah atas kemangkatan baginda tengah malam tadi.

``Takziah kepada keluarga Tengku Bendahara Kedah, Tunku Annuar. Semoga roh Almarhum ditempatkan dalam golongan yang beriman. Al-Fatihah,'' kata Najib dalam catatan Twitter beliau hari ini.

Almarhum mangkat di Hospital Pantai Ipoh, Perak pada pukul 12.20 tengah malam.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir mengumumkan tempoh perkabungan negeri itu selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 27 Mei dan sepanjang tempoh itu, semua bentuk hiburan, keramaian serta perayaan dibatalkan.

Sebagai penghormatan ke atas kemangkatan Tunku Bendahara Kedah itu, hari ini diisytiharkan sebagai hari kelepasan am bagi seluruh negeri Kedah.

- BERNAMA

Risikan SPRM dapati penyelewengan diesel di tahap serius

Posted: 21 May 2014 03:18 AM PDT

KANGAR 21 Mei - Risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi melibatkan sindiket di negara ini dengan negara jiran kini berada di tahap serius.

Pengarah Bahagian Risikan SPRM, Datuk Azam Baki yang tidak menyebut negara jiran itu berkata, operasi sindiket terbabit berjalan dengan terancang dan bukan dilakukan oleh individu.

``Penyelewengan ini sampai tahap serius kerana unsur-unsur rasuah membabitkan penjawat awam dari pelbagai agensi sangat jelas manakala syarikat pembekal tidak terbabit,'' katanya.

Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis serah-terima tugas jawatan Pengarah SPRM Perlis oleh Alias Darus kepada Yaakop Angah di sini, hari ini.

Alias ditukarkan ke Kedah sebagai timbalan pengarah mulai 15 Februari lepas manakala Yaakop sebelum ini merupakan ketua cawangan SPRM Seberang Prai, Pulau Pinang.

Menurut Azam, ketirisan bermula di lapangan akibat sistem dan prosedur yang longgar selain harga bahan bakar itu antara yang termurah dalam kalangan negara Asean menyebabkan banyak pihak ingin mencari keuntungan mudah.

Katanya, pemantauan ketat di tempat-tempat yang dikenalpasti telah dilaksanakan sejak isu terbongkar malah SPRM bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain untuk membanteras terus penyelewengan itu.

Pengarah-pengarah SPRM negeri akan turut dilibatkan jika timbul isu berkaitan di negeri terbabit, kata Azam.

Sebelum itu, Yaakop berkata, pihaknya menerima 29 maklumat dakwaan rasuah sehingga semalam dan telah membuka tujuh kertas siasatan membabitkan tuntutan palsu dan penyalahgunaan kuasa dan satu kes telahpun didakwa di mahkamah.

Katanya, 37 kertas siasatan dibuka hasil 184 maklumat diterima tahun lepas kebanyakannya membabitkan masalah disiplin penjawat awam.

SPRM Perlis mengesyorkan tindakan tatatertib dan teguran dibuat terhadap mereka. - BERNAMA

Tiada rombakan Exco Terengganu - Ahmad Razif

Posted: 21 May 2014 02:00 AM PDT

KUALA TERENGGANU 21 Mei - Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman hari ini berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kekal dengan sembilan anggota yang ada sekarang.

Beliau berkata ketika ini, tidak ada keperluan untuk membuat rombakan Exco sebab apa yang ada sekarang berjalan dengan baik.

``Setakat ini tidak ada pertambahan Exco. Kita tidak bercadang untuk buat perubahan terhadap Exco yang ada sekarang kerana ia tidak ada keperluan ketika ini.

``Kalau adapun perubahan, mungkin tambahan portfolio yang akan berlaku kepada Anggota Exco yang lain,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco pertama selepas dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu pada 12 Mei lepas.

Ahmad Razif berkata beliau akan mengekalkan portfolio yang disandangnya sebelum ini sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Negeri.

Selain itu, beliau memangku portfolio bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancangan; Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan; Jawatankuasa Tanah, Petroleum, Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan mengkaji kadar cukai pintu berasaskan keperluan dan kebajikan kepada rakyat setelah kadar itu tidak berubah sejak 1981.

``Kita akan lihat semula di mana beberapa pilihan yang akan diambil, tetapi tidaklah sampai kenaikan sehingga 600 peratus.

``Perkara itu hanya diperbesarkan oleh pihak pembangkang sedangkan kerajaan belum membuat keputusan mengenai perkara itu,'' katanya.

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga akan melihat makluman balas pihak lain sebelum membuat pertimbangan terbaik mengenai perkara itu.

- BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved