Isnin, 12 Mei 2014

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Kayu karas ibarat emas

Posted: 11 May 2014 11:36 PM PDT

Hutan kita kaya dengan pelbagai khazanah pelbagai jenis pokok yang besar sehinggalah kepada renek dan herba.

Satu daripada pokok kayu popular dan bernilai tinggi, yang terdapat dalam hutan negara ini ialah kayu karas yang terkenal kerana mengeluarkan minyak gaharu.

Nilai minyak gaharu bukan asing di kalangan rakyat negara ini kerana aromanya yang menarik perhatian.

Minyak gaharu mempunyai sebatian atau kandungan kimia yang pelbagai antaranya kunusol, jinkohol, jinkohol II, alfa agrofuran, sesquiterpenes, chromone derivatives dan agarospirol.

Ada laporan menunjukkan bahawa minyak gaharu dikatakan digunakan sejak 2,000 tahun dahulu di negara Timur Tengah, China dan Jepun.

Sebab itulah pokok karas merupakan sejenis kayu termahal di dunia kerana mempunyai nilai komersial dan banyak didagangkan di peringkat antarabangsa.

Antara agensi yang menjalankan penyelidikan mengenai kayu karas ini ialah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), menerusi projek penubuhan ladang hutan karas.

Berdasarkan kajian, terdapat 25 spesies karas di seluruh dunia dan lima daripadanya terdapat di negara ini. Spesies yang paling popular dalam pengeluaran gaharu ialah Aquilaria mallacensis.

Harga minyak gaharu ini agak tinggi, malah untuk kuantiti berisipadu 12 mililiter (ml) atau 1 tolla mencecah RM2,000 pada gred yang biasa.

Pada masa sama, permintaan terhadap pokok ini telah meningkat sehingga 4.5 juta kilogram dengan harga mencecah RM 18 bilion sedangkan, sumbernya diperoleh daripada hutan

Pada 1998, dilaporkan bahawa harga kayu gred A ialah RM1,800 sekilogram dan kini mencecah RM20,000 pada kuantiti yang sama.

Walaupun gaharu telah mula digunakan semenjak 2000 tahun dahulu dan perdagangan terbesar di kawasan Timur Tengah, kini permintaan dan perdagangan dan penggunaan gaharu telah meningkat di Eropah, China dan juga Jepun sejak tahun 2005.

Di Malaysia, penyelidikan mengenai gaharu bermula di FRIM sejak 1990-an lagi tetapi kajian sistematik hanya bermula dua tahun kemudian.

Kajian tersebut meliputi banyak aspek iaitu bahan tanaman, penanaman, pertumbuhan, suntikan atifisial, komposisi kimia, penggredan, pemprosesan dan penghasilan produknya.

Kajian di FRIM juga melibatkan perladangan pokok karas yang kini berjumlah 370 pokok yang ditanam sejak 1997.

Pokok karas yang terkenal adalah daripada genus Aquilaria dan terdapat 25 spesies Aquilaria di dunia dan daripada jumlah itu 15 daripadanya menghasilkan gaharu dan lima daripadanya di negara ini.

Di bawah FRIM kajian tersebut adalah merujuk kepada hasil bukan kayu yang bernilai tinggi kerana didagangkan ke peringkat antarabangsa dan berpotensi untuk dijadikan spesies komoditi.

Oleh kerana permintaan terhadap kayu gaharu yang tinggi, pokok karas telah dieksploitasi secara berlebihan sehingga menghadapi ancaman kepupusan. Tambahan pula, gaharu yang diperoleh dari hutan asli buat masa ini mempunyai nilai yang tinggi.

Dek kerakusan mereka yang mencari keuntungan secara berleluasa tanpa memikirkan kesan dan akibatnya termasuk menebang secara haram, menyebabkan pokok karas dari spesies Aquilaria malaccencis telah disenaraikan dalam Appendix II di bawah Konvensyen Mengenai Perdagangan Antarabangsa Bagi Spesies Terancam (CITES) pada semenjak tahun 1995 lagi.

Kajian oleh seorang penyelidik FRIM, Dr. Mohd. Noor Mahat tertumpu kepada pembiakbakaan yang boleh dimanfaatkan dalam tanaman ladang.

Beliau berkata, aktiviti penggunaan pokok karas yang berlebihan juga antara faktor yang menyebabkan bilangannya semakin berkurangan di dalam hutan.

Meskipun menyedari bahawa pokok berkenaan bernilai tinggi, usaha untuk menanam pokok berkenaan di ladang berskala besar secara lebih teratur mengikut perundangan antarabangsa mahupun tempatan masih lagi belum terlaksana sepenuhnya walaupun bekalan dari hutan yang semakin sangat berkurangan.

Lebih malang lagi, banyak aktiviti penebangan haram telah memusnahkan pokok karas dengan sia-ia kerana tidak mempunyai minyak gaharu

Sehubungan itu, beliau telah menjalankan penyelidikan mengenai pembaikbakaan pokok karas pada 2004, dan berjaya menghasilkan empat varieti tanaman pokok karas melalui pemilihan yang telah diklonkan dan kini masih dalam penyelidikan lanjutan untuk ditanam diladang.

Beliau berkata, perlu untuk menghasilkan baka baru pokok karas atau cultivated variety kerana permintaan yang tinggi terhadap penanaman berskala besar.

Nilai pasaran yang tinggi terhadap gaharu serta kegunaannya mendorong saya menjalankan penyelidikan biak baka ini. Tambahan pula eksploitasi berlebihan di hutan boleh menyebabkan pokok diancam kepupusan," ujarnya.

Usaha beliau itu sepatutnya mendapat perhatian terutama daripada industri yang selama ini sangat memerlukan bantuan penyelidikan dan teknologi untuk memacu perkembangannya.

Menggredkan kualiti gaharu

Posted: 11 May 2014 11:36 PM PDT

Penggunaan peralatan berteknologi tinggi seperti Gaharu Sense penting bagi menentukan kualiti minyak yang dihasilkan.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah mula menjalankan penyelidikan mengenai gaharu sejak awal 1990-an lagi.

Penyelidikan itu melibatkan pelbagai perkara berkaitan gaharu antaranya kajian biologi tentang spesies yang menghasilkan gaharu, pengaruhan pembentukan gaharu, kajian kimia, kultur tisu, perladangan, kepelbagaian genetik dan sosioekonomi.

Menurut Ketua Program Pembangunan Produk Herba, Bahagian Hasilan Semula Jadi FRIM, Dr. Nor Azah Mohamad Ali, kajian beliau lebih tertumpu kepada pembangunan produk seperti penghasilan rumusan dan kawalan kualiti minyak pati gaharu yang dihasilkan.

Beliau yang berkata, antara penyelidikan terkini yang dijalankan ialah menggredkan minyak bagi membantu industri.

Katanya, minyak gaharu mempunyai keunikan dan kualiti berbeza yang menjadi faktor ia digredkan secara berlainan sama ada A, B, C mahupun D.

Bagi memastikan minyak gaharu adalah berkualiti dan bertepatan dengan gred yang diberikan, FRIM mempunyai pendekatan yang saintifik dan sistematik," katanya.

Minyak gaharu juga boleh diprofilkan menggunakan kaedah pengekstrakan yang lebih mudah dan tanpa pelarut melalui teknik headspace-Solid Phase Microextraction (HS-SPME) yang digabungkan dengan GC/MS.

Pengawalan kualiti minyak gaharu amat penting bagi memastikan ia mempunyai piawaian yang seragam dan seterusnya boleh digunakan dalam pembangunan produk-produk yang bermanfaat dan berkualiti tinggi.

Teknik pemprofilan kimia itu telah mula ditawarkan kepada pihak industri gaharu dan boleh digunakan untuk mencirikan kualiti minyak gaharu tempatan.

Menurutnya, minyak gaharu amat bernilai dan kini banyak digunakan di gunakan dalam bahan pewangi.

Minyak gaharu juga boleh diadun dalam pelbagai produk penjagaan diri.

Selain minyak gaharu, penyelidikan FRIM juga tertumpu kepada khasiat daun karas melibatkan kajian terperinci terhadap pencirian kimia dan bioaktiviti biologi sedang dijalankan.

Setakat ini, FRIM telah menghasilkan satu rumusan ekstrak daun karas yang didapati mengandungi aktiviti antioksidan yang berupaya memelihara sel kulit daripada kerosakan radikal bebas.

Ekstrak daun karas telah dibangunkan dalam rangkaian produk prototaip penjagaan harian khusus untuk lelaki seperti pencuci tangan, pencuci muka untuk kulit sensitif dan kulit berminyak, toner penyegar, krim pelembap, pelembap bibir dan serum antioksidan berteknologi nano untuk merawat masalah kulit lelaki secara umum.

Produk-produk protaip ini akan diuji terhadap keselamatan, alahan dan juga kesesuaian terhadap kulit pengguna dengan mengunakan skin testing equipment bagi menjamin kualiti produk yang dihasilkan.

Teknologi penggredan

Gaharu sense adalah satu sistem pengkelasan pintar bagi mutu kayu gaharu yang telah dibangunkan oleh FRIM yang berkonsepkan penggunaan teknologi alat pengesanan bauan.

Objektif utama teknologi gaharu sense adalah bagi mengenal pasti mutu kayu gaharu berdasarkan tindak balas alat pengesanan yang unik dan membandingkannya dengan data-data dalam pangkalan data sedia ada. Kaedah tersebut penting bagi menentukan sesuatu mutu sampel gaharu sama ada bergred tinggi atau rendah.

Gaharu Sense terdiri daripada gabungan beberapa proses bermula dengan pengumpulan data-data tindak balas alat pengesanan bauan daripada kayu-kayu gaharu ke dalam pangkalan data. Seterusnya ialah proses klasifikasi dilakukan bagi mengenal pasti sampel baru yang tidak diketahui tahap mutunya.

FRIM kini dalam proses menambah baik sistem pengredan kayu gaharu sedia ada dengan mengintergrasikan teknik-teknik klasifikasi pintar yang pelbagai bagi menghasilkan hasilan ujian yang lebih baik dan konsisten.

Salah satu daripada teknik tersebut yang mengunakan sistem jaringan neural tiruan (ANN) telah dihantar untuk pengfailan paten Gaharu Sense - A Method For Classifiying Agarwood (PI 2010004584).

Teknologi ini telah meraih pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa

Dalam pada itu , Dr. Nor Azah menambah, industri telah memainkan peranan penting dalam pembangunan pokok karas dengan mencuba teknik inokulasi berbeza.

Bagaimanapun FRIM akan meninjau kayu gaharu yang dihasilkan itu dan menawarkan perkhidmatan antaranya mengekstrak minyak selain penggredan minyak dan terbaru dan penggredan kayu.

FRIM telah menemui pendekatan yang lebih sistematik dan saintifik dengan menggunakan peralatan saintifik yang berteknologi tinggi untuk menentukan kualiti gaharu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved