Sabtu, 26 April 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Teluk Intan pusat pelancongan

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

Oleh AIN SAFRE BIDIN
utusanperak@utusan.com.my

Mohd. Azhar Jamaludin melakukan gimik pecah tanah untuk pembinaan gelanggang futsal di Kampung Bahagia, Teluk Intan, Perak, kelmarin. - utusan/ AIN SAFEE BIDIN

TELUK INTAN 25 April - Kerajaan negeri menyasarkan untuk menjadikan pekan Teluk Intan sebagai pusat pelancongan bertaraf antarabangsa dalam masa lima tahun akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin berkata, bagi tujuan itu, beberapa pembangunan baharu diadakan termasuk menyediakan pekan kecil di Simpang Tiga, Batu Sembilan dekat Jalan Changkat Jong dan pasar tani kekal di Selabak Luar yang menelan belanja kira-kira RM2 juta.

"Kita akan menaik taraf produk pelancongan di daerah ini termasuk menyediakan perkhidmatan feri di pesisir Sungai Perak.

"Melalui perkhidmatan itu, pelancong dari dalam dan luar negara akan dibawa melihat keindahan Pulau Sembilan dan tebing sungai Teluk Intan. Perkara ini telah pun dibincangkan bersama Menteri Pelancongan dan Kebudayaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan berupa barang keperluan dapur di Dewan Orang Ramai Kampung Bahagia di sini baru-baru ini.

Dalam majlis itu, seramai 200 penduduk dari 13 kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong menerima bantuan yang disediakan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

Mohd. Azhar berkata, kerajaan negeri juga meluluskan empat padang futsal di Sungai Samak, Kampung Air Hitam, Kampung Selabak dan Kampung Bahagia yang menelan kos sebanyak RM600,000.

Katanya, kawasan Batu Lapan di sini juga dilihat berpotensi untuk dibangunkan bagi membina kolej komuniti, pusat pengajian dan taman rekreasi di atas tanah seluas 12 hektar yang bakal menelan belanja sebanyak RM5 juta.

Orang ramai dinasihat jangan pinjam ah long

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

TASEK GELUGOR 25 April - Penduduk di Daerah Seberang Perai Utara diminta berhati-hati dan tidak membuat pinjaman wang dengan ah long kerana tindakan itu boleh memudaratkan mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Supritendan Shukri Awang berkata, ini kerana risiko meminjam dengan pemberi pinjaman tanpa lesen mereka terdedah dengan ugutan jenayah kekerasan oleh pemberi pinjaman terbabit.

Beliau berkata, setakat ini, dua kes tangkapan ke atas ah long telah dibuat di Butterworth dan Tasek Gelugor tahun ini.

"Hasil tangkapan itu, kita telah merampas kereta, telefon bimbit, kad pinjaman dan pelbagai akaun bank dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pember Pinjaman Wang 1951," katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai Operasi Cantas Khas bagi menurunkan iklan/poster pinjaman

wang ah long di Sungai Dua di sini hari ini.

Selain itu, Shukri berkata, pihaknya juga sedang menyiasat satu kes penipuan melibatkan pinjaman wang yang tidak wujud melibatkan kerugian RM3,000 tahun ini.

"Mangsa yang kesempitan wang telah menghubungi suspek melalui iklan pemberi pinjaman wang untuk membuat pinjaman sebanyak RM20,000.

"Suspek telah mengarahkan mangsa membuat pembayaran pendahuluan sebagai satu proses pinjaman ke dalam akuan yang diarahkan dan selepas itu mangsa gagal menghubungi suspek," katanya.

Shukri berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai menjauhi dan tidak berurusan dengan ah long kerana risiko apabila kegagalan membayar balik pinjaman dikenakan faedah tinggi yang akan membebankan peminjam.

Sementara itu, sebanyak 4,561 poster/kain rentang ah long diturunkan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bagi tempoh Januari hingga Disember di daerah itu tahun lalu.

"Sebanyak 1,518 poster/bunting diturunkan dalam tempoh Januari hingga Mac lalu," ujarnya.

UiTM Perlis bebas asap tembakau

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

ARAU 25 April - Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis menjadi perintis kepada institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini apabila mengisytihar kawasannya bebas daripada asap tembakau demi memelihara persekitaran sosial yang selamat, aman dan tenteram serta seiring dengan komponen Perlis Maju 2015.

Rektornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Redzuan Abd. Rahman berkata, dengan pengisytiharaan ini juga maka hak golongan minoriti yang bukan perokok akan dilindungi daripada pencemaran udara disebabkan asap tembakau.

"Usaha ini sekali gus akan dapat menggalakkan budaya tidak merokok sebagai amalan cara hidup sihat dalam kalangan warga UiTM Perlis," katanya ketika berucap pada majlis pengisytiharaan UiTM Perlis Bebas Asap Tembakau di Dewan Sri Semarak di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ghazali Othman.

Ahmad Redzuan berkata, bagi merealisasikan usaha itu pihaknya akan terus membina keupayaan dan jaringan kerjasama antara agensi yang berkaitan.

"Warga kampus juga perlu lebih aktif dan kreatif dalam membuat perubahan kepada cara hidup sihat," katanya.

Beliau berkata, kempen secara berkala perlu dilakukan menerusi penyebaran maklumat yang berkaitan tentang bahaya asap tembakau.

Katanya, seluruh warga kampus juga perlu bekerjasama bagi menjalankan agenda pentingnya menjaga persekitaran yang sejahtera.

Sementara itu Dr. Ghazali berkata, pihaknya amat menghargai usaha yang ditunjukkan oleh pihak UiTM untuk membebaskan kampusnya dari asap tembakau.

"Kami berharap UiTM menjadi institusi pertama di negeri ini yang diberi pengiktirafan Pensijilan Blue Ribbon," katanya.

Katanya, Kementerian Kesihatan dan Lembaga Promosi Kesihatan (mySihat) di kementerian itu telah menyediakan satu platform Pensijilan Blue Ribbon kepada mana-mana premis yang memberi komitmen ke arah memastikan premis atau kawasan mereka bebas asap tembakau.

Menurut beliau, pihaknya juga akan memberikan kerjasama kepada UiTM daripada aspek teknikal pelaksanaan program bebas asap tembakau dan juga aspek penguatkuasaan peraturan mengikut kepada keperluan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved