Ahad, 27 April 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Seri lagi, Safee gagal jaring penalti

Posted: 27 Apr 2014 11:39 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Safee Sali

KUALA LUMPUR - Diberikan sepakan penalti pada minit terakhir permainan, Safee Sali bagaimanapun meranapkan impian peminat Harimau Malaya apabila dia gagal menewaskan penjaga gol Filipina, Patrick Deyto untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 dalam perlawanan persahabatan di Cebu malam tadi.

Keputusan ini melebarkan rekod seri kedua-dua pasukan kepada empat sepanjang pertemuan mereka di peringkat antarabangsa dalam tempoh dua tahun.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya rekod tanpa kalah jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee sejak menggantikan Datuk K. Rajagobal bersama Harimau Malaya masih kekal selepas tiga perlawanan.

Harimau Malaya kelihatan terkapai-kapai beraksi di atas padang yang jelas tidak sesuai untuk perlawanan antarabangsa dan sering kali terperangkap dengan pergerakan pemain Filipina.

Pendekatan Kim Swee memilih corak permainan bertahan dengan meletakkan Mohd. Norfarhan Muhammad sebagai penyerang tunggal menyebabkan mereka hanya berharap kepada serangan balas bagi mendapatkan jaringan.

Mujur aksi kemas di bahagian pertahanan yang diterajui Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak dan Fadhli Shas memastikan Filipina yang menguasai lebih 60 peratus permainan tidak mampu mendapatkan sebarang jaringan dan mengulangi keputusan yang sama di Stadium Selayang, 1 Mac lalu.

Kim Swee terpaksa memasukkan Baddrol Bakhtiar di bahagian tengah selepas Safiq Rahim disahkan tidak mampu bermain apabila gagal pulih daripada kecederaan tapak kaki dengan Junior Eldstal turut diletakkan di dalam kesebelasan utama bagi mengimbangi kelebihan fizikal yang dimiliki pemain Filipina.

Babak pertama memperlihatkan kelonggaran yang cukup ketara terutama di bahagian tengah dengan asakan menggila dilancarkan oleh tuan rumah terutama menerusi James Younghusband dan Simone Rota selain banyak melancarkan hantaran lintang ke dalam kotak penalti.

Harimau Malaya yang banyak mengharap serangan balas membuat percubaan terbaik menerusi Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-11 yang sekadar menyepak lemah dan bola terus ke dakapan Patrick.

Kecekapan Patrick yang bijak mengagak gerakan solo Junior Eldstal yang sebelum itu menewaskan dua pertahanan Filipina menyelamatkan pintu gol tuan rumah daripada dibolosi pada minit ke-61.

Namun, dua minit kemudian Patrick nyaris menghadiahkan jaringan kepada skuad negara apabila tidak dapat menampan bola hantaran belakang rakan sepasukan, Martin Steuble namun bola tidak menepati ke arah pintu gol.

Kehadiran Nathaniel Burkey yang masuk selaku pemain gantian jelas memberikan banyak masalah kepada pertahanan negara yang mendapat banyak peluang keemasan memecahkan kebuntuan jaringan.

Pada minit ke 75, percubaan Nathaniel sekadar sipi walaupun berada di hadapan pintu gol dan tiga minit kemudian bola sepakannya singgah di palang gol hasil rembatan dari luar kotak penalti.

Skrip perlawanan hampir sahaja berubah pada minit ke-90 apabila bola mengenai tangan Steuble dan pengadil perlawanan dari Indonesia, Thoriq Munir menghadiahkan sepakan penalti kepada Harimau Malaya.

Safee, yang baru sahaja masuk menggantikan Amri dua minit sebelum itu dan belum menyentuh bola, merembat ke kanan pintu gol tetapi dikecewakan oleh Patrick sekali gus memberi kelegaan kepada 5,000 penonton tuan rumah yang hadir.

Malaysia tumpas lagi

Posted: 27 Apr 2014 11:39 AM PDT

KUANTAN - Tuah tidak menyebelahi pasukan kebangsaan lagi apabila tewas 1-3 kepada Korea Selatan dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan B, kejohanan hoki Cabaran Juara-juara 1 (CC1) di Stadium Hoki Indera Mahkota di sini malam tadi.

Ini merupakan kekalahan kedua bagi Malaysia selepas kalah kepada Perancis 2-3 pada perlawanan pertama kelmarin.

Dalam perlawanan tersebut, Korea Selatan banyak mendominasi awal babak pertama dengan beberapa percubaan berbahaya namun gagal memecah gawang gol lawan.

Bagaimanapun, peluang yang diperoleh mereka menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-20 tidak disia-siakan oleh Nam Hyun Woo untuk mendapatkan gol sulung perlawanan.

Malaysia cuba menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-34 namun gagal merobek gawang gol Korea Selatan.

Pertahanan Malaysia yang nampak lemah menerima padah apabila You Hyo Sik menjaringkan gol kedua Korea Selatan menerusi jaringan padang hanya dua minit selepas babak kedua bermula.

Anak buah jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah sekali lagi dihukum apabila Korea Selatan menjaringkan gol ketiga mereka menerusi pukulan sudut penalti oleh Jang Jong Hyun pada minit ke-50.

Skuad kebangsaan sekali lagi mendapat pukulan sudut penalti pada minit ke-67 namun berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol lawan, Kim Jae Hyeon.

Gol sagu hati skuad negara akhirnya hadir menerusi jaringan Ismail Abu pada minit ke-69.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved