Rabu, 30 April 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Terap ilmu kebombaan, lahir modal insan

Posted: 29 Apr 2014 11:51 AM PDT

Sebahagian daripada kadet bomba yang menyertai Perkhemahan Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat peringkat Negeri Melaka 2014 di Kem Pengakap Tan Chay Yan, Bukit Katil, Melaka, semalam. - UTUSAN/azli ahad

MELAKA 29 April - Pendedahan awal terhadap ilmu kebombaan dalam kalangan pelajar sekolah menengah dilihat dapat membantu melahirkan modal insan berdisiplin tinggi serta berdaya saing yang penting untuk masa depan negara.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Zainuddin Md. Alip berkata, pengalaman serta ilmu asas yang penting melalui aktiviti seperti perkhemahan wajar dimiliki golongan tersebut demi mencapai kecemerlangan dalam apa juga bidang pekerjaan.

Menurutnya, banyak aktiviti yang dijalankan telah mengadunkan aspek fizikal dan kerohanian sekali gus menerapkan elemen positif dalam kalangan kadet termasuklah aspek setiakawan, semangat kerjasama, berdedikasi serta meningkatkan jati diri.

Ini diyakini akan membantu dalam melahirkan generasi muda yang berketerampilan dan berkeyakinan bagi membawa negara mencapai kejayaan lebih cemerlang dan gemilang," katanya.

Beliau berucap pada majlis penutup Perkhemahan Integrasi Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat Peringkat Negeri 2014 di Kem Pengakap Tan Chay Yan, Bukit Katil, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah bomba negeri, Sohaimi Mohamed.

Yang hadir sama, Penolong Pengarah Bahagian Latihan bomba negeri, Hafizah Jamaluddin dan Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan negeri, Husin Chek.

Zainuddin menyeru golongan pelajar agar dapat menambah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, meningkatkan nilai peribadi serta tidak terlibat dengan masalah disiplin di sekolah.

Sebagai pelajar, peliharalah akhlak dan disiplin anda sepanjang masa bagi menjamin keutuhan serta kecemerlangan diri dan manfaatkanlah segala ilmu yang dipelajari daripada perkhemahan ini," ujarnya.

Sementara itu, katanya, perkhemahan selama empat hari bermula 26 April lalu melibatkan penyertaan sebanyak 340 kadet terdiri daripada 158 pelajar lelaki dan 180 pelajar perempuan dari 34 sekolah menengah seluruh negeri itu.

Tambahnya, perkhemahan berkenaan turut dijayakan dengan bantuan 68 guru dari sekolah terlibat serta jurulatih kadet terdiri daripada anggota bomba dari beberapa balai bomba negeri.

Perkhemahan ini juga diadakan untuk memilih kadet-kadet bomba bagi mewakili negeri ke Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Peringkat Kebangsaan yang bakal diadakan di Sabah pada Jun akan datang," jelas beliau.

NS rancakkan pelancongan

Posted: 29 Apr 2014 11:51 AM PDT

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 29 April - Pejabat Tourism Malaysia negeri giat melakukan promosi bagi merancakkan aktiviti pelancongan sepanjang bulan Mei ini dalam usaha menggalakkan kehadiran pelancong ke Negeri Sembilan.

Menurut Pegawai Pelancongan Kanan di pejabat berkenaan, Zarina Johari, aktiviti yang dianjurkan agensi pelancongan berkaitan bakal memberi impak dalam kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 dan Negeri Sembilan, selain membawa mesej utama mempromosi produknya tempatan ke tahap antarabangsa.

Justeru katanya, Tourism Malaysia negeri ini sentiasa ke hadapan dalam mempromosikan pelancongan yang terbaik kepada orang ramai melalui agenda penyertaan rakyat terutama dalam menjadikan Negeri Sembilan, destinasi popular yang wajib dikunjungi pelancong.

Sepanjang Mei ini, kita mempromosikan aktiviti yang disusun agensi terutama di Port Dickson, Seremban dan Kuala Pilah," katanya di sini hari ini.

Antara yang paling menarik adalah Pesta Air Malaysia Port Dickson yang akan berlangsung di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson bermula 2 hingga 4 Mei ini.

Kita yakin pengunjung akan datang beramai-ramai di pantai berkenaan pada hari tersebut," katanya.

Turut diadakan di pesta itu nanti adalah persembahan artis tempatan seperti Bunkface, Elly Mazlin, Aliff Aziz, Awi Rafael dan Roslan Shah selain 20 acara yang pastinya mendekatkan hubungan antara pengunjung, keluarga dan kepelbagaian bangsa.

Dalam bulan Mei ini juga akan diadakan Fiesta Industri Seni Budaya yang berlangsung di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan di sini pada 3 hingga 4 Mei bermula pukul 8.30 malam.

Katanya, juga akan diadakan Konsert Caklempong Xtravaganza yang akan diadakan di Auditorium D'Sury, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan pada 3 hingga 4 Mei bermula pukul 8.30 malam.

Sementara itu di Kuala Pilah pula akan berlangsung Pesta Persukuan Adat Perpatih 2014 di Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti, Kuala Pilah pada 16 hingga 18 Mei ini.

Pada 17 Mei pula akan diadakan Kuala Pilah MTB Jamboree 2014 di Stadium Mini Kuala Pilah," katanya.

Zarina berkata, sebarang maklumat pelancongan terkini Negeri Sembilan untuk sepanjang tahun, bolehlah Like' di Facebook rasmi Tourism Malaysia Negeri Sembilan https://www.facebook.com/pages/Tourism-Malaysia-Negeri-Sembilan dan jadilah ahli Friends Of Negeri Sembilan (FoNS).

437 permohonan daftar lewat kelahiran dikesan 2013

Posted: 29 Apr 2014 11:51 AM PDT

Mohd. Faizal Abd. Manap (berdiri, kiri) melihat kakitangan Jabatan Pendaftaran negeri membuat pendaftaran kad pengenalan penduduk ketika program MyDaftar di Jempol, Negeri Sembilan, kelmarin. - UTUSAN/Sajida

JEMPOL 29 April - Jabatan Pendaftaran negeri ini menerima sebanyak 437 permohonan daftar lewat kelahiran pada tahun lalu dan bilangan tersebut sangat membimbangkan.

Pengarahnya, Mohd. Faizal Abd. Manap berkata, untuk tahun ini sahaja iaitu sehingga bulan April pihaknya telah menerima 172 permohonan daftar lewat kelahiran iaitu melebihi 42 hari daripada tempoh bayi itu dilahirkan.

Antara punca yang berjaya dikenal pasti adalah sikap ibu bapa yang malu mendaftar kelahiran anak kerana masalah anak tidak sah taraf, anggap surat kelahiran tidak penting serta berkahwin dengan warganegara asing.

Malah di daerah ini kita pernah menerima permohonan mendaftar sijil kelahiran untuk seorang wanita yang sudah berusia 48 tahun," katanya kepada pemberita selepas program MyDaftar anjuran jabatan itu di sini semalam.

Program yang diadakan dekat Dewan Orang Ramai Ayer Hitam dekat sini itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Mohd. Razi Mohd. Ali.

Dalam pada itu beliau berkata, untuk daerah Jempol sahaja pihaknya telah menerima 1,380 kes kehilangan kad pengenalan pada tahun lalu dan 355 kes setakat April tahun ini.

Bagi kehilangan kad pengenalan akibat kecuaian untuk kali kali pertama sehingga kali keempat, JPN mengenakan denda dari RM100 sehingga RM300.

Bagi kesalahan kali kelima dan seterusnya pihak JPN akan menjalankan siasatan bagi mengesan punca kehilangan yang berterusan bagi individu tersebut," katanya lagi.

Mohd. Faizal berkata, untuk tahun lalu pihaknya telah mengesan dan mendakwa empat individu yang memiliki kad pengenalan palsu manakala lima individu telah ditangkap serta didakwa bagi kesalahan yang sama pada tahun ini.

Kesemua mereka yang ditahan telah didakwa di bawah perkara 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 iaitu denda tidak melebihi RM6,000 dan penjara maksimum tiga tahun," katanya lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved