Isnin, 28 April 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Mara Melaka taja 2,936 pelajar IPT

Posted: 27 Apr 2014 11:39 AM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

Md. Yunos Husin (kanan) merasa kek yang dihasilkan pelajar ketika melawat tapak pameran Karnival Pendidikan Mara 2014 peringkat negeri di Mydin MITC, Ayer Keroh, Melaka, kelmarin.

MELAKA 27 April - Seramai 2,936 pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini menerima tajaan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) sehingga Mac tahun ini bagi pembiayaan pendidikan pelbagai peringkat.

Pengarah Mara negeri, Dr. Azmi Amat Murjan berkata, tajaan pelajar itu membabitkan pengajian daripada peringkat prauniversiti hingga doktor falsafah (PhD) di 17 kampus IPT awam dan swasta di negeri ini.

Menurutnya, jumlah penajaan pembiayaan itu diberikan bergantung kepada permintaan dan diberikan kepada mereka yang layak berdasarkan penilaian yang teliti serta mengambil kira pendapatan dan latar belakang keluarga pelajar.

"Mara sememangnya menyasarkan untuk memberi tajaan semaksimum yang boleh untuk pelajar menyambung pengajian di IPT.

"Jumlah permintaan tajaan itu juga mengikut situasi. Sekiranya sesebuah institusi pengajian dinaik taraf dan menerima lebih ramai pelajar maka permohonan itu lebih meningkat," katanya ketika ditemui di Karnival Pendidikan Mara 2014 peringkat negeri di Mydin MITC, di sini semalam.

Karnival selama dua hari itu turut menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin.

Pada karnival itu, sebanyak 74 pempamer dari pelbagai IPT seluruh negara mengambil bahagian termasuk semua pusat Institusi Pendidikan Mara (IPMa) serta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Azmi berkata, program itu merupakan acara tahunan yang bertujuan menyediakan pelbagai informasi terkini kepada pelajar lepasan sekolah mengenai peluang melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

"Menerusi karnival ini, ia memudahkan golongan berkenaan mendapatkan maklumat mengenai peluang melanjutkan pelajaran bersesuaian dengan kelayakan akademik, minat dan kemahiran mereka selain memberi kefahaman dalam menentukan hala tuju pendidikan dan karier masa hadapan.

"Karnival ini juga menjadi satu pusat sehenti untuk semua IPT mempromosi kursus dan bidang yang ditawarkan," katanya.

Japerun Serkam turun padang dekati masyarakat

Posted: 27 Apr 2014 11:39 AM PDT

JASIN 27 April - Program mingguan Ziarah Kasih akan terus dijadikan sebagai medium oleh Japerun Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam dalam usaha mendekati masyarakat dan membolehkan orang ramai mengutarakan masalah yang dihadapi mereka.

Bagi tujuan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Zaidi Attan menggunakan pendekatan tersebut bersama beberapa jabatan kerajaan bagi meninjau masalah penduduk di sekitar Kampung Tedong di sini kelmarin.

Antara yang terlibat dalam program itu ialah wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Jasin, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), selain turut disertai seorang doktor dari Klinik Kesihatan Umbai.

Menurut Zaidi, pihaknya mengadakan pemantauan secara giliran di 21 cawangan kampung untuk meninjau sendiri masalah rakyat dan mengenal pasti tindakan yang harus diambil bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.

"Kebiasaannya, kita adakan lawatan seumpama ini pada setiap hari Jumaat dan program turun padang ini memberi ruang kepada pihak kita untuk kenal pasti masalah dan keperluan mereka.

"Ini termasuk mengambil data keluarga susah untuk dipertimbangkan bagi mendapat bantuan JKM, selain keperluan asas, kesihatan serta memantau masalah kemudahan asas yang dikemukakan penduduk seperti jalan raya, lampu jalan, perparitan dan sebagainya," katanya.

Zaidi berkata, pada lawatan dari rumah ke rumah itu, mereka juga menerima pemeriksaan kesihatan dan sumbangan barangan makanan serta bantuan wang.

Sementara itu, Penyelia Kesihatan, Klinik Kesihatan Umbai, Dr. Abu Bakar Md. Said berkata, penglibatan dalam program bersama komuniti itu memberi kelainan kepadanya dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan secara terus dari rumah ke rumah terutamanya di kawasan luar bandar.

Katanya, menerusi program itu, pihaknya dapat membantu mereka yang tidak mempunyai kemudahan untuk pergi mendapatkan rawatan di klinik dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan membawa pesakit terus ke klinik.

"Ini merupakan peluang yang amat dinantikan saya untuk turut serta dalam program turun padang dan berkhidmat kepada masyarakat yang memerlukan," katanya.

Amirahman, Noorliza johan qari, qariah Tilawah al-Quran Negeri Sembilan

Posted: 27 Apr 2014 11:39 AM PDT

SEREMBAN 27 April - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan berangkat ke Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sembilan kali ke-57 tahun ini di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi dekat sini semalam.

Baginda diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Yang turut hadir, Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab; Undang Luak Rembau, Datuk Shariff Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri.

Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr. Awaludin Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hasan; Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusoff Ahmad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri, Selamat Paigo.

Mohamad dalam ucapannya pada majlis itu berkata, tilawah al-Quran yang dianjurkan saban tahun adalah landasan terbaik ke arah mendidik serta mengajak masyarakat Islam memahami isi kandungan al-Quran yang diterjemahkan dalam kerangka bagi mengharungi kehidupan masa kini yang semakin mencabar, getir dan penuh ujian.

Beliau berkata, penghayatan terhadap kandungan al-Quran diharap dapat memberi inspirasi dan galakan kepada umat Islam untuk lebih berusaha mencapai kemajuan dan kejayaan berlandaskan prinsip yang terkandung dalam kitab suci itu.

"Dalam cabaran berdepan dengan kegawatan yang diselubungi pelbagai isu dan masalah seperti sosial, politik, kepincangan budaya dan sebagainya, ada ketikanya kita bagaikan terlupa kepada perintah Allah SWT supaya kembali kepada al-Quran.

"Sedangkan dalam maksud ayat al-Quran sendiri ada menyebut jelas menuntut kita bahawa jalan keluar bagi umat Islam untuk merawat kekalutan masyarakat masa kini dengan kembali kepada ajaran Islam sebenar yang terkandung dalam kitab suci ini," ujarnya.

Pada majlis itu, Tuanku Muhriz berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Johan kategori lelaki dewasa diraih Amirahman Abas yang membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM5,000, hadiah menunaikan haji, hadiah iringan serta sijil penyertaan manakala johan kategori perempuan dewasa dimenangi Noorliza Tajuddin dari Rembau yang menerima piala pusingan, wang tunai RM5,000 serta sijil penyertaan.

Sementara itu, Mohd. Hazwan Hamdan memenangi kategori remaja lelaki dan Nor Ain Najihah Abdul Hakam dari Jempol bagi kategori remaja perempuan.

Abdullah Omar dari Seremban diumumkan memenangi kategori veteran lelaki manakala Siti Gayah Tahir dari Rembau bagi kategori veteran perempuan.

Johan Qari dan Qariah akan mewakili negeri ini pada majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan pada Mei ini di Pahang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved